Friday, June 6, 2014

DNA babi: Bukan soal pembuktian tapi krisis kepercayaan

Kedah tidak menganggap kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Amri Abdullah bahawa mereka sanggup memakan coklat Cadbury untuk mengesahkan kehalalannya sebagai suatu kenyataan yang remeh, namun pihak kami menilai insiden ini sebagai kehilangan kepercayaan masyarakat kepada badan berwajib berkenaan.
 
Hal ini panas sejak tersiarnya kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei 2014 bahawa terdapat unsur DNA babi dalam produk Cadbury.
 
Hal yang sama boleh dilihat bagaimana Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama pernah mengeluar kenyataan yang disiar dalam majalah Times bahawa adakah beliau perlu menampal sijil lahir beliau yang tertera agama Kristian sebagai anutannya semata-mata untuk menafikan desas desus bahawa beliau pernah beragama Kristian.
 
Hal ini bukan isu pembuktian tetapi krisis kehilangan kepercayaan. Kepercayaan masyarakat terhadap Jakim bukan suatu perkara baharu. Penglibatan Jakim dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam d negara ini bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri memberi surat pengesahan halal kepada produk-produk yang memenuhi kehendak syarak. 

Kemudian bermula tahun 1994 pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan beserta logo halal dan mulai 30 September 1998 pemeriksaan halal dilaksanakan oleh Syarikat Ilham Daya iaitu sebuah syarikat yang dilantik oleh kerajaan, dikendali sepenuhnya oleh Jakim pada tahun 2002 dan kemudian swastakan kembali pada tahun 2008.
 
Kepercayaan ini kelihatan luntur dan mampu dicerap melalui komen-komen masyarakat Islam melalui media sosial mahupun media cetak sejurus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom membuat ‘qaul jadid’ yang  mengesahkan bahawa dua sampel produk coklat Cadbury yang diambil terus dari kilang syarikat itu, disahkan bebas DNA babi. Jamil juga telah menyifatkan keputusan yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini mungkin tercemar.
 
Dalam amalan 'Quality Control dan Quality Assuarance' mana-mana kilang yang mengamalkan pengurusan yang baik, mereka pasti memeriksa sample secara rawak di tempat yang mampu memberi keputusan yang adil dan tepat. Pastilah memilih sampel daripada pasaraya lebih tepat kerana tindakan Jakim mengambil sampel di kilang boleh dieksploitasi, ditukar ganti dan pelbagai penyelewengan yang cocok sinonim agensi kerajaan yang lain.
 
Rakyat Malaysia yang tepu membaca rekod buruk agensi kerajaan melalui Laporan Ketua Audit Negara saban tahun cukup faham benar selok belok korupsi yang boleh berlaku.
 
Lebih menimbulkan keraguan dan persoalan di minda rakyat adalah, adakah tindakan segera Jakim mengambil sampel tambahan di kilang sebagai tindakan ‘double check’ atau tindakan meredakan kemarahan pihak korporat yang terlibat dalam isu ini?
 
Rakyat juga kelihatan menilai Jakim selaku agensi kerajaan yang lemah dan mampu ditolak ke kiri dan ke kanan oleh pihak korporat jika hal penguatkuasaan melibatkan untung rugi sesebuah syarikat walaupun ia melibatkan halal haram dalam pemakanan masyarakat.
 
Kita juga bersetuju dengan pandangan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang telah mengkritik keras Jakim kerana tidak memiliki makmal sendiri untuk memastikan status halal makanan lebih telus dan terkawal. Sikap suka bergantung dengan ‘third party’ serta tidak mahu membina kepakaran sendiri adalah sikap yang memundurkan umat Islam disaat negara gah melaungkan Islam wasatiyyah.


Pihak Kementerian Kesihatan yang dikatakan membocorkan maklumat keputusan ujian DNA berkenaan pada bulan Mei yang sepatutnya dibincang pada bulan Februari  juga meragukan rakyat. 

Adakah ada unsur melindungi kesalahan korporat tertentu oleh Kementerian Kesihatan? Adakah korupsi juga berlaku pada pihak kementerian berkenaan sehingga menangguh lama keputusan ujian tersebut dan tidak menyerahkan kepada pihak Jakim yang kelihatan terkapai-kapai semasa pendedahan itu dibuat pada bulan Mei yang lalu?

Adakah pihak Jakim sendiri telah maklum tetapi menyimpan maklumat ini atas desakan pihak tertentu? Hal inilah yang perlu diperjelas oleh Jakim untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada agensi  berkenaan semula.

No comments:

Post a Comment