SHAH ALAM - “Kalau Datuk Husam (Musa) berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saya yang berketinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang Abdul Hadi dari segi kepimpinan,” demikian ujar Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menerusi kenyataannya semalam, beliau bertegas menolak pencalonan dari Pas Kota Bharu yang mencalonkannya untuk mencabar Presiden parti, Abdul Hadi bagi Pemilihan Pas 2015.
Tambah Tuan Ibrahim, beliau merasakan pencalonan tersebut tidak membina keutuhan parti itu.
"Dalam Pas jawatan bukanlah menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat' (berlumba melakukan kebaikan).
“Pencalonan saya untuk mencabar Abdul Hadi sebagai presiden merupakan satu kejutan. Dalam sejarah kepimpinan Pas, jawatan presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya di era kepimpinan ulama. Saya melihat manisnya jika kita yang mendokong kepimpinan ulama, terus mengekalkan budaya tersebut.,” katanya.
Tuan Ibrahim sebelum ini dicalonkan Pas Kawasan Kota Bharu untuk mencabar penyandang bagi jawatan presiden parti tersebut, Abdul Hadi pada muktamar parti itu awal Jun ini.
Pengumuman pencalonan tersebut dibuat yang dipertuanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada satu mesyuarat khas Isnin.
Jelas beliau lagi, Abdul Hadi merupakan seorang pemimpin yang mempunyai kejayaan luar biasa dan prestasi yang sangat hebat.
"Kalau Kesatuan Ulama Sedunia mengangkat beliau (Hadi) sebagai orang nombor dua di dunia, apakah wajar kita mencadangkan untuk menggantikan beliau? Saya bimbang kita memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat luar.
"Saya menolak pencalonan tersebut dan menyeru semua kawasan lain agar terus mendokong kepimpinan Hadi sebagai presiden parti. Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu," ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment