Sunday, November 18, 2012

Undi calon bukan Islam untuk politik Islam

Majlis Syura Ulama PAS mengarahkan ahli parti mengundi calon PAS dari bukan Islam bagi melawan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Naib Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed berkata, Majlis Syura Ulama sudah berijtihad bahawa PAS boleh bekerjasama dengan parti bukan islam dalam mencapai matlamat politik Islam.

"Untuk mencapai matlamat politik Islam, ulama telah berijtihad untuk menentukan wasilahnya.

"Antaranya ulama dalam PAS berijtihad dengan merujuk kepada ijmak dan qias telah membenarkan tahaluf siyasi dengan parti lain baik parti Islam atau bukan Islam sebagai satu wasilah mencapai kemenangan dalam PRU ke-13. 

"Rentetan daripada tahaluf siyasi maka ahli PAS diarah mengundi calon-calon bukan Islam daripada DHPP dalam pilihan raya akan datang," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-58 di Putik hari ini.

Justeru beliau mengingatkan ahli PAS agar tidak mempertikai ijtihad yang ditetapkan Majlis Syura Ulama.

"Jangan sesiapa mempertikai ijtihad yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama.

"Kalau ada ahli yang berceramah mempertikai tahaluf siyasi maka dia tidak walak pada Majlis Syura," tegasnya yang juga Pesuruhjaya PAS Johor..

Sementara itu, Dr. Mahfodz turut melahirkan rasa gembira apabila seluruh perwakilan menunjukkan keprihatinan terhadap Dewan Ulama.

"Ulama rasa syukur dan gembira kerana perwakilan ambil perhatian serius tentang kepimpinan ulama.

"Naib-naib presiden pun kata tak ada seorang pun tolak kepimpinan ulama dan saya yakin semua beri sokongan kepada kepimpinan ulama," katanya.

No comments:

Post a Comment