Tuesday, May 27, 2014

Narendra Modi angkat sumpah PM baru India


Narendrabhai Damodardas Modi, 63, (gambar) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri India yang baharu di hadapan Presiden Pranab Mukherjee dalam upacara besar-besaran di Rashtrapati Bhavan (Kediaman Presiden) di sini hari ini.
   
Modi dijangka mengetuai kabinet yang lebih kecil daripada bekas perdana menteri Manmohan Singh.
  
“Mengekalkan komitmen kepada 'Kerajaan Minimum, Tadbir Urus Maksimum', kita telah membuat perubahan positif dan belum pernah dilakukan dalam pembentukan Kementerian,” kata Modi.
  
Beliau juga berkata pelbagai kementerian akan ditransformasikan menjadi kementerian organik untuk mempercepatkan kerja dan mewujudkan koordinasi yang lebih baik antara jabatan.
  
Buat kali pertama, pemimpin negara-negara Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC) diundang ke upacara mengangkat sumpah Perdana Menteri India.
  
Pemimpin yang hadir termasuk Presiden Afghanistan Hamid Karzai, Perdana Menteri Bhutan Tshering Tobgay, Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom, Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala, Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif dan Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa.

Bangladesh diwakili oleh Speaker Shirin Chaudhury sementara Perdana Menteri Mauritius Navinchandra Ramgoolam juga hadir.
   
Bekas presiden India iaitu Pratibha Patil dan A.P.J. Abdul Kalam, perdana menteri yang berundur Manmohan Singh dan presiden Parti Kongres Sonia Gandhi adalah antara kenamaan yang hadir.
  
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Naimun Ashakli Mohammad ialah antara diplomat asing yang menghadiri upacara itu. Kira-kira 4,000 tetamu menghadiri upacara.
   
Modi, tokoh nasionalis Hindu dan pemimpin Parti Bharatiya Janata memenangi pilihan raya umum India yang mencatat sejarah yang belum pernah disaksikan sejak 1984.
  
Modi yang dilahirkan di Vadnagar di daerah Mehsana yang ketika itu negeri Bombay (sekarang Gujarat) pernah membantu ayahnya menjual teh. Beliau memasuki politik pada 1985 apabila menyertai BJP.

Sepanjang pembabitannya dalam politik, beliau membentuk gabungan dengan ahli-ahli politik dalam BJP dan menduduki jawatan yang berpengaruh dalam parti di Gujarat.
  
Pada 2001, beliau menjadi ketua menteri negeri itu dan menyandang jawatan itu sehingga 2014 apabila beliau melepaskan jawatan untuk menjadi Perdana Menteri India.
  
Tadbir urus dan pembangunan progresif di Gujarat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kemunculannya dalam arena politik India dan dunia.

No comments:

Post a Comment