Sunday, July 17, 2011

Kedah: Larangan Maksiat, Bukan Hanya Ramadhan?



AMPANG, 17 Jul 11:Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini oleh kerajaan negeri Kedah tidak akan sesekali menyekat hak orang bukan Islam di negeri itu.

Sehubungan itu, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pusat hiburan di Kedah akan beroperasi seperti biasa pada bulan Ramadhan namun ia terhad kepada orang bukan Islam sahaja.

Perkara itu dijelaskan beliau pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sebuah hotel di sini. Turut serta pada sidang media itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"PAS ambil jalan terbaik yang tidak boleh diselesai oleh Umno iaitu tidak menghalang hak orang bukan Islam dalam masa yang sama orang Islam tidak boleh mengerjakan maksiat

"Orang Umno buat peraturan orang Islam boleh masuk tempat maksiat, tempat judi. Kita buat pembetulan supaya pengendali pusat hiburan dikalangan orang bukan Islam buat peraturan agar orang Islam tidak boleh masuk," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Keputusan itu juga katanya telah dipersetujui oleh pengusaha pusat-pusat hiburan di negeri itu dan bersedia diambil tindakan termasuk menarik lesen perniagaan jika gagal berbuat demikian. Penjelasan itu dibuat selepas mesyuarat tersebut mendengar penerangan dari wakil kerajaan negeri Kedah iaitu Setiausaha Politik kepada menteri besar, Mohd Sanusi Md Noor.

Hasrat sebenar perlaksanaan undang-undang itu kata Abdul Hadi, bertujuan mencegah orang bukan islam melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan. Bagaimanapun kekeliruan telah berlaku berhubung perkara itu ekoran media arus perdana yang tidak menyiarkan laporan tepat sehingga membangkitkan rasa kurang senang di kalangan orang bukan Islam.

"Di sana banyak perkara-perkara tidak tepat di lapor media yang sengaja dimainkan Umno Barisan Nasional.

"Kita membetulkan peraturan yang salah yang dibuat Umno. Umno membenar pusat hiburan kepada bukan Islam, dan tidak ada peraturan tegas bagi menghalang orang Islam" tambahnya.

Sementara itu, Mohd Sanusi yang ditemui selepas itu berkata, penguatkuasaan enakmen itu adalah tanggungjawab pihak polis. Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini mengumumkan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang wujud sejak zaman pemerintahan Umno dilaksanakan sepenuhnya tahun ini.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat bantahan dari beberapa pihak termasuk MCA, Gerakan dan rakan Pakatan Rakyat, DAP. Difahamkan, kontroversi tersebut bagaimanapun selesai selepas menteri besar bertemu wakil pusat hiburan semalam bersetuju membenarkan mereka beroperasi tetapi tidak boleh membenarkan umat Islam memasuki premis mereka.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Sepatutnya sudah lama penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 sepanjang Ramadhan ini dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah yang sudah hampir sepenggal pilihan raya memerintah.

Dan maksiat pula bukan hanya dilarang pada bulan Ramadhan sahaja, kerana ianya tidak sesekali melibatkan atau menyekat hak orang bukan Islam di negeri itu. Sepatutnya diperjelaskan lebih awal lagi.(IH)

No comments:

Post a Comment