Sebagai sebuah pertubuhan dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) begitu prihatin dengan penemuan ramuan yang berunsurkan babi pada produk Cadbury.
“Abim berpendirian satu tindakan yang tegas di sisi undang-undang perlu dikenakan terhadap syarikat berkenaan,” ujar presidennya, Amidi Abd Manan.
Begitu juga, katanya dengan prosedur susulan dalam penguatkuasaan Akta Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang perlu diperbaiki.
Namun, kata beliau Abim memandang berat beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa badan bukan kerajaan (BBK) berhubung kes ini.
“Kenyataan yang dipenuhi emosi dan terkeluar dari batasan rasional amat memalukan umat Islam.
“Cadangan untuk membakar kilang, tukar darah dan sebagainya adalah cadangan yang keterlaluan,” ujarnya lagi.
Begitu juga, tambanya jika ada yang mengaitkan dari sudut kepayahan untuk mendidik dan mendapat hidayah lantaran kononnya jasad telah dicemari makanan yang haram.
“Kenyataan sebegini jelas menunjukkan kedangkalan kefahaman individu tersebut berkaitan agama Islam,” katanya.
Amidi menjelaskan, Islam sebagai agama kesejahteraan sentiasa menonjolkan sifat rahmat dan kasih sayang Allah, apatah lagi makanan itu dimakan tanpa diketahui dan disedari mengandungi unsur daripada babi.
Kata beliau, kenyataan seperti itu boleh membawa imej yang negatif kepada agama Islam.
Menurutnya lagi, ada yang mahu menyamak usus sendiri jelas terkeluar dari tuntutan syariat Islamiah.
“Umat Islam tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang sebegini bagi menggambarkan kemarahan apatah lagi Islam sendiri telah pun ada penyelesaiannya yang jauh terhormat dan penuh hikmah,” katanya.
No comments:
Post a Comment