Wednesday, December 21, 2011

`JENERAL PERANG' DR HASSAN ALI TELAH BERSEDIA

`JENERAL' Dr Hassan Ali panglima perang terbaru mewakili Umno telah membunyikan semboyan untuk berperang dengan PAS.  Nampaknya tugas yang sebelum ini dipikul oleh Ezam sesumpah, Zahrain katak dan Zul Kulum, silap, Zul Kulim gagal untuk menyerang PKR dan kini sasaran beralih kepada PAS pula. Tiada calon yang paling sesuai untuk menjadi `Panglima Perang' untuk Umno berdepan dengan PAS kecuali Dr Hassan Ali.
 
Ini diakui sendiri oleh Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar.  Mahfuz berkata, konsep negara kebajikan telah dipersetujui dalam muktamar tahunan parti itu dan oleh itu, ia tidak harus dipersoalkan sekarang.  Katanya, jika Hasan mempersoalkan konsep itu sekarang, ia nampak seperti Exco Kerajaan Selangor itu mengisytiharkan perang terhadap PAS kerana adalah tidak wajar untuk mempersoalkan keputusan yang dibuat dalam muktamar (Malaysiakini).
 
Kontroversi Dr Hassan Ali bermula agak lama dahulu lagi, tetapi kemuncaknya apabila Saari Sungip mendedahkan bahawa Dr Hassan Ali tidak mendapat cukup pencalonan untuk dicalonkan menjadi calon PAS di dalam PRU akan datang.  Memang tindakan Saari Sungip itu silap kerana mendedahkan kedudukan Dr Hassan Ali kepada umum.  Sekiranya Dr Hassan Ali mengkritik tindakan Saari Sungip itu, saya pasti akan bersetuju dengan beliau.
Malangnya, isu yang diperbesarkan oleh Dr Hassan Ali bukan isu pendedahan dari Saari Sungip.  Beliau melangkau dari isu sebenar sehingga membabitkan rakan sekutu PAS iaitu PKR dan DAP.  Beliau menyebut dasar PAS mungkin telah berubah dari mewujudkan sebuah Negara Islam kepada Negara Berkebajikan semenjak bersahabat dengan PKR dan DAP.  Mungkin Dr Hassan Ali menganggap jika PAS bersekutu dengan Umno, maka PAS boleh wujudkan sebuah Negara Islam.  Gilanya Dr Hassan Ali untuk tidur sekelambu dengan Umno tidak menjadi rahsia lagi semenjak berlakunya kerja `berunding dalam gelap' sewaktu PR mula mengambil alih Selangor.
Di dalam rancangan `Soal Jawab' TV 3 sebentar tadi, Dr Hassan Ali cuba menggambarkan beliau telah mendapat sokongan ramai atas prinsip perjuangannya yang kononnya pejuang Islam maha hebat.  Peliknya, dikatakan mendapat sokongan ramai tetapi majoriti Cawangan PAS sendiri tidak mencalonkannya sebagai calon?  Adakah di dalam Cawangan-Cawangan PAS yang tidak mencalonkannya itu terdiri dari ahli-ahli PKR dan DAP? 
Saya yakin memang ramai orang-orang Melayu Islam yang menyokong Dr Hassan Ali, tetapi kebanyakannya adalah dari ahli-ahli Umno.  Sebab apa?  Bukan kerana Umno berminat dengan perjuangan Islam yang kononnya diperjuangkan oleh Dr Hassan Ali tetapi adalah kerana Umno tahu Dr Hassan Ali boleh di`ternak' dengan baik sepertimana mereka telah `menternak' Ezam, Zahrain dan Zul Kulum, silap, Zul Kulim.  Apa tujuannya?  Tiada lain tujuannya iaitu setelah gagal menghancurkan PKR, mereka cuba untuk memusnahkan PAS dari dalam.
Sekarang ini apa perlu PAS buat?  Saya syorkan agar PAS biarkan sahaja Dr Hassan Ali di`ternak dan diberi makan' secukupnya oleh Umno, dan beliau tidak perlu dipecat.  Di dalam PRU nanti, sudah semestinya PAS tidak mahu tewas sebuah pun kerusi Dun, maka Dr Hassan Ali tidak perlu dicalonkan.  Jika Dr Hassan Ali tercalon, walaupun beliau mendakwa terlalu ramai bersamanya, tetapi kita harus sedar yang ramai bersamanya sekarang adalah orang-orang Umno yang pastinya akan memangkah calon Umno bukan Dr Hassan Ali apabila sampai ketikanya nanti.  Ketika itu, orang-orang PAS dan rakan-rakan di dalam PR akan mengundi Dr Hassan Ali kah?  Tentulah bodoh jika mereka mengundi orang yang guna TV3 untuk menghentam PAS dan PR.  Justeru itu, Dr Hassan Ali tidak perlu dicalonkan dan beliau berpeluang besar untuk menjadi calon Umno atau pun menjadi sebahagian dari kumpulan Bebas yang diketuai oleh Ibrahim Alkataki.
Dr Hassan Ali tidak perlu dipecat kerana percayalah, orang seperti ini akan `memecat' sendiri keseluruhan pakaian yang dipakainya demi Umno./wfauzdin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment