Thursday, May 5, 2011

Suhakam Gesa putrajaya Kaji Balik Akta Kawal Media

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengulangi gesaan agar Putrajaya mengkaji semula undang-undang yang mengawal ketat media berikutan laporan terbaru Malaysia masih kekal sebagai negara dalam kategori tidak bebas.

Dalam laporan dikeluarkan kelmarin, Malaysia berada di tangga ke-143 daripada 196 negara yang diselidik dalam kajian tahunan mengenai kebebasan media, yang menunjukkan ia sebagai tidak bebas.

Malaysia diletakkan bersama dengan Angola dan Madagascar, yang memperoleh 64 mata. Negara yang memperoleh mata rendah dalam Indeks Kebebasan Akhbar dilihat sebagai negara paling bebas.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya tetap berpendirian bahawa undang-undang yang memberi kesan ke atas tanggungjawab dan peranan media harus dikaji balik dan hak akses yang saksama kepada maklumat harus dipertahankan.

“Dalam hubungan ini, suruhanjaya ingin melihat penubuhan segera Majlis Perundingan Media Kebangsaan, sebagai sebuah badan kawal sedia kendiri, yang akan diuruskan oleh pengamal-pengamal media, yang boleh menjadi galakan besar kepada kebebasan media sambil memastikan kewartawanan yang beretika dan bertanggungjawab,” kata beliau.

Sehubungan itu beliau berkata undang-undang yang ketat seperti Akta Mesia Cetak dan Penerbitan 1984 dikaji balik dan diambil pendekatan yang lebih liberal untuk meluluskan dan memperbaharui permit dan lesen penerbitan dan percetakaan, dengan dibolehkan proses memperbaharui lesen dan permit secara automatik.

“Dalam mempertahankan ketelusan dan akauntabiliti dan memastikan aspek semakan dan imbangan, suruhanjaya menekankan pendirian bahawa undang-undang yang memberi kesan ke atas tugasan media perlu dikaji balik,” katanya.-

No comments:

Post a Comment