Wednesday, April 9, 2014

Kerajaan kata tiada keperluan keluar fatwa GST

Kerajaan memaklumkan bahawa tiada keperluan bagi Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan pandangan hukum berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Setakat ini tidak ada sebarang fatwa mengenai GST kerana tidak ada keperluan pandangan hukum mengenainya," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu jawapan bertulis.

Ianya sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di dewan Rakyat.

Ustaz Hadi dalam soalannya mahu perdana menteri menyatakan apakah ada apa-apa ketetapan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap pelaksanaan GST oleh kerajaan pada tahun 2015.

GST menjadi pertikaian kerana perlaksanaan cukai itu nanti turut dikenakan kepada rakyat miskin yang bercanggah dengan perinsip percukaian dalam Islam.

Percukaian dalam Islam meletakkan bahawa cukai hanya boleh dikutip daripada orang kaya untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Februari lalu, PAS Wilayah Persekutuan melalui Seminar Audit Negara, Ekonomi dan Pecukaian Menurut Sisi Pandang Islam, membuat reaolusi agar kerajaan mengeluarkan pandangan berhubung status GST menurut pandangan syarak.

Mereka berpandangan bahawa, isu cukai khususnya GST dan isu ekonomi yang lain ketika ini wajar diberi pencerahan dari sudut syarak.

Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang GST selepas melalui dua hari perbahasan untuk bacaan kali kedua.

Pungundian itu menyaksikan 118 ahli parlimen BN menyokong sementara 81 ahli parlimen Pakatan Rakyat menyatakan tidak bersetuju.

Keputusan itu disambut bantahan ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan berdiri sambil mempamerkan plakad bantah dan tolak GST.

Cukai GST ini dijadual dilaksanakan pada April tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment