Friday, June 6, 2014

Penjelasan Jakim isu DNA babi dalam Cadbury


Keputusan analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat keluaran Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) - mengesahkan tiada Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, masih belum meredakan orang ramai daripada memperkatakan isu halal coklat berkenaan.

Bahkan beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan membuat laporan polis berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Isnin berhubung status coklat berkenaan, kerana dianggap mengelirukan umat Islam.

Percanggahan keputusan ujian Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi Jabatan Kimia terhadap dua coklat berkenaan telah mewujudkan bermacam andaian dan persoalan.

Pelbagai tohmahan dan cemuhan dilemparkan kepada Jakim. Di laman-laman sosial, ada yang menuduh Jakim kononnya tidak telus, sanggup menipu, makan rasuah dan menyorokkan fakta sebenar, di samping mempertikaikan keputusan analisis Jabatan Kimia, yang dikatakan hanya menimbulkan was-was umat Islam.

'Kami juga Islam'

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata serangan bertali arus terhadap Jakim itu tidak adil memandangkan Jakim telah menjalankan tugas yang diamanahkan sehabis baik.

Katanya masyarakat perlu bertenang dan berfikir secara waras kerana sebagai badan Islam, tidak mungkin Jakim mengkhianati kepercayaan yang diberi.

"Sama seperti anda, saya juga orang Islam, malah pegawai saya juga beragama Islam dan kami ada keluarga yang juga pengguna Islam... takkanlah kami tergamak melihat dan membiarkan keluarga kami dan orang Islam lain untuk memakan produk yang kandungannya mempunyai babi.

"Malah, ramai pekerja di syarikat besar milik antarabangsa ini terdiri daripada orang Islam... takkan mereka hendak lepaskan sesuatu yang tidak halal untuk dimakan kepada masyarakat dan keluarga mereka," katanya dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.
Othman berkata setiap produk yang memperoleh logo halal disaring menepati prosedur operasi standard (SOP) serta piawaian yang begitu tinggi dan ketat.

"Bukan mudah untuk kami keluarkan sijil halal dan sebab itu kami selalu menerima aduan bahawa Jakim lambat meluluskan permohonan kerana proses penelitian yang sangat ketat," katanya.

Integriti Jakim

Othman berkata kemungkinan untuk berlakunya salah laku dan rasuah adalah sukar memandangkan pasukan dan individu berbeza terlibat dalam proses pemberian sijil halal.
Katanya semua proses permohonan halal termasuk pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis dilaksanakan oleh Jakim sendiri tanpa penyumberan luar bagi menjaga integriti.

"Kita ada empat tahap iaitu bahagian permohonan yang membuat penelitian awal, audit oleh auditor, panel penilai dan kemudian pemantauan berkala yang dibuat oleh pasukan berbeza. Panel penilai tidak terlibat dalam mana-mana pemeriksaan dan auditor juga tidak boleh berada di dalam mesyuarat panel... dia (individu terlibat) tidak boleh pengaruhi keputusan.

"Salah laku agak sukar... kalau orang nak rasuah, mereka nak rasuah di peringkat mana? Di peringkat proses dan audit? Mereka tidak terlibat dalam proses membuat keputusan, malah ada auditor yang membuat laporan syor supaya diluluskan tetapi ditolak oleh panel kerana tidak berpuas hati," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) itu amat penting dalam menjaga kesaksamaan dan bagi mengelakkan berlakunya percanggahan kepentingan.

"Ada cadangan untuk Jakim gunakan penyumberan luar tetapi kita dah ada pengalaman itu dahulu... timbul isu bila Jakim swastakan pemeriksaan dan sebagainya seperti caj, integriti dan tidak mengikut SOP malah sukar dikawal... sebab itu Jakim ambil balik dan putuskan untuk buat sendiri," katanya.

Sijil halal tidak boleh dibeli

Othman berkata adalah mustahil untuk sijil halal dibeli kerana pemohon perlu melalui proses yang amat ketat dan mematuhi semua piawaian halal sebelum sijil diluluskan.

"Jika ada, itu adalah pihak ketiga yang menyamar atau pertubuhan tidak diiktiraf yang mendakwa kononnya mudah mendapat sijil halal sedangkan prosesnya memakan masa yang lama dan amat susah," katanya.

Othman berkata memohon logo halal tidak diwajibkan, tetapi tindakan boleh diambil sekiranya produk tanpa sijil halal diletakkan sebarang logo halal.

"Kita masih meletakkannya (memohon sijil halal) secara sukarela... tetapi kalau tulis halal atau apa-apa cara yang mengaitkan dengan halal, ia salah dan kita boleh ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata pengguna boleh memuat turun aplikasi Halal-Square di telefon bimbit atau alat peranti bagi memeriksa kesahihan sijil halal yang digunakan di premis-premis perniagaan.

"Kita bekalkan poster kepada setiap outlet makanan seperti restoran dan hotel yang boleh diimbas menggunakan aplikasi Halal-Square... pengguna boleh tahu sama ada sijil halal premis itu masih sah, tamat tempoh atau palsu,"  katanya.

Mampu jejas nama negara

Beliau berkata isu halal yang dibesar-besarkan sebelum mendapat pengesahan sah mampu menjejaskan nama Malaysia di mata dunia sebagai hab halal yang menjadi rujukan banyak negara.
Katanya SOP dan standard yang diamalkan Malaysia diiktiraf oleh banyak negara, malah turut diaplikasikan di negara-negara tersebut dalam membangunkan sistem halal masing-masing.

"Sekarang ini negara-negara di Timur Tengah sedang merujuk kepada kita (Malaysia) untuk bimbingan dan bangunkan sistem halal mereka sebab mereka tidak ada sistem sebegitu selama ini... bagi mereka makanan mereka semuanya halal sebab mereka Islam.

"Sebagai negara yang menjadi rujukan banyak negara lain takkanlah kita nak abaikan aspek itu (DNA babi)... kita bimbang kalau isu sebegini memberi imej yang buruk kepada negara," katanya.

Iktiraf badan halal luar

Beliau berkata Jakim turut mempunyai skim Pengiktirafan Halal Badan Luar Negara dan setakat ini 57 badan halal dari 23 negara diiktiraf.

"Ini bagi membantu Jakim dan industri di sini apabila peniaga mengimport bahan mentah, ia memerlukan pengesahan halal dari negara pengeluar... negara pengeluar keluarkan sijil halal dan kita guna pakai.

"Kami tidak mungkin dapat periksa setiap ramuan kerana setiap syarikat mempunyai beratus produk dan beribu bahan ramuan, jadi kita dapatkan kerjasama dengan negara lain dengan menggunakan sistem ini," katanya.

Jakim katanya terlebih dahulu menilai keupayaan badan berkenaan daripada segi syariah, teknikal dan sistem pensijilan terlebih dahulu, sebelum mengiktiraf logo halal yang dikeluarkan mereka.
"Kita pantau bagaimana mereka menjalankan audit di kilang-kilang dan selepas berpuas hati barulah Jakim iktiraf mereka.

"Ada juga negara yang sebelum ini Jakim iktiraf tetapi apabila dibuat semakan semula, didapati mereka tidak lagi patuh dengan keperluan yang ditetapkan, maka Jakim keluarkan mereka daripada senarai," katanya.

Kembalikan keyakinan

Mengakui bahawa isu halal coklat Cadbury itu menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap Jakim tercalar, Othman berkata misinya pada masa ini adalah mengembalikan kepercayaan masyarakat.

"Kesedaran masyarakat sudah begitu tinggi tentang halal, namun mereka sebenarnya tidak faham prosedur yang dibuat Jakim itu bagaimana, sebab itu mereka keliru dan marah pada JAKIM," katanya. 

No comments:

Post a Comment