Sunday, July 10, 2011

Wajah Sebenar "Peludah Warna"



BERSIH 2.0 berjaya membongkarkan wajah sebenar pemimpin-pemimpin utama negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdedah apabila beliau sendiri mengikut rentak PERKASA, mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Ambiga.

Apabila Yang di-Pertuan Agong memberi petunjuk jelas supaya kerajaan dan BERSIH berdialog, Najib bertindak dengan menegaskan BERSIH adalah sebuah pertubuhan yang diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri .Justeru, Najib mendakwa BERSIH tidak layak memohon permit untuk menganjurkan perhimpunan itu di stadium. BERSIH 2.0 menunjukkan Najib dan Umno pimpinannya sebagai orang yang tidak teragak-agak membelakangi institusi Raja.

Najib bukan sahaja bersifat rasis tetapi juga tidak langsung melihat keperluan merombak proses pilihan raya negara ini yang banyak menguntungkan pemerintah selama ini.

Perdana Menteri dan sepupunya Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein juga mempamerkan kesanggupan luar biasa menggunakan polis untuk menangkap orang awam di atas sebab-sebab dangkal yang mirip sebuah negara diktaktor.

Walaupun mencanang dirinya sebagai adil dan berjiwa rakyat, BERSIH membuktikan Najib tidak akan teragak-agak menggunakan kuasa eksekutifnya untuk menumpaskan sesiapa yang dianggap sebagai musuh politik Umno.Dalam konteks Himpunan BERSIH, beliau melihat tokoh-tokoh seperti Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, Ambiga dan Presiden Jamah Islah Malaysia Zaid Kamaruddin sebagai musuh politiknya.

Semua mereka adalah aktivis berhemah tinggi, mempunyai kewibawaan dan keikhlasan mendokong agenda murni iaitu berjuang untuk proses pilihanraya yang lebih baik.

Kenapa agenda begitu digeruni oleh Umno dan Najib?
Kebingkasan kerajaan mengeluarkan segala senjata yang ada padanya (media, khutbah jumaat, polis, mahkamah, pendaftar pertubuhan,) untuk menumpaskan BERSIH 2.0 menimbulkan banyak tanda tanya mengenai kepemimpinan Najib, khususnya bersabit keikhlasan beliau.

Episod BERSIH telah menawarkan Najib ruang yang cukup luas untuk mendokong sebuah agenda rakyat yang mustahak dan pada masa sama menzahirkan kesetiaan beliau kepada Istana Negara.

Namun semua ini ditempelak oleh Perdana Menteri dalam keghairahan untuk memastikan kelangsungan penguasaan penuh kerajaan ke atas insitutusi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, polis dan badan kehakiman kekal berterusan.

* sumber * -petikan dari artikel Malaysiakini -"BERSIH 2.0: Kebenaran sentiasa atasi kekejaman"
oleh: -Wira Arjuna- beliau adalah nama samaran seorang wartawan dan editor kanan yang berpengalaman luas dan pernah menerajui beberapa media arus perdana sebelum bersara menjadi pemerhati politik.

No comments:

Post a Comment