Saturday, November 15, 2014

Ku Li bimbang pengangguran anak muda, graduan IPT

MELAKA: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah melahirkan kebimbangan dengan kedudukan pengangguran di kalangan anak muda dan graduan institusi pengajian tinggi di negara kita dewasa ini.

Menurutnya, di kalangan anak muda berumur antara 15 sehingga 19 tahun, kadar pengangguran ialah 15% dalam tahun 2011, atau 78,000 jumlahnya; dan di kalangan mereka yang berumur 20 ke 24 tahun, kadar penganggurannya 8.5% atau jumlahnya 157,000.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan sempena Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah ke-19 Kolej Yayasan Saad Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Berikut ialah petikan ucapan beliau.

Seperkara lagi yang membimbangkan saya, demi masa depan anak bangsa dan ekonomi negara kita, ialah kedudukan pengangguran di kalangan anak muda dan graduan institusi pengajian tinggi di negara kita dewasa ini.

Di kalangan anak muda berumur antara 15 sehingga 19 tahun, kadar pengangguran ialah 15% dalam tahun 2011, atau 78,000 jumlahnya; dan di kalangan mereka yang berumur 20 ke 24 tahun, kadar penganggurannya 8.5% atau jumlahnya 157,000.  Di kalangan graduan pula, keadaan lebih teruk.

Dalam tahun 2013, Bank Dunia telah menganggarkan kadar pengangguran di kalangan graduan telah mencecah 21%; di kalangan pemegang STPM/Diploma purata penganggurannya ialah 13%, di kalangan PMR-SPM/SPMV 10%.  Pengangguran di kalangan anak muda kita adalah antara yang tertinggi di rantau Asia melainkan Indonesia. Tak kiralah keadaan di Eropah lebih buruk.  Tetapi kita tidak harus bersenang hati dengan keadaan ini.

Jika ekonomi negara menghadapi krisis, yang kita jangka dalam masa terdekat, masalah pengangguran belia ini sungguh membimbangkan.

Yang menjadi isu yang lebih besar dalam hal pengangguran ini ialah taraf kemahiran yang ada pada anak muda ini; apa yang kita keluarkan dari sekolah dan institusi pengajian tinggi kita sekarang semakin kurang menggalakkan jika diambil kira keperluan industri.

Mengikut Bank Dunia, dalam Laporan Ekonomi Malaysia 2009, yang menyentuh maklumbalas dari majikan tentang keupayaan pelajar lepasan pengajian menengah dan tinggi, terdapat beberapa konstrain atau kekurangan kemahiran dalam beberapa bidang. 

Empat puluh lapan peratus (48%) dari majikan yang dibanci menyatakan kekurangan keupayaan IT di kalangan graduan muda kita, 46% melaporkan kekurangan Bahasa Inggeris, 37% melaporkan kekurangan dalam kebolehan am berkomunikasi, 30% dalam keupayaan kreativiti, dan 28% berkata kekurangan kemahiran teknikal/profesyenal, dan 25% dalam penyelesaian masalah (problem solving).

Dalam kajian Talent Corp bagi 2014, didapati 81% majikan melaporkan defisit kemahiran di kalangan graduan baru lepasan universiti negara kita dalam bidang kemahiran komunikasi; 56% dalam pemikiran kritikal dan kreatif; 51% defisit dalam kemahiran analisis; dan 47% mengatakan mereka kurang upaya bekerja secara sendiri atau bebas, tanpa tunjuk ajar.

No comments:

Post a Comment