Saturday, November 15, 2014

Jais lewat selenggara masjid, tiada kepakaran jurutera

KUALA LUMPUR: Tiada kepakaran jurutera di dalam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi urusan baik pulih dan pengauditan masjid di negeri itu antara punca menyebabkan kebanyakan masjid kurang diselenggara dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata bilangan masjid yang banyak di Selangor menyebabkan tanggungjawab Jais adalah lebih besar berbanding negeri lain, lapor Selangor Kini.

Katanya, hal itu juga menyebabkan keupayaan Jais sebagai agensi pelaksana memiliki batasan termasuk menguruskan projek sedia ada.

“Kita perlu bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyediakan senarai kuantiti (BQ) untuk menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu, ketiadaan jurutera di Jais menyebabkan proses baik pulih atau audit di peringkat masjid dan sebagainya menjadi lambat kerana penyeliaan bukan mudah, kena ada profesionalisme,” katanya kepadaSelangor Kini.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan mengambil inisiatif untuk melantik jurutera secara kontrak bagi memastikan proses baik pulih dilakukan dengan selamat dan mengambil kira semua faktor.

“Saya akan bincang dengan pengarah sendiri dan bahagian terbabit untuk melihat bagaimana perkara ini boleh dibaiki daripada kita berkocak di luar,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara sebelum ini mendapati masalah bumbung adalah bentuk kerosakan tertinggi pada sekurang-kurangnya enam buah masjid kelolaan Jais.

Malah, laporan itu mendedahkan tujuh bentuk kerosakan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang belum dibaiki.

No comments:

Post a Comment