Wednesday, March 11, 2015

PERDANA MENTERI PERLU PERJELAS DESAS-DESUS SUNTIKAN DANA BARU KE DALAM 1MDB




Sejak isu masalah kewangan 1MDB dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, desas-desus mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB terus menjadi spekulasi. Ini diperkuatkan lagi selepas pertemuan Najib  Razak dengan ketua-ketua bahagian Umno pada 8 Mac 2015 baru-baru bila mana presiden Umno itu dilaporkan memberi penerangan lanjut mengenai 1MDB.

Saya diberikan maklumat oleh seorang Ketua Bahagian Umno yang hadir di dalam pertemuan pada 8 Mac 2015 itu bahawa penerangan mengenai 1MDB itu dilaporkan berkisar sekitar masalah aliran tunai 1MDB. Maklumat itu turut mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyuntik RM900 juta dana baru ke dalam 1MDB untuk membantu masalah aliran tunai 1MDB. Daripada jumlah RM900 juta dana baru itu, pemberi maklumat itu mendakwa RM300 juta telah pun disalurkan kepada 1MDB.

Dakwaan ini adalah satu dakwaan yang berat dan melibatkan kepentingan awam kerana kedudukan kewangan 1MDB adalah berisiko besar. Adalah dibimbangi sebarang suntikan dana baru oleh Kerajaan Persekutuan berkemungkinan tidak boleh dibayar kembali oleh 1MDB.

Ada juga spekulasi bahawa satu jumlah yang besar telah pun dipindahkan kepada 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri tetapi jumlah suntikan itu (ada yang merujuk sebanyak RM3 bilion) tidak diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Maklumat dari taklimat Najib Razak kepada Ketua-ketua Bahagian Umno dan spekulasi yang timbul mengenai kemungkinan suntikan dana baru kepada 1MDB yang tidak diumumkan kepada rakyat ini perlu diberi perhatian segera.

Selama ini pun, segala urusan 1MDB dijalankan tanpa ada pertanggungjawaban kepada rakyat atau Parlimen hinggalah jumlah hutangnya mencecah RM42 bilion setakat tahun kewangan 2014. Untuk mengelakkan keadaan ini berlanjutan, sebarang dakwaan dan spekulasi mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB perlulah diberi perhatian segera.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya  Najib Razak mendedahkan minit mesyuarat Jemaah Menteri mengenai 1MDB dan suntikan dana ke dalam 1MDB. Beliau juga perlu memberi penjelasan mengenai maklumat dari taklimat Ketua-ketua Bahagian Umno bahawa suntikan baru RM900 juta telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB. 

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


No comments:

Post a Comment