Sunday, July 17, 2011

Proham gesa Putrajaya tubuh panel khas tangani isu pilihan raya


KUALA LUMPUR, 17 Julai — Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) hari ini menggesa kerajaan pusat mengadakan satu mekanisme bebas yang dapat menghalusi segara isu berkaitan dengan pilihan raya termasuk lapan tuntutan diketengahkan Bersih 2.0.
Proham berpendapat Putrajaya boleh menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja ataupun jawatankuasa pilihan Parlimen bagi tujuan tersebut.
Pendirian ini diulangi lapan hari selepas perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara, yang mendapat fokus di dalam dan luar negara, dan dua akhbar harian utama negara membawa kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) hari ini, mempertahankan sistem pilihan raya negara ini.

“Adalah penting kerajaan pusat mesti berbincang dengan semua pihak termasuk parti-parti politik untuk mencari penyelesaian sesuai sebagai satu perkara segera,” kata Proham dalam satu kenyataan.
Proham berkata melainkan kerajaan persekutuan memberi keutamaan ke atas segala gesaan dan tuntutan, orang ramai akan terus meletakkan tanggapan bahawa kerajaan pusat tidak komited mengadakan pembaharuan pilihan raya.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Proham Tan Sri Simon Sipaun bersama Prof Datuk Hamdan Adnan, Tan Sri R Navaratnam, Dato Michael Yeoh dan Datuk Dr Denison Jayasooria.
Kata mereka, tindakan segera dan praktikal yang mesti dilaksanakan secara bersama khususnya dengan pembabitan pertubuhan sivil ialah mendaftarkan baki 3.7 juta orang yang layak menjadi pemilih.
Proham mengesyorkan kerja-kerja mendaftar mereka itu dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, ketika ramai membuat spekulasi bahawa pilihan raya akan umum ke-13 bakal diadakan dalam waktu terdekat.
Persatuan itu juga berkata seleps perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu pihaknya telah menerima banyak maklumat mengenai masalah dan status undi pos serta mengenai penggunaan biometrik.
Bersih 2.0 mengetengahkan lapan tuntutan.
Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan yang pro mereka walaupun tidak memihak kepada tuntutan Bersih 2.0, tetapi mengakui sistem pilihan raya negara ada kelemahannya.
“Suruhanjaya Pilihan Raya mesti meneruskan kempen pendidikan publik di satu sebelah dan pada masa yang sama mengatasi aduan dan rasa tidak puas hati secara tersusun, telus dan bertanggungjawab.
“Perlu ada ruang untuk perbincangan dan dialog secara lebih kerap dan berterusan,” kata Proham sambil menambah, pengundi biasa dan semua pihak termasuk parti-parti politik mesti gembira dengan proses, prosedur dan mekanisme.
“SPR mesti mengambil dengan serius segala pendapat umum memandangkan pengundi kini mempunyai maklumat mendalam (mengenai sistem pilihan raya),” katanya.
Kata Proham, wujud permintaan yang semakin berubah dalam pemikiran demokratik ke arah satu standard yang tinggi, imbang dan periksa berhubung kesalahan pilihan raya dan akses kepada media.
“SPR mesti mengkaji semula kedudukan dan tanda aras agar seiring dengan amalan-amalan pilihan raya di negara membangun dan demokrasi yang matang,” katanya sambil menekankan, pihaknya pernah meminta kerajaan pusat menangani perkara berkenaan yang dibangkitkan oleh Bersih, yang berkaitan dengan pilihan raya adil dan bersih.
“Keadaan ini sangat diperlukan dengan segera dan beberapa langkah konkrit mesti diambil secara proaktif,” kata Proham lagi.

No comments:

Post a Comment