Saturday, November 15, 2014

Media baru: Anggap saluran terbaik tapi ancam PAS

TEMERLOH: Teknologi komunikasi melalui media baru yang sebelum ini dianggap menjadi saluran terbaik untuk menyampaikan maklumat yang benar kepada rakyat, mulai menjadi ancaman berat kepada PAS.

Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Saleh berkata, ini kerana bukan media arus perdana sahaja yang menyerang PAS malahan ahli-ahli PAS turut menggunakan media baru untuk berbuat demikian.

“Sepatutnya media baru dimanfaatkan untuk tujuan dakwah dan tarbiyah bagi mendidik manusia ke jalan yang benar. Tetapi kemudahan dunia langit terbuka dengan pelbagai aplikasi media sosial ini diambil kesempatan sebaliknya,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS peringkat negeri Pahang di Darul Amin Sungai Gau, dekat sini hari ini.

Selain beliau, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menyampaikan kertas kerja kedua.

Di bawah tajuk ‘Istiqamah Untuk Membawa Kebaikan Menerusi Media Baru’ Nik Zawawi berkata, PAS terus istiqamah untuk menggunakan media baru sebagai saluran rasmi parti bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan cepat.

Justeru, ujarnya pimpinan di segenap peringkat diseru memanfaatkan ICT dan media baru bagi tujuan menyampaikan maklumat parti. PAS negeri-negeri juga disaran menjadikannya sebagai alat rasmi parti bagi menyampaikan maklumat yang betul kepada ahli dan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, saluran media baru hendaklah sentiasa dipantau demi mengurangkan mafsadah dan fitnah agar kandungannya menguntungkan perjuangan Islam itu sendiri.

“Hentikan kenyataan mencemuh atau kenyataan sensasi. Jangan perkecilkan ulama. Ingat, sesiapa membuka keaiban orang, Allah akan buka keaibannya.

“Media organ parti seperti Harakah, Harakahdaily dan radio internet hijau.fm hendaklah menjadi media yang sentiasa efektif dalam menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti dari masa ke semasa,” katanya.

Mengenai istiqamah terhadap disiplin ilmu dan tarbiyah, beliau mengingatkan agar ahli-ahli jangan kerja bermusim, jangan tiada mesyuarat dan program kerana merasakan jauhnya lagi pilihan raya.

“Keadaan ini akan membuatkan ahli-ahli pada waktu dia ada selera dia berjuang tapi apabila tiba waktu dia tak suka dia akan berhenti sehingga mengakibatkan ruginya parti,” ujarnya lagi. –

No comments:

Post a Comment