Wednesday, April 9, 2014

Demo gergasi 1 Mei bantah pelaksanaan GST

GST 6PERCENT AP

Demonstrasi besar-besaran bakal menggegar negara 1 Mei ini jika kerajaan Barisan Nasional (BN) enggan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat.
Amaran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu susulan Dewan Rakyat pada Isnin lalu meluluskan Rang Undang-Undang GST.
Penyelaras Kebangsaan Sekretariat GST SAMM, Mohd Faizal Ab Rahman menegaskan, ketika ini Malaysia belum bersedia untuk melaksanakan GST.
Menurut beliau, pertemuan pihaknya dengan banyak pihak untuk melihat sejauh mana keperluan pelaksanaan cukai berkenaan terbukti mereka menolak percukaian itu.
“Ketirisan dalam pentadbiran negara harus diatasi terlebih dahulu dengan laporan audit yang merugikan negara selain pendedahan pelbagai skandal rasuah.
“Pelaksanaan GST secara tergesa-gesa tanpa memikirkan aspek pendapatan rakyat yang masih lagi tidak meningkat akan membebankan ditambah pula peningkatan harga barang dan kos sara hidup,” kata Faizal dalam kenyataan.
Katanya, kelulusan pelaksanaan GST yang mendapat sokongan Ahli Parlimen BN dilihat untuk kepentingan tertentu dan bukan atas kepentingan rakyat.
Faizal berkata, pelaksanaan GST yang bakal dimulakan dengan 6% pada April 2015, dikhuatiri akan melonjak pada kadar 8% pada 2016.
“Ekoran itu, SAMM gesa Kerajaan Malaysia untuk umum penangguhan pelaksanaan GST atau memilih jalan raya untuk meluahkan protes bantahan dalam satu demonstrasi gergasi pada 1 Mei nanti,” tegas beliau.

Dalam sidang media sebelum ini, penganjur himpunan itu yang dikenali sebagai Jawatankuasa 1 Mei mensasarkan demo besar-besaran di Kuala Lumpur sebagai referendum rakyat bagi mendesak kerajaan membatalkan pelaksanaan cukai berkenaan.
Menurut jurucakapnya, Dr Hatta Ramli, perhimpunan tersebut dijangka disertai ramai sama seperti perhimpunan menuntut pemansuhan Akta Dalam Negeri (ISA), beberapa tahun lalu.
Selain SAMM, NGO lain yang menganggotai jawatankuasa itu termasuk, Gabungan Mansuh ISA, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).

No comments:

Post a Comment