Friday, October 24, 2014

Mangsa Fitnah: Dr Asri simpati dengan nasib UAI

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melahirkan rasa simpati terhadap fitnah yang menimpa penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI).
Beliau berkata, tiba masanya kerajaan Persekutuan menguatkuasakan undang-undang yang fokus hukuman kepada individu yang bertindak menyebarkan gambar atau video kehidupan peribadi seseorang.
 
Dr Asri berkata demikian selepas diminta mengulas penyebaran gambar dan rakaman video lucah yang dikaitkan dengan penceramah bebas itu.
 
Rakaman video berdurasi 0:38 saat itu menampilkan seorang lelaki mirip UAI dengan seorang wanita, melakukan adegan intim dengan sebahagian badan mereka dilitupi selimut.
 
Lelaki mirip Ustaz Azhar itu seolah-olah menyedari aktivitinya dirakam apabila beliau dikesan melirik tepat kepada kamera.
 
"Saya bersimpati kepada Ustaz Azhar Idrus. Sepatutnya tidak ada sesiapa yang boleh sebar, berkongsi dan jangan buat kesimpulan buruk perkara yang kita sendiri tidak tahu (kebenarannya).
 
"Kerajaan kena buat undang-undang terhadap sesiapa yang menyebarkan sisi peribadi seseorang, sama ada anak, isteri seseorang atau merakam perbuatan di rumahnya, yang mana mereka tidak suka orang tahu, termasuk hubungan intimnya. Maka undang-undang perlu dibuat untuk ambil tindakan kepada si pelaku," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Rata-rata penggiat media sosial, marah dan kecewa dengan tindakan penyebaran gambar dan rakaman tersebut yang disifatkan sebagai cubaan jahat untuk memalukan individu berkenaan.
 
Mengulas lebih lanjut, Dr Asri bersependapat dengan kenyataan pembantu UAI, Zulkifli Wahab yang menyifatkan penyebaran video palsu itu adalah cubaan menggagalkan usaha penyebaran dakwah di kalangan umat Islam di negara ini.
 
Beliau menasihatkan rakyat di negara ini agar meneliti penyampaian berita di laman sosial, terutamanya yang dikendalikan oleh 'bloggers' kerana kebiasaannya bermotifkan politik.
 
"Ini karakter politik yang membunuh (assassination) yang dilakukan sesetengah pihak terutamanya bloggers yang bersikap jahat. Kebanyakan blogger jahat ini ada tuannya di dalam politik.
 
"Sebab itulah rakyat kena teliti bloggers jahat berpihak kepada parti mana. Maka kita akan tahu tabiat sesebuah parti itu jahat atau sebaliknya," katanya lagi.
 
Sementara itu Zulkifli berkata, UAI masih meneruskan program ceramah seperti biasa dan tidak terjejas dengan penyebaran video palsu itu.
 
Penceramah bebas ini suatu ketika dahulu mencetus fenomena apabila berjaya menarik ribuan orang hadir  ke program ceramah agamanya.
 
Penyampaiannya yang bersahaja diselit dengan jawapan lucu tetapi tepat, padat dan mengena, mencuit hati orang yang hadir.

Rosmah memalukan Malaysia di luar negara..!!

Video Rosmah senggol Najib jadi viral di laman sosial, dikritik umum


Video aksi Datin Seri Rosmah Mansor menyenggol bahu Datuk Seri Najib Razak dalam satu majlis rasmi bersama pemimpin Indonesia menjadi viral di
laman sosial dan mendapat kritikan hangat orang ramai.
Insiden tersebut berlaku ketika Najib yang diiringi isterinya itu menghadiri upacara mengangkat sumpah Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia ketujuh, di Jakarta Isnin lalu.
Rosmah yang duduk bersebelahan, mengalih pandangan ke arah Najib terlebih dahulu sebelum menyenggol kuat bahu Najib sehingga kejadian itu disedari orang yang duduk bersebelahan mereka.
Malah perlakuan Rosmah itu turut ditayangkan dalam slot berita perdana RTM pada hari yang sama.
Video berdurasi selama tiga saat itu secara jelas memperlihatkan tindakan Rosmah berkenaan sangat memalukan kerana sanggup memperlakukan Najib sedemikian rupa di hadapan umum.
Tingkah laku Rosmah itu bahkan menjadi ‘buah mulut’ rakyat Malaysia.
Salah seorang pengguna facebook, Terence Yeoh berkata, “tiada apa yang terkejut, rakyat Malaysia sudah tahu siapa ‘bos’ sejak dulu lagi”.
Murni Sootchi pula menyatakan: “punya lah kuat singgung…sekarang tahulah kita macam mana PERMATA dapat peruntukan RM711 juta dalam Bajet 2015″.
Pengguna bernama Bigbosman Bos Buat turut membidas kelakuan Rosmah itu dengan berkata, “apa yang big mama menyasak kat situ..lepas itu buat perangai…menjatuhkan maruah PM je.. kampungan betullah…”.
Sarif Sharifuddin pula mempersoal – “agaknya di rumah macam mana yer…(Rosmah)”, tulisnya di facebook.
Ada juga yang memberi jolokan Rosmah sebagai ‘queen control’, ‘contoh wanita mithali, ‘Malaysia first lady’, selain menyifatkan tindakan Rosmah itu sebagai ‘memalukanMalaysia’.

Guna MyKad beli minyak, betapa celarunya kerajaan Umno@Bn

Cadangan penggunaan MyKad bagi tujuan untuk mengisi minyak tahun hadapan dilihat tidak menyelesaikan masalah terutamanya kumpulan sasar.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun kerajaan cuba mengawal pembelian minyak melalui penggunaan MyKad, namun ia tetap boleh disalahgunakan.

"Kerajaan kata nak kawal subsidi dengan penggunaan MyKad kumpulan sasar berpendapatan bawah RM4,000 akan dapat menikmati subsidi.

"Adakah kerajaan boleh beri jaminan boleh kawal jika mereka yang berpendapatan tinggi yang bawa rakan mereka yang layak menerima subsidi membeli minyak?

"Sudah tentu sukar kerana pekerja stesen minyak bukannya hanya boleh mengawal seorang pelanggan tetapi mereka perlu berdepan lebih ramai pelanggan dalam satu masa," ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, cadangan tersebut turut membuktikan kerajaan mempunyai fikiran yang celaru dalam mencari pendapatan negara untuk menyelesaikan hutang.

"Kerajaan hanya berfikir dengan penarikan subsidi akan mengurangkan perbelanjaan negara termasuk untuk membayar hutang.

"Kerajaan sekarang benar-benar bercelaru dalam menyelesaikan hutang-hutang yang semakin bertimbun, bila ini berlaku pelbagai cadangan yang timbul walaupun pelaksanaannya tetap gagal seperti penggunaan Mykad," sambung beliau.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan subsidi merupakan hak yang harus dinikmati seluruh rakyat negara ini, selain mengawal kenaikan harga barangan keperluan dan pengangkutan awam.

"Subsidi hak rakyat dan tidak boleh diambil walaupun kerajaan mengatakan untuk mengurangkan kos perbelanjaan negara.

"Sepatutnya yang perlu dilakukan kerajaan adalah dengan mengurangkan perbelanjaan mereka yang merugikan seperti acara pelancaran sesuatu projek, program yang tidak mendatangkan faedah.

"Kita sedia maklum sebelum ini kerajaan telah berbelanja besar dengan pelbagai program, ini sepatutnya kerajaan elak sekarang bukan ambil dari rakyat," katanya lagi.

Mahfuz yang tidak menolak bahawa kerajaan akan menarik sepenuhnya subsidi minyak dan menjualnya mengikut harga pasaran biasa.

"Kita kena ingat jika keseluruhan subsidi minyak ditarik balik dan mengatakan GST tidak dikenakan itu hanya sementara sahaja, sudah pasti selepas subsidi tiada maka GST akan dikenakan pada minyak RON95 termasuk diesel sekali," kata beliau.

Saya tak peduli orang nak kritik - Rosmah


Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyedari bahawa beliau turut menjadi sasaran kritikan oleh pihak yang tidak menyenangi pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
"Mereka ini hanya mahu tumbang Kerajaan, tetapi mereka tidak boleh buat pada Najib, jadi mereka buat pada saya," katanya dipetik Mstar Online.
Beliau dilaporkan berkata demikian pada sambutan Hari Wanita Desa Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2014 di Kelana Jaya semalam.
Beliau mengulas kritikan banyak pihak terhadap pembabitan beliau yang didakwa 'mengawal' Najib dan penglibatan beliau dalam program pendidikan awal kanak-kanak dan Permata.
Menurutnya, sesiapa yang mahu mendapatkan maklumat sahih atau penjelasan boleh menulis surat ke pejabatnya di Pejabat Perdana Menteri.
Walaupun berhadapan dengan serangan peribadi, Rosmah berkata, beliau tidak mempedulikannya dan akan meneruskan usaha mencemerlangkan wanita dan kanak-kanak.

'Perumahan Mampu Lihat'... yang tak mampu tu terus menunggu dan jangan putus asa MENGUNDI DACING sampai mati yer..


Kadar Kenaikan Harga Tambang Bas Sekolah Naik 2015 Sebanyak 30%. Kesan Domino Harga Minyak Naik 20 Sen (2013) + 20 Sen (2014) Bermula!

Kadar Kenaikan Harga Tambang Bas Sekolah Naik 2015 Sebanyak 30%. Kesan Domino Harga Minyak Naik 20 Sen (2013) + 20 Sen (2014) Bermula! Jikalau kenaikan harga minyak 20 sen tahun 2013, mereka masih boleh bertahan lagi walaupun permintaan mereka masa itu ditolak supaya kenaikan harga tambang bas sekolah naik ditangguhkan buat sementara waktu. Tetapi tidak untuk kenaikan harga minyak 20 sen baru-baru ini. Muktamad!!!
ITulah…. antara bait-bait perkataan yang keluar daripada mulut Presiden GPBSM (Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia) Mohd Rofik Mohd Yusof akan akan mula menawarkan harga baru tambang bas sekolah 2015 apabila kenaikan tambang bas sekolah naik 2015 tidak dapat dielakkan lagi yang mana kadar baru tambang bas sejumlah 30% dirasakan mereka agak munasabah dengan beban kos yang terpaksa ditanggung mereka selama ini.

  1. Sejumlah 18,000 pengusaha bas sekolah di seluruh Malaysia termasuk Sabah, sarawak sebulat suara akan menawarkan kadar dan harga baru tambang bas sekolah untuk anak-anak semua termasuk kepada pembaca Berita Semasa
  2. Punca kenaikan tambang bas sekolah naik adalah disebabkan kenaikan harga alat ganti kenderaan, kenaikan harga minyak untuk 2 tahun berturut-turut
  3. Kadar kenaikan tambang bas sekolah naik adalah sekitar RM9 sebulan bagi setiap pelajar
  4. Tetapi difahamkan pengusaha bas sekolah akan memberikan sedikit kelonggaran dan budi bicara untuk menawarkan pengurangan tambang bas sekolah jikalau anda mempunyai 3 orang anak yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah

Kesan domino kenaikan harga minyak 20 sen terus berlangsung. Adakah selepas ini tiba giliran pengumuman kenaikan tambang bas ekspres seterusnya tawaran harga baru untuk anda pula? Nantikan….

Saturday, July 19, 2014

MH17: Pengganas halang siasatan, cuba hapus bukti - Ukraine

KUALA LUMPUR: Kerajaan Ukraine mendakwa kumpulan pengganas pro-Rusia menghalang pelancaran siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Donetsk, wilayah timur Ukraine, Khamis lepas.
    
Menurut kiriman terbaru dalam portal rasmi kerajaan Ukraine, http://www.kmu.gov.ua, kumpulan itu menghalang pasukan penyiasat dan pemantau antarabangsa daripada pergi ke lokasi nahas.
    
"Kerajaan dimaklumkan kumpulan pengganas telah memindahkan sebanyak 38 mayat ke rumah mayat di Donetsk di mana 'pakar-pakar' berloghat Rusia mendakwa mereka berhasrat melakukan proses bedah siasat.
    
"Kumpulan pengganas juga sedang mencari lori kargo untuk membawa serpihan pesawat ke Rusia," menurut laman web itu.
    
Kerajaan Ukraine secara rasmi berkata: "Pengganas dengan sokongan Rusia cuba menghapuskan bukti jenayah antarabangsa ini.    
    
"Kami menggesa komuniti antarabangsa untuk memaksa Rusia menarik balik pengganasnya daripada Ukraine dan membenarkan pakar Ukraine dan antarabangsa untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap tragedi ini.
    
Kerajaan Ukraine juga berkata tidak ada pengampunan untuk penjenayah antarabangsa mahupun bagi mereka yang menyokong, melatih, membiayai dan membekalkan senjata kepada kumpulan itu.
    
"Kerajaan (Ukraine) menyediakan semula peralatan teknikal yang sewajar dan anggota untuk menjalankan siasatan dan pemeriksaan forensik serta apa juga kemudahan untuk menghantar jasad mangsa ke negara asal masing-masing.
    
"Bagaimanapun pada peringkat ini, kumpulan pengganas menghalang usaha ini daripada berlaku," menurut laman web itu.
    
Penerbangan MH17, dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal, ditembak jatuh dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu permukaan ke udara, ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kesemua penumpang dan anak kapal disahkan terkorban dalam nahas tersebut yang berlaku, kira-kira 50km dari sempadan Rusia.
    
Menurut laman web Pusat Media Krisis Ukraine, sebanyak 170 anggota pasukan mencari dan menyelamat Ukraine sedang menjalankan operasi di lokasi nahas di bawah muncung senjata kumpulan pengganas tersebut.
    
Semasa taklimat di pusat media di Kiev, kira-kira 400km dari lokasi nahas di daerah Sharkhtarsk, wilayah Donetsk, jurucakap Pusat Maklumat Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andriy Lysenko berkata operasi mencari dan menyelamat begitu rumit sekali dengan kehadiran pengganas bersenjata di kawasan berkenaan.
    
Lysenko berkata operasi mencari dan menyelamat itu meliputi kawasan seluas 25km persegi dengan kira-kira 18km persegi sudah diselesaikan dan pasukan penyelam telah memeriksa lebih dua kilometer takungan air di kawasan itu.
    
"Setakat pukul 7 pagi waktu Ukraine, 19 Julai, sebanyak 186 mayat telah ditemukan," katanya.

Perintah berkurung di Pantai Timur Sabah

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengisytiharkan perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah bermula dari Tg Pundaras, Sandakan hingga ke Jeti Tawau berkuat kuasa hari ini hingga 2 Ogos ini.
    
Ia bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi.
    
Beliau berkata kawasan perintah berkurung bermula selepas tiga batu nautika dari pantai sepanjang perairan dari Sandakan melalui daerah Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna hingga ke Jeti Tawau sejauh 362 batu nautika meliputi kawasan seluas 121, 270 batu nautika persegi.
    
"Memandangkan keadaan keselamatan di perairan di beberapa daerah di Sabah dalam keadaan terancam dan menimbulkan kegusaran kepada orang ramai serta mengganggu kehidupan ekonomi masyarakat setempat berikutan berlakunya pencerobohan pengganas Sulu, maka pihak polis memutuskan untuk menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan terlibat.
     
"Kuasa untuk saya isytihar perintah berkurung adalah di bawah Seksyen 3 (1) Akta Polis 1967. Kuasa saya, (perintah berkurung) ini tidak melebihi 24 jam.
    
"Tetapi saya sudah menulis kepada menteri dalam negeri dan menteri bersetuju memberi tambahan tidak melebihi 14 hari," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
    
Dengan pengisytiharan perintah berkurung berkenaan, Jalaluddin berkata tiada
sesiapa pun, kecuali anggota keselamatan dan orang yang diberikan pengecualian yang boleh berada di dalam kawasan yang telah ditetapkan dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
    
Beliau berkata mana-mana orang, selain anggota keselamatan yang perlu memasuki atau melalui kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan perintah berkurung perlu mendapat permit pengecualian perintah berkurung daripada Ketua Polis Daerah (OCPD) di kawasan mereka berada.
    
Turut hadir Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun.
    
"Oleh itu, saya telah mengarahkan semua OCPD untuk memberi notis kepada
Jabatan Laut serta semua pihak yang ada kepentingan di kawasan ini termasuk
pengusaha calet dan sangkar ikan yang berada di dalam kawasan perintah berkurung, hari ini. Saya telah berhubung dengan Ketua Menteri Sabah memaklumkan tindakan ini. Saya juga akan berhubung dengan ketua keselamatan negeri dan pegawai daerah," katanya.
    
Jalaluddin berkata sesiapa yang dijumpai di kawasan perintah berkurung adalah melakukan kesalahan dan boleh ditangkap tanpa waran di bawah Seksyen 3 (2) Akta Polis 1967 serta dituduh di mahkamah dan dihukum mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967.
     
Beliau berkata mana-mana orang yang berada di dalam kwasan perintah berkurung juga apabila diarah oleh anggota pasukan keselamatan untuk berhenti dan diperiksa hendaklah meberi kerjasama dan sekiranya gagal berbuat demikian anggota keselamtan akan mengambil segala tindakan yang perlu termasuk menggunakan kekerasan yang dibenarkan oleh undang-undang.
    
"Memandangkan kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan perintah
berkurung adalah meliputi kawasan lautan dan melibatkan penggunaan bot, perahu atau kapal, maka anggota pasukan keselamatan akan memberikan arahan dengan menggunakan pembesar suara, lampu, siren atau cara-cara lain yang bersesuaian.
    
"Oleh itu orang awam adalah dinasihatkan mengambil perhatian terhadap
cara-cara yang dinyatakan itu," katanya.
    
Beliau berkata mana-mana pihak yang melanggar peraturan perintah berkurung boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
    
kata Jalaluddin, apabila terdapat suspek yang disyaki telah melakukan penculikan ataupun pembunuhan yang hukumannya adalah gantung sampai mati atau penjara seumur berada di kawasan perintah berkurung, maka anggota keselamatan boleh melepaskan tembakan ke sasaran berkenaan.
    
Mengenai nelayan laut dalam yang mungkin terpaksa keluar menangkap ikan pada waktu malam, beliau berkata mereka boleh memohon permit daripada OCPD untuk melalui kawasan perintah berkurung, namun mereka tidak dibenarkan menangkap ikan di kawasan perintah berkurung.
    
Malah katanya pelancong yang berada di pulau peranginan juga tidak dibenarkan keluar dari pulau berkenaan atau melakukan aktiviti selaman dalam tempoh perintah berkurung bagi memudahkan anggota keselamatan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih mantap.
    
"Kalau dalam tempoh 14 hari, saya memikirkan kawasan ini masih tidak selamat, kita akan bincang semula dan kita akan mengambil tindakan susulan sama ada kita menggunakan Public Order (Preservation) Akta 1958 (POPA) atau mengikut pertimbangan undang-undang yang diperuntukan.
    
"Kalau POPA dikuatkuasakan, kuasa diberi kepada OCPD (isytihar perintah berkurung) tidak melebihi 24 jam, Pesurujaya Polis tidak lebih 48 jam dan menteri tiada had. Tapi untuk peringkat permulaan, saya pakai Akta Polis," katanya.

Sidang Parlimen Khas, PAS arah semua hadir

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan semua ahli parlimen mereka wajib hadir pada sidang Parlimen Khas mengenai nahas pesawat MAS MH17 yang akan diadakan pada 23 Julai nanti.

Berkata pada Harakahdaily, Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang menyambut baik cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membincang dan mencari jalan penyelesaian atas insiden yang berlaku.

Beliau turut berharap ia akan menjadikan satu permulaan dan amalan yang baik ada sidang sedemikian diadakan pada masa akan datang untuk membincangkan topik-topik yang berlaku di peringkat negara mahupun antarabangsa.

"Saya menyambut baik cadangan kerajaan yang akan menanggil sidang parlimen khas bagi membincangkan insiden MH17 yang djadualkan pada 23 Julai nanti.

"Ini yang dituntut oleh PAS khususnya Pakatan Rakyat supaya sidang khas diadakan bagi kita membincangkan serta memberi pendapat dalam pelbagai isu terutama membabitkan kepentingan awam," jelasnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu meminta agar sidang khas ini tidak menjadi sidang kali pertama dan terakhir kerana perbincangan yang dilakukan di parlimen akan dapat mencari penyelesaian terbaik.

"Sebelum ini sudah banyak kali kita cadangan tetapi kerajaan tidak bersedia, saya harap ini bukan kali pertama dan terakhir.

"Ia perlu dijadikan amalan dan budaya dalam negara ini, seperti isu di Gaza sepatutnya sidang khas diadakan kerana ia membabitkan hal kemanusiaan sejagat serta tanda keperihatinan kita," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut mengarahkan agar semua pejabat dan kompleks PAS di seluruh negara mengibar bendera separuh tiang sebagai tanda simpati kepada nahas tersebut.

Sebelum itu, beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah bersama Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Ismail Salleh, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah Musadak Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Kedah Sanusi Md Noor telah menurunkan bendera separuh tiang di Kompleks PAS Negeri Kedah di Batu 9 Jalan Kota Sarang Semua sebentar tadi.

10 lagi penduduk Gaza terkorban dibedil rejim zionis

Serangan tentera rejim zionis Israel yang memasuki hari ke-12 membunuh 10 lagi penduduk Gaza melalui bedilan dari udara awal pagi ini.

AFP yang memetik jurucakap pasukan kecemasan, Ashraf al-Qudra melaporkan tujuh orang terkorban di luar sebuah masjid di Khan Yunis, di selatan Gaza.

Dengan korban terbaru itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dibunuh tentera zionis meningkat kepada 306 orang sejak serangan yang bermula 8 Julai lalu.

Sementara itu dilaporkan, hanya seorang tentera dan orang awam negara haram itu terbunuh.

Gaza akan jadi kubur tentera rejim Israel - Hamas




KUALA LUMPUR: Hamas mengingatkan rejim zionis Israel bahawa Gaza akan menjadi perkuburan kepada tentera negara haram itu.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri menegaskan demikian semalam, sehari setelah rejim Israel melancarkan serangan darat ke Gaza.

“Kami memperingatkan Israel terhadap perang darat,” katanya kepada bilik berita Lebanon Al-Mayadeen TV.

Ini, jelasnya seperti operasi yang akan memungkinkan Hamas untuk membebaskan tahanan mereka yang masih berada di penjara Israel.

"Kami akan menangkap tentera Israel dan lakukan pertukaran tawanan berikutnya atau Gaza akan menjadi kuburan bagi tentara penjajah, dan ini bukan slogan. Waktu akan mengungkapkan untuk si pengecut Netanyahu. Dia akan membayar harga yang mahal," tegasnya dipetik daripada portal eramuslim.

Ditanya mengapa Hamas tidak mahu menghentikan serangan roket sehingga mendorong kabinet Israel untuk memilih operasi darat, Abu Zuhri menegaskan "itu semacam keputusan yang akan kami lakukan selama masih dalam penjajahan. Dengan pengorbanan darah ini [yang disebabkan oleh pertempuran dengan Israel], kami akan membawa kehidupan yang normal di  Jalur Gaza”.

PAS Kedah anjur solat jenazah ghaib MH17

ALOR SETAR: PAS Negeri Kedah akan mengadakan majlis solat jenazah ghaib khas untuk jenazah muslim yang terkorban dalam tragedi pesawat MAS MH17.

Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata (Gambar), makluman kepada semua Yang DiPertua PAS Kawasan seluruh Kedah telah dilakukan untuk dipanjangkan kepada seluruh ahli PAS di negeri ini.

Ujarnya, semua ahli diminta bersiap sedia pada bila-bila masa untuk hadir ke majlis tersebut yang akan diadakan di Kompleks PAS Kedah sebaik sahaja pengurusan jenazah mangsa hingga boleh disembahyangkan di Ukraine diselesaikan.

"Kami akan sentiasa memantau urusan ini dari dekat melalui media dan sumber- yang berada di sana," ujarnya di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, sebentar tadi.

PAS Kedah katanya, turut merakamkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi itu dan diharap mereka terus bersabar serta menyerahkan kepada pihak berkuasa menguruskan kes tersebut diperingkat antarabangsa.

PAS Kedah juga maklumnya, turut menyambut baik seruan Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak supaya bendera Malaysia dikibarkan separuh tiang dan telah mengarahkan semua markaz PAS seluruh Kedah menaikkan bendera separuh tiang.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Mahfuz Omar mengetuai arahan mengibarkan bendera Malaysia separuh tiang di Kompleks PAS Kedah seusai Mesyuarat Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah sebentar tadi.

Turut sama Timbalan Pesuruhjaya II, Dato' Dr Ismail Salleh; Setiausaha, Ustaz Musoddak Ahmad dan juga Sanusi. –

Pasukan siasatan Malaysia khas tiba di Kiev

KIEV, UKRAINE: Pasukan siasatan khas Malaysia mengenai tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kiev di sini pada pukul 4 pagi (waktu Kiev), Sabtu.
    
Ketuanya Khairil Hilmi Mokhtar berkata pasukan itu, yang terdiri daripada 131 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan, akan berada di Ukraine sehingga 25 Julai.
    
"Saya harap semua proses akan berjalan lancar bagi pasukan sisatan ini," kata Khairil Hilmi, yang juga ketua penolong setiausaha Bahagian Pengurusan Rentas Sempadan Majlis Keselamatan Negara kepada wartawan Malaysia sejurus tiba di lapangan terbang itu.
    
Pasukan itu, yang turut mengandungi pegawai forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia dan pegawai perubatan, berlepas dari Kuala Lumpur pada Jumaat malam dengan sebuah pesawat sewa khas.
    
Khairil Hilmi berkata pasukan itu perlu membincangkan dan menyelesaikan beberapa perkara pada Sabtu memandangkan tempat pesawat berkenaan terhempas terletak kira-kira 500km dari Kiev.
    
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji siasatan mendalam akan dijalankan untuk mencari punca sebenar Penerbangan MH17 terhempas di Ukraine pada Khamis, walaupun pihak berkuasa negara itu percaya ia ditembak.
    
Pada Jumaat, MAS mengesahkan Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang, termasuk tiga bayi, terdiri daripada pelbagai warganegara dan 15 anak kapal warganegara Malaysia.
    
Pesawat Boeing 777-200 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi Jumaat, waktu Malaysia.

Allahyarham Ghafar bantah hidang arak dalam MAS


MASJID TANAH: PAS Kawasan Masjid Tanah menyatakan rasa sedih dan simpati di atas kejadian yang mengorbankan Ketua Pramugara, Abdul Ghafar Abu Bakar yang bertugas dalam pesawat MAS, MH17 yang dtimpa kemalangan di sempadan Russia-Ukraine.

Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Imran Abdul Rahman berkata demikian ketika menyampaikan ucapan takziah kepada ibu Abdul Ghafar, Maimon Sarpan, 74 di rumah beliau di Kampung Seri Tanjung di sini tengah hari tadi

Maimon berkata beliau terkejut menerima berita kejadian tersebut apabila diberitahu oleh anaknya pada tengah malam peristiwa malam itu.

"Anak saya telefon suruh buka TV tengok berita, dia kata Salim terlibat dengan kemalangan tersebut, saya baru nak tidur masa itu"

"Tidak ada apa yang dapat saya katakan, hanya air mata yang mengalir mengenangkan anak saya ini," ujar beliau.

Menurur Maimon, Salim (nama panggilan keluarga untuk Ghafar) merupakan anak yang baik dan sentiasa ingat kepada keluarga.

"Kita mendoakan roh Allahyarham dan semua penumpang muslim lain dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama roh para anbia, syuhada dan solihin"

"Kami juga mengharapkan Mak Cik Maimon dan keluarga tabah menghadapi dugaan Allah ini," ujar Imran dengan nada sedih.

Dalam pertemuan itu Maimon menunjukkan gambar-gambar Ghafar dan sentiasa memuji kebaikan anaknya yang terkenal dengan kuat beragama dan sentiasa komited menjaga kebajikan keluarga.

Difahamkan Allahyarham Ghaffar adalah seorang yang berani melawan perintah syarikat agar tidak menghidangkan arak di dalam penerbangan yang diketuainya.

Seorang rakannya Halim Hassan menyatakan Ghafar adalah seorang yang suka solat malam, mengaji dalam penerbangan dan menjadi mutawif (pemandu ibadat haji dan umrah) kawan-kawannya semasa umrah, Halim Hassan menulis perkara itu dalam komuniti Whatsapp Masjid Bukit Indah yang kini disebarkan melalui media sosial.

Menurut rakan-rakannya dari kariah Masjid Bukit Indah itu, selain membuat bantahan kepada MAS tentang penghidangan arak di dalam kapal terbang, Ghafar pernah menulis surat kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan para mufti agar mengeluarkan arak daripada sajian dalam pesawat MAS.

Ghafar juga, kata Halim, pernah meminta pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein agar membenarkan para pramugari beragama Islam untuk memakai tudung semasa bertugas. 

Friday, June 20, 2014

Kes Aslam: Mana transformasi Najib, soal PKR

 Tindakan kerajaan yang mengambil tindakan terhadap pelajar Malaysia, Aslam Abd Jalil hanya kerana menghadari satu program bersama pemimpin Pakatan Rakyat dikecam banyak pihak.


Aslam yang belajar di Australian National University (ANU), Canberra didakwa menerima surat tunjuk sebab dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atas alasan telah mengambil bahagian dalam forum mengenai isu semasa Malaysia.

Forum tersebut diadakan di universiti itu pada 22 April lalu bersama panel Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (PJU) Tony Pua yang bertajuk 'Race, Religion, Royalti with YB Tony Pua".

Aslam menerima surat tersebut pada 18 Jun lalu yang dikirim secara emeil melalui Penasihat Pendidikan dan Latihan Australia JPA Shahrezan Md Sheriff.

Dalam surat tersebut, beliau didakwa melanggar perjanjian 5.5 di dalam perjanjian biasiswa dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau telah dituduh penghasut atau melakukan tunjuk perasaan, yang pada pendapat kerajaan ia akan memudaratkan kepentingan Malaysia atau sesuatu institusi pendidikan.

Beliau juga telah diarah untuk mengemukakan satu penjelasan bertulis dalam masa 24 jam dan jika beliau gagal melakukan demikian, pihak kerajaan akan mengambil tindakan terhadapnya

Mengulas perkara itu hari ini, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, apa yang berlaku menunjukkan transformasi yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak hanya cakap kosong semata-mata.

"Bagi saya ke semua sesi forum ini dilihat tidak ada langsung sebarang agenda hasutan ataupun melanggar kepentingan tanah air.

"Melainkan jika ada seseorang yang mempertimbangkan untuk mengadakan satu perdebatan terbuka yang mengancam negara," kata Nik Nazmi pada sidang media hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor berkata, tindakan tersebut satu tradisi kerajaan untuk menakut-nakutkan pelajar di luar negara supaya tidak menyertai apa-apa program yang melibatkan pembangkang.

Beliau turut menggesa pihak kerajaan termasuk Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia dan JPA memberi penjelasan berhubung tindakan itu.

"Kita juga minta mereka jelaskan mengapa mereka mengganggap bahawa forum-forum ini menentang kepentingan Malaysia.

"Lebih-lebih lagi apabila forum ini melibatkan pengubal undang-undang di negara ini," sambung beliau.

Aslam pernah berucap di dalam sebuah forum bersama Speaker Hannah Yeoh dan Nik Nazmi sendiri 26 Mei lalu. -

Isma, Perkasa dijemput sertai himpunan solidariti Kg Chubadak

Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal mempelawa semua NGO masyarakat untuk menyertai himpunan solidariti Selamatkan Kg Chubadak pada Isnin ini.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, beliau turut menjemput Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk turun ke himpunan tersebut.

Menurut Mazlan, beliau menghargai usaha Perkasa yang turun melawat penduduk Kg Chubadak Tambahan biarpun agak lewat.

"Bagi saya meskipun tindakan Perkasa agak lewat, ia lebih baik dari tidak berbuat apa-apa.

"Saya juga telah menghantar surat kepada Isma dan badan NGO lain untuk menyemarakkan himpunan solidariti Selamatkan Kg Chubadak pada isnin ini," kata Mazlan.
Sebelum ini Mazlan dalam kenyataannya melahirkan rasa kesal dengan sikap NGO yang mendakwa mahu membela nasib orang Melayu tetapi membisu dalam isu Kg Chubadak.
Ekoran kenyataan itu, Perkasa kemudian dilihat turun bertemu penduduk kampung terbabit.

Himpunan solidariti Selamatkan Kg Chubadak akan diadakan Isnin ini di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpr (DBKL) bermula jam 9 pagi.

Himpunan ini anjuran Pertahankan Kampung Tradisi dan Warisan Bangsa & Peneroka Bandar (Anak Warisan) dengan kerjasama Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat.

"Kerajaan mesti kekalkan Kg Chubadak, Kg Puah Seberang dan saki baki kampung tradisi melayu di Kuala Lumpur.

"Jadikan ia kampung warisan, naik taraf perkampungan dan kemudahan asas demi survival umat Islam di bandar," kata Mazlan. -

Ugut, cabar keluar Malaysia sangat tidak matang

Mengugut untuk keluar dari Malaysia atau mencabar supaya sesuatu pihak keluar dari Malaysia ketika menghadapi perbezaan pendapat adalah tindakan yang sangat tidak matang.

Justeru, pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru semua pihak sama ada parti politik, NGO atau individu agar sentiasa beriltizam dengan semangat persekutuan yang telah dimeterai melalui pengisytiharan Malaysia pada tahun 1963.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua memelihara dan mempertahankan keutuhan setiap inci tanah air ini termasuk Sabah dan Sarawak,” ujar presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Katanya, IKRAM terpanggil untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia mempertahankan keutuhan negara yang satu.

Tambahnya, sebarang seruan ke arah sebaliknya, sama ada seruan secara emosi atau provokasi, perlulah dihentikan serta-merta.

Katanya lagi, keresahan dalam kalangan penduduk yang merasakan ketidakseimbangan agihan hasil mahsul negara perlu diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, IKRAM prihatin terhadap keperluan Sabah dan Sarawak kepada kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih, bekalan elektrik, perumahan, pendidikan, perubatan, pengangkutan, lebuh raya dan yang seumpamanya.

Mohd Parid menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak yang kaya dengan hasil bumi dan sumber manusia perlu dibangunkan secara optimum oleh kerajaan pusat supaya pulangannya kembali kepada rakyat kedua-dua negeri.

Ini, ujarnya akan memastikan pembangunan bersepadu yang lebih saksama serta mengelak perasaan dianaktirikan oleh rakyat kedua-dua negeri.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak supaya saling bermuafakat dan menghormati antara satu sama lain ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik.

“IKRAM mengingatkan bahawa Allah S.W.T. mengajar kita semua untuk menyuburkan bumi ini dengan seruan-Nya, ‘Rahmatan Lil 'Alamin’ iaitu membawa rahmat dan kasih sayang kepada seluruh penduduk bumi,” ujarnya.

IKRAM juga, ujar beliau menyeru semua pihak agar menghormati Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan.

“Sebarang seruan atau ancaman ke arah perpecahan perlu dihentikan serta-merta. Mari kita laksanakan seruan mulia ini,” kata beliau. -

UiTM: Bukan pasal model tapi soal kroni

Penjelasan UiTM berhubung projek penswastaan pembinaan beberapa kampus universiti itu tidak langsung menjawab persoalan kronisme yang wujud tetapi lebih berkisar kepada model pembiayaan yang bukannya menjadi pokok persoalan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli(gambar) berkata, pihak pengurusan UiTM tidak sedikit pun menyangkal pendedahan beliau mengenai kroni-kroni Umno yang berada di belakang syarikat-syarikat konsesi tersebut malah gagal menyangkal kos sewa tahunan yang terpaksa ditanggung bagi setiap kampus seperti didedahkan beliau.

"Saya mengalu-alukan jawapan rasmi dari pengurusan UiTM mengenai projek-projek penswastaan UiTM kampus-kampus cawangan Pasir Gudang, Jasin, Seremban III, Puncak Alam, Tapah dan Kota Samarahan.

"Kenyataan media UiTM semalam merupakan jawapan rasmi yang pertama setelah seminggu saya mendedahkan bagaiman kroni Umno yang akhirnya mengaut keuntungan dari dasar penswastaan kampus-kampus baru UiTM yang sedang dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Rafizi, penjelasan UiTM itu telah membantu mengesahkan bahawa kesemua fakta yang dikemukakan selama ini mengenai kroni di belakang setiap syarikat konsesi dan pertambahan kos lima kali ganda yang akan membebankan UiTM itu adalah benar dan tepat.

Pengurusan UiTM, ujar beliau hanya mampu menjawab bahawa pendekatan menswastakan kampus-kampus cawangan UiTM kepada syarikat-syarikat konsesi ini menguntungkan UiTM kerana wang didahulukan oleh syarikat konsesi melalui kaedah “private finance initiatives” (PFI).

Beliau turut mempersoalkan kaedah PFI yang diguna pakai UiTM bagi membina kampus-kampus baru memandangkan konsesi dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus.

"Saya tidak pernah mempersoalkan kaedah PFI sekiranya ia dibuat secara telus dan terbuka. Negara-negara lain turut mengamalkan kaedah PFI dalam beberapa projek tetapi tender dibuka kepada semua. Akhirnya, syarikat yang menawarkan harga dan nilai terbaik kepada kerajaan yang akan terpilih," ujarnya.

Menurut beliau, apabila konsesi penswastaan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat kroni secara rundingan terus, ia menimbulkan banyak masalah.

"Pertamanya, syarikat-syarikat kroni ini tidak ada pengalaman dalam menguruskan projek sebesar itu kerana kebanyakan mereka hanyalah pemimpin Umno yang tidak mempunyai perniagaan besar sebelum itu dan syarikat mereka hanya ditubuhkan semata-mata untuk mendapatkan konsesi.

"Akhirnya, pelaksanaan projek mengalami banyak masalah termasuklah kemudahan yang tidak mengikut spesifikasi, khidmat penyenggaraan yang tidak baik kelak dan lain-lain," ujarnya.

Rafizi menambah, apabila konsesi penswastaan dirunding terus dengan syarikat-syarikat kroni, terma perjanjian konsesi adalah berat sebelah dan hanya menguntungkan pemegang konsesi.

Dalam kes konsesi penswastaan UiTM, jelas beliau kos keseluruhan menanggung bayaran sewa tahunan kepada syarikat konsesi sebanyak RM8.6 bilion adalah lima kali lebih tinggi berbanding kos membina sendiri kampus-kampus ini iaitu RM1.8 bilion.

Menurutnya, rakyat Malaysia telah lama terbeban dengan bayaran tahunan kepada pemegang konsesi akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh BN dan syarikat kroni.

"Beban itu sekarang dirasakan terus oleh rakyat, misalnya kadar elektrik yang lebih tinggi akibat perjanjian konsesi penjanaan bebas (IPP) yang membebankan Tenaga Nasional Berhad dan kadar tol yang terus menguntungkan syarikat tol sedangkan rakyat bergelumang dengan kenaikan harga barang," ujarnya.

Malah tambah beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa mewarisi perjanjian konsesi dengan syarikat kroni di dua institusi pendidikan tinggi iaitu Unisel dan KUIS.

Kedudukan kewangan Unisel dan KUIS, tambah beliau terjejas kerana bayaran sewa yang hanya menguntungkan syarikat kroni milik wakil rakyat Umno dan pelajar pula terbeban dengan kenaikan sewa kampus mengikut perjanjian konsesi.

"Sebab itu, saya tekad untuk terus menentang penswastaan kampus-kampus cawangan UiTM ini kepada syarikat konsesi.

"Bagi tahun 2014 sahaja, bayaran sewa (yang hanya merupakan sebahagian saja sewa tahunan) kepada syarikat konsesi telah mencecah 14% dari peruntukan keseluruhan UiTM.

"Apabila siap sepenuhnya dan lebih banyak kampus diswastakan dengan cara ini, bayaran sewa kepada syarikat konsesi akan menjadi belanja paling besar yang ditanggung oleh UiTM setiap tahun – seperti mana bayaran kepada syarikat IPP menjadi tanggungan paling besar TNB setiap tahun," tegas beliau.

Beliau khuatir UiTM terpaksa mengikat perut dan memotong peruntukan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting malah kebajikan pelajar akan terabai apabila sewa bilik di kampus akan naik kerana UiTM perlu membayar sewa.

"Peruntukan melanjutkan pelajaran kepada pensyarah-pensyarah terpaksa dikecilkan kerana peruntukan digunakan untuk membayar sewa. Program-program naik taraf kampus akan dihentikan kerana kampus bukan lagi milik UiTM tetapi milik syarikat konsesi.

"Dan pelbagai kesan lain yang hanya merugikan pelajar dan warga UiTM," ujarnya memberi amaran.

Sehubungan itu beliau menyeru semua warga UiTM untuk bersatu menentang penswastaan kampus cawangan UiTM demi kelangsungannya sebagai institusi pengajian tinggi utama rakyat terbanyak.

Saturday, June 7, 2014

Bahan berubah sifat boleh jadi halal jika diproses - Dr Asri


Bahan berubah sifat boleh jadi halal jika diproses - Dr AsriGelatin atau DNA yang diperolehi daripada babi boleh dianggap halal jika ia telah melalui proses transformasi, mengikut konsep Islam istihalah, kata bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Bekas mufti Perlis mengulas pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.

"Saya berpandangan isu ini tidak adalah satu masalah besar kerana di kalangan ulama Islam sendiri tidak ada konsensus mengenai topik ini.

"Mereka mempunyai pandangan yang berbeza dalam hal ini," katanya kepada Astro AWANI.

Dr Mohd Asri menegaskan bahawa setiap orang Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri berdasarkan kepada hujah-hujah yang dibentangkan.

"Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran.

"Kemudian, orang Islam juga perlu berfikir tentang bagaimana untuk menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan hanya bertindak balas secara emosi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai hujah Dr Yusuf, Dr Asri menjelaskan bagaimana sesuatu yang dianggap haram boleh menjadi halal sebenarnya jika menggunakan konsep 'istihalah'.


Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

"Apabila sesuatu yang tidak bersih telah melalui satu proses yang membuatkan ia telah kehilangan ciri-ciri asalnya ia tidak akan dinilai mengikut asalnya kerana ia telah benar-benar berubah," kata beliau sambil menambah bahawa bahan itu harus dinilai melalui ciri-ciri baru.

"Penjelasan mudah; perubahan dalam sifat bahan setelah melalui proses tertentu ini disebut sebagai istihalah," katanya.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

“Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis,” tulis beliau.

Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury dikesan mengandungi DNA babi.

Bagaimanapun, ujian oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan dua produk coklat tersebut tiada unsur DNA babi dan sekaligus halal untuk dimakan. 

RUU kontroversi Johor tetap dibentang Isnin

 
Rang Undang-Undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor tetap akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Isnin ini, walaupun mendapat pelbagai reaksi dan tentangan segelintir pihak.
 
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) berkata rang undang-undang baharu itu tidak melanggar konsep Raja Berperlembagaan di negara ini kerana akan dibacakan bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
 
"Insya-Allah, kita tengok Isnin nanti... Saya tidak fikir ia akan melanggar konsep Raja Berperlembagaan.
 
"Seperti yang saya sudah jelaskan, rang undang-undang ini mesti dibaca bersama-sama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor di mana dalam undang-undang berkenaan menyatakan tindakan yang dilaksanakan oleh Sultan Johor adalah dengan nasihat Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas program Kayuhan Mesra Rakyat di Johor Baharu hari ini.
 
Beliau mengulas sama ada kerajaan negeri akan menangguhkan pembentangan rang undang-undang berkenaan ekoran segelintir pihak menggesa pembentangan itu ditangguh dan diteliti semula.
 
Mohamed Khaled yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas berkata soal pelantikan oleh Sultan Johor menerusi enakmen itu kelak mempunyai banyak persamaan dengan akta di peringkat persekutuan seperti lantikan beberapa jawatan termasuk Ketua Eksekutif Suruhanjaya Koperasi dan Gabenor Bank Negara yang dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.
 
"Lagipun dalam rang undang-undang ini, Menteri Besar diperuntukkan untuk mempengerusikan sebanyak mana mesyuarat yang perlu dilakukan dan tidak pula menyebut Sultan yang akan mempengerusikan mesyuarat," tegasnya.
 
Menurut Mohamed Khaled, apa yang lebih penting penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor itu kelak membolehkan kerajaan Johor membina lebih banyak rumah murah dan mampu milik di negeri ini sekali gus memastikan rakyat mendapat kemudahan serta kediaman sendiri.
 
- Bernama