
Ketika berucap pada kira-kira jam 1.50 petang tadi, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Razab berkata pihak universiti perlu adil ketika siasatan dijalankan, malah seharusnya "lawan ilmu dengan ilmu", dan bukannya "lawan ilmu dengan gantung".
Profesor Abdul Aziz Bari, 52, pensyarah Undang-Undang UIAM digantung dari tugasnya semalam, dipercayai ada kaitannya dengan kenyataan beliau ketika mengulas isu campur tangan Sultan Selangor dalam kes pemeriksaan JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama. Sebelum beliau diambil tindakan oleh pihak UIAM, beliau disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pihak polis di bawah Akta Hasutan.
Seterusnya, Ahmad Syukri Razab memimpin perarakan ke pejabat Rektor, namun dihalang oleh kira-kira 30 orang pegawai keselamatan dan polis. Pertembungan fizikal berlaku, sehingga pergelangan tangan kiri Ahmad Syukri Razab dicederakan, malah beliau kehilangan satu kasutnya. Beliau berkata dirinya hanya mengalami luka ringan, ketika ditanya wartawan selepas itu.

Selain SMM, pertubuhan siswa-siswi yang hadir termasuklah DEMA, PKPIM, GAMIS, KARISMA, Pro Mahasiswa Nasional, Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara, Legasi Mahasiswa Progresif UPSI, Mahasiswa Pendidik UPSI dan lain-lain.
Di samping itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin (gambar bawah, berbaju biru) dihalang daripada masuk ke masjid hari ini, dan ditahan oleh lebih daripada 10 orang pegawai keselamatan dan polis.

Apa yang menyedihkan, di UIAM yang sewajarnya menjadi tempat menyuburkan ilmu Islami seperti slogan UIAM 'Taman Ilmu dan Budi', saya ditahan di dalam Masjid dan langsung tidak dibenarkan solat meskipun solat Jumaat hampir dimulakan oleh Imam dan jemaah lainnya.
Penahanan ini jelas membuktikan bahawa pentadbiran UIAM begitu terdesak untuk mengekang keprihatinan massa di luar kelompok mahasiswa dan pensyarah lainnya, khusus dalam isu penggantungan Dr. Aziz ini."

No comments:
Post a Comment