Sunday, July 10, 2011
Salahuddin, Mahfuz Mahu Dakwa Polis Di Mahkamah
sambil menyifatkan tanggal 9 Julai sebagai hari pembunuhan dan pengebumian demokrasi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan rakannya Salahuddin Ayub mahu membuat laporan polis mengenai tindakan polis menahan mereka di ibu negara, kelmarin.
Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa selain pembunuhan demokrasi, semalam juga merupakan hari kematian seorang pejuang demokrasi, Allahyarham Baharuddin Ahmad.
“Dia mati sebagai seorang pejuang yang ingin hidupkan demokrasi di Malaysia. Saya juga percaya, setiap kegelapan yang berlaku, pasti akan ada cahaya kebahagiaan untuk masa depan Malaysia,” katanya selepas berarak mengiringi jenazah Baharuddin ke tanah perkuburan Islam Lembah Keramat AU4 tengah hari semalam.
Mahfuz turut melahirkan rasa kecewanya terhadap tampuk pimpinan kerajaan yang tidak menunjukkan sikap keterbukaan ke atas Himpunan Bersih 2.0.
Mahfuz dan Salahuddin merupakan antara 1,401 orang yang ditahan semalam kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0.
Malah mereka juga merupakan sebahagian daripada 91 individu yang dilarang memasuki ibu negara kelmarin.
Semalam, Bersih juga mengisytiharkan seramai 50,000 orang menyertai Himpunan Bersih 2.0.
“Mereka (pentadbiran Najib) tidak menunjukkan sikap keterbukaan mereka dan berjaya memperalatkan pihak keselamatan demi untuk memenuhi nafsu pemimpin Umno dan BN,” tegasnya.
Tamba Mahfuz, kejadian yang menimpa Himpunan Bersih 2.0 semalam harus dinilai sewajarnya oleh masyarakat untuk menamatkan penguasaan kerajaan yang membunuh demokrasi dan pejuang demokrasi di Malaysia.
Mahfuz juga berkata, esok beliau bersama Salahuddin akan membuat laporan polis berhubung tangkapan yang dibuat kelmarin.
Jelas beliau, “laporan polis yang akan dibuat adalah untuk menuntut ganti rugi malu dan kesusahan hati saya, anak-anak saya dan isteri saya.”
“Selepas laporan dibuat, saya akan serah kepada peguam untuk memulakan proses tuntutan,” katanya sambil menambah, beliau akan membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini.
Semalam, pemimpin Pakatan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) ditangkap polis di KL Sentral.
Selain mereka turut ditahan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Mohamad Sabu.
Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan mahu Suhakam mengadakan siasatan segera berhubung kekerasan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan anjuran pihaknnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment