Penyair Datuk A.Samad Said, artis Aishah, Aby Abadi dan Ito Blues Geng antara beberapa orang artis yang bakal menyerikan konsert khas sempena Muktamar PAS Ke-58, malam ini.
Orang ramai terutama perwakilan dan pemerhati dijemput hadir pada konsert khas bersama artis hijrah malam ini bermula 8.30 malam.
Beberapa artis yang bakal menyerikan majlis itu menerusi pembacaan puisi, persembahan nyanyian, bual bicara akan diadakan di tapak ekspo muktamar di perkarangan Putik.
Antaranya, Bob Lokman, Pyan Habib, Mel Wings, Leman Raja Lawak, Zua XPDC, Blank Gamma, Isa Graviti, Yazid, Radhi Aye Leon dan Muadz.
Sementara itu, tengahari tadi mereka diraikan majlis makan tengahari bersama beberapa orang anggota Jawatankuasa PAS Pusat.
Turut hadir Pengerusi Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat, Dr Dzulkifly Ahmad di sebuah restoran tengahari tadi.
Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dr Hatta Ramli, anggota-anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Khalid Samad, Hanifa Maidin.
Hadir sama Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof dan timbalannya, Dr Mariah Mahmud.
Dr Dzulkefly berkata lajnah budaya diwujudkan kerana bersedia untuk menerima rakan-rakan artis.
“Menyedari pentingnya lajnah itu diadakan, akhirnya setelah perjuangan selama 10 tahun, tahun lalu lajnah itu diwujudkan,”ujarnya.
Sementara itu, Dr Hatta mengakui kehadiran artis telah banyak membantu perjuangan PAS khususnya untuk berdakwah melalui saluran golongan itu.
Katanya, artis boleh meneruskan apa keistimewaan yang ada pada mereka selepas menyertai PAS.
“Tak kiralah andainya tuan-tuan adalah artis menyanyi, boleh teruskan dengan cara itu, andainya gitaris, boleh meneruskannya dengan cara yang sama,”ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan artis Aishah ketika berucap pada majlis itu.
Aishah sebelum itu berkata, golongan artis yang telah berhijrah apa yang perlu dilakukan sama ada menyanyi, ceramah atau sebagainya.
Hatta seterusnya berkata, mereka boleh meneruskan kepakaran masing-masing sama ada artis nyanyian, lakonan, puisi atau sebagainya.
No comments:
Post a Comment