Sunday, September 20, 2015

Benarkah pertembungan merugikan?

Sebagai seorang peniaga, saya sentiasa memerhatikan barangan jualan di kedai saya. Mana yang mendapat sambutan, saya kekalkan dan mana yang tidak dapat sambutan terpaksalah saya 'mengundurkan'nya dengan cara terhormat. Saya memerhatinya dengan penuh cermat bagi memastikan hanya yang mendapat sambutan sahaja akan terus dijual di kedai saya.

Antara yang menarik perhatian saya sejak sekian lama ialah Kicap Cap Kipas Udang. Walaupun harganya mahal, pelanggan setianya akan tetap mendapatkan kicap tersebut, tanpa ada sebarang keluhan tentang harga pasarannya. Saya sendiri tidak berapa ingat entah berapa kali harga kicap ini mengalami kenaikan, rasanya dari RM 3.80, kemudian RM 4.30, naik lagi ke RM 4.60, kemudian RM 5.00, kemudian RM 5.50, beberapa bulan yang lepas RM 5.80 dan terkini RM 6.15!!


Namun jualannya tetap mendapat sambutan. Generasi demi generasi, tak kira tua dan muda menggemarinya. Saya sendiri hairan dengan fenomena ini.

Apa yang menarik sekalipun terdapat pelbagai kicap dari jenama lain dijual dikedai saya namun pelanggan tetap akan mencari kicap Cap Kipas Udang. Bagi mereka, tiada yang dapat menandingi kehebatan Kicap Cap Kipas Udang. Keenakannya, kualiti dan mutunya menjadikan ia berbeza dengan jenama lain.

Sebahagian jenama lain, meskipun harganya berpatutan, namun tetap ada stok yang tidak terjual sehingga terpaksa ditukar kerana tarikh luput. Kadang-kadang digantikan dengan jenama lain yang sama harga, namun keadaannya tetap sama.

Ini berbeza dengan Kicap Cap Kipas Udang dimana tidak ada sebotol pun yang dipulangkan kepada agen akibat sampai tarikh luput sejak ia mula dijual di kedai saya seawal tahun 90-an!

Maka Kicap Cap Kipas Udang terus 'gah' dipasaran, dan tidak gentar dengan persaingan yang hebat kerana kelainan yang ada pada jenamanya.

Maka senaraikanlah seberapa banyak pun jenama kicap di kedai anda, orang akan tetap pilih Kicap Cap Kipas Udang juga!


Risau bertembung

Ramai ahli PAS, pemerhati politik, dan rakyat yang meletakkan harapan tinggi kepada PAS mula bimbang dengan hala tuju yang kini cuba di bawa oleh pemimpinnya. Sejak PAS mula memutuskan hubungan dengan DAP sudah ada suara yang mengatakan masa depan PAS dalam arena politik negara akan gelap kerana kekuatan Pakatan pembangkang terjejas berikutan langkah drastik itu.

Masa depan PAS dilihat lebih kritikal lagi apabila Tuan Guru Presiden dalam satu kenyataan media di Kuala Pilah mendakwa bahawa PAS sedang meneliti rancangan untuk meletakkan calon DHPP bagi menentang calon DAP pada pilihanraya umum ke-14 nanti. Menurutnya PAS tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calonnya, malah kini ia diperingkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihanraya dan pimpinan PAS Pusat untuk meletakkan calon bukan Islam bagi mewakili PAS.

Ogos lepas, Nik Abduh pula telah membayangkan bahawa PAS akan bertanding lebih dari 10 kerusi di Sarawak pada pilihanraya negeri akan datang. Beliau menyatakan keyakinan terhadap sokongan yang akan diterima oleh parti di negeri itu sekalipun berdepan dengan cabaran oleh Gerakan Harapan Baru.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila Tuan Guru Presiden dalam satu kenyataan terbaru mendakwa PAS tidak akan bersama dengan Pakatan pembangkang baru sekiranya ia berjaya dibentuk. Ini terutamanya apabila gabungan baru itu turut melibatkan DAP dan Parti Amanah Negara yang sebelumnya dikenali sebagai 'pengkhianat' parti.

Dengan suasana dan senario yang berlaku  kebelakangan ini, ramai orang sangat bimbang apabila momentum kekuatan Pakatan Rakyat tidak dapat diteruskan kerana PAS dikatakan telah membawa haluannya sendiri. Ini terutamanya selepas PRU ke 13 apabila ramai orang memperkatakan tentang sistem 2 parti sepertimana di negara maju. Ramai pemimpin, pemerhati dan penganalisis politik melihat kekuatan PAS adalah melalui kerjasama dengan pihak lain. Maka formula 1 lawan 1 dengan BN mestilah dikekalkan demi untuk melihat kemenangan sepertimana yang dicapai pada pilihanraya ke-12 dan ke-13 yang lalu. Sebarang pertembungan 2 atau 3 penjuru mestilah dielakkan!

Tak dinafikan ramai yang masih ingat peristiwa pertembungan calon PAS dengan calon PKR di enam kerusi pada PRU ke-13 lalu yang menyaksikan kesemua kerusi itu dimenangi oleh BN!

Saya ingin bertanya mengapa apabila calon PAS, PKR atau Amanah bertembung maka penyokong pembangkang akan undi parti mereka masing-masing manakala pengundi BN akan kekal dengan parti pilihan mereka?

Mengapa apabila parti pembangkang ini meletakkan seorang sahaja calon maka barulah penyokong pembangkang akan memilih calon yang satu ini?

Ramai orang sangka ini adalah cara yang betul untuk berpolitik, yakni mengurangkan pertembungan dengan cara meminimakan pilihan yang ada dikalangan rakyat. Maka rakyat tiada pilihan selain calon itu sahaja.

Mereka yang berpolitik dengan cara begini sebenarnya tidak yakin dengan potensi diri mereka dan kekuatan parti yang mereka wakili. Maka mereka sangat mengharapkan undi dengan cara samada diri mereka atau orang lain mesti 'berundur' dari bertanding dan bersaing!

Mereka ini tak ubah seperti jenama kicap yang sangat takut kepada lambakan jenama kicap yang ada di pasaran. Semakin banyak jenama, semakin tipis kemungkinan mereka merebut dan mendapat peluang pasaran!! Maka jenama kicap sebegini akan berunding dengan tuan kedai dan cuba meyakinkannya seboleh mungkin agar memperagakan kicapnya sahaja. Ketepikan jenama lain!

Tidak dinafikan ada banyak pertimbangan atau faktor yang mempengaruhi rakyat untuk mengundi sesuatu calon, atau memilih sesuatu parti, namun secara amnya ramai yang setuju bahawa faktor kemaslahatan dan kepentingan rakyat terbela adalah antara sebab mereka memilih seseorang calon. Tak kira muslim atau non muslim, tak kira Melayu, Cina atau India. Baik dia seorang Kadazan, Iban mahupun Dayak.


Soal nilai tambah

Sebenarnya, isu pertembungan calon ini terletak pada masalah nilai tambah. Nilai tambah inilah yang akan membezakan antara seseorang calon dengan calon yang lain, dan antara satu parti dengan parti yang lain.

Orang yang tiada nilai tambah bimbang dengan pertembungan beberapa penjuru. Sebab mereka percaya rakyat tidak dapat melihat perbezaan antara diri mereka dengan calon lain. Atau mereka percaya rakyat tidak dapat menilai kelebihan parti mereka berbanding parti lain. 

Antara faktor yang memberi nilai tambah bagi seseorang calon atau sesebuah parti ialah kesediaan anggota mereka berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat. Mereka mampu berkhidmat tanpa menunggu jawatan atau memenangi kerusi dalam pilihanraya. Mereka bergerak dan bertugas siang malam berjuang membela nasib rakyat.

Selain itu antara perkara yang menggerakkan keyakinan dan kepercayaan rakyat itu ialah kerja yang tidak bermusim. Mereka kerap turun berjumpa rakyat dan menyelami masalah rakyat. Namun faktor yang lebih penting dari itu ialah ahlinya sentiasa bergerak memperkenalkan diri dan parti mereka kepada rakyat tanpa jemu dan mengenal erti penat lelah.

Saya tertarik dengan cara kumpulan Hizbullah berkhidmat untuk rakyat Lubnan. Hizbullah menampilkan diri mereka lebih dari sekadar parti politik. Rakyat mengenali mereka sebagai sebuah organisasi yang menaungi rakyatnya. Mereka ada hospital sendiri, ada stesyen TV satelit tersendiri, mereka ada pasukan khidmat sosial (seperti Unit Amal) dan mereka ada pasukan bersenjata yang menjadi benteng utama pertahanan Lubnan. Kekuatan pasukan bersenjata yang mereka miliki membolehkan parlimen Lubnan mengiktiraf mereka sebagi 'aset' negara bagi menghadapi serangan roket Israel.


Ketika Lubnan mengalami serangan Israel pada 2006, bahagian selatan Lubnan mengalami kemusnahan bangunan dan infrastruktur yang sangat teruk. Namun apa yang mengkagumkan gerakan Hizbullah mengambil inisiatif memperbaiki segala jambatan-jambatan utama dan beberapa bangunan penting untuk dibangunkan semula. Menurut sumber media, dikatakan gerakan Hezbullah telah lama mengambil tanggungjawab memperbaiki infrastruktur asas di selatan Lubnan.  

Hizbullah tidak pernah merasakan mereka perlu kepada 'rakan pakatan' dalam memberi khidmat mereka kepada rakyat. Begitu juga mereka tidak merasa perlu untuk mereka dikenali dengan sebarang bentuk 'pakatan' yang mereka sertai.

Jika dibandingkan PAS dan gerakan Hizbullah, saya rasa tiada apa kekurangan dari sudut peranan yang dimainkan kepada rakyat mereka. PAS telah lama menggeluti masalah dan nadi rakyat pelbagai peringkat. Cuma yang masih tinggal PAS perlu memperkenalkan diri mereka dengan lebih agresif lagi dengan memanfaatkan pelbagai medium yang wujud pada hari ini. Jika masyarakat merasai kehadiran PAS ke dalam kehidupan mereka, mereka tiada masalah untuk menerima dan menghargai PAS sebagai parti yang berjuang membela kemaslahatan rakyat dan nasib masa depan mereka. Maka PAS akan menjadi 'jenama kicap' yang akan sentiasa di ingati dan menjadi 'rebutan' walaupun mereka di tawarkan dengan 'jenama-jenama' lain di 'pasaran'.

Maka soal PAS bertembung dengan parti pembangkang lain bukanlah soal yang besar jika rakyat sudah mengenali dan menghargai peranan yang dimainkan oleh PAS terhadap rakyat dan para pengundi. Kebimbangan hanya wujud apabila peranan kita tidak begitu di rasai oleh rakyat dan apa yang agak mendukacitakan kita hanya dikenali kerana pakatan yang kita sertai. Tanpa sebarang bentuk pakatan kita bagaikan hidup tidak bernyawa!


Antara Islam setakat hormat hak atau islam sebagai penyelamat 

Saya ingin bertanya kenapa orang tidak yakin PAS boleh menang ditempat majoriti bukan islam/bukan melayu?, sepertimana orang kafir macam DAP tak yakin boleh menang ditempat melayu?

Jawabnya sebab orang bukan islam takkan terima agenda islam, saya yakin mungkin itu jawapannya. Maka oleh sebab itu mereka perlukan calon bukan Islam bagi mewakili masyarakat bukan Islam. Dengan sebab itu ramai kata PAS tak boleh menang tanpa bantuan bukan islam, ini selalu kita dengar.

Jika kita tanya, kebimbangan apakah yang menyebabkan mereka perlukan wakil dari kaum dan agama mereka sendiri? Mungkin jawabnya kerana PAS akan kawal penjualan arak, mengharamkan judi, menguatkuasakan undang-undang gender dan menghapuskan sistem riba, sekadar contoh.

Maka dengan ketidak-yakinan ini apabila kita berpolitik, kita akan lakukan rundingan secara bersama untuk pembahagian kerusi. Sehinggakan kalau rundingan ini gagal, PAS dilihat takkan maju ke depan menjadi parti arus perdana dan menguasasi pemerintahan negara. Idea pembahagian kerusi mengikut kaum dan agama telah mencipta idea bahawa negara ini perlu diperintah secara bersama.

Maka mengamuk dan kecewalah mereka yang berfahaman sebegini jika PAS memutuskan hubungan dengan mana-mana parti pembangkang yang ada di negara ini.

Sehingga apabila Tuan Guru Presiden mengatakan kemungkinan akan meletakkan calon DHPP bagi menentang calon DAP di kaawsan non-muslim, ramai yang mungkin kata ia 'kerja gila' atau sia-sia. Manakan tidak, mahukah mereka mengundi PAS yang dikenali dengan imej mengawal penjualan arak, menguatkuasakan undang-undang gender, mengharamkan judi dan menghapuskan sistem riba?

Pemahaman sebegini menimbulkan persoalan sejauhmana mereka memahami perjuangan PAS dan Islam khususnya, sedangkan fungsi PAS ialah membawa kemaslahatan dan kebaikan pada rakyat amnya.

Sebenarnya, mereka yang tak yakin PAS boleh menang di kerusi bukan islam adalah mereka yang berjiwa rendah, tak yakin dengan islam. Maaf cakap.

Kita perlu faham bahawa ada perbezaan di antara mereka yang melihat Islam sebagai penyelamat dengan mereka yang melihat Islam sekadar menghormati hak bukan islam.

Mereka yang melihat islam sebagai agama yang sekadar meraikan dan menghormati hak orang lain akan cuba sedaya upaya menggambarkan Islam sebagai agama yang sangat toleran dan bertolak ansur. Sebab itu golongan ini sangat mengambil hati orang bukan islam. Mereka menjanjikan kebebasan atas nama demokrasi dan islam yang lebih 'progresif'.

Maka dijanjikan lah bahawa PAS akan menghormati hak bukan Islam, PAS tidak akan ganggu kelab malam, pesta jualan arak, konsert artis muda mudi dan peraturan-peraturan yang melibatkan diskriminasi gender.

Orang yang melihat Islam sebagai penyelamat takkan ikut kehendak orang bukan islam, kerana mereka menimbang sesuatu larangan itu bukan bermaksud menyekat kebebasan dan hak mereka, tetapi memandu mereka agar menjadi manusia yang bertamadun dan berakhlak.

Macam seorang ayah yang takkan memberi segalanya kepada anaknya. Keengganan seorang ayah menurut kehendak anaknya tidak bererti ayah itu tidak sayang kepada anaknya. Dan tidak semestinya seorang ayah yang menurut kehendak anaknya itu di lihat mengutamakan kebaikan anaknya, sedangkan dia tidak sedar dia merosakkan anaknya dalam diam-diam tanpa disedarinya. Maka samalah soalnya macam pemerintah dengan rakyat.

Kita perlu faham kerahmatan dan kemaslahatan itu tidak semestinya berlegar tentang makna memberikan hak kebebasan tetapi ia juga bermaksud menghentikan kemudaratan.

Jika mereka kata orang bukan islam tak suka PAS sebab PAS akan mengharamkan arak, melarang judi, pakaian seksi dan sistem riba, cuba terangkan kepada saya dimanakah yang dikatakan kebaikan arak sehingga ia perlu dipertahanan sebagai suatu 'hak' dan kebebasan???


Arak tidak hanya mendatangkan penyakit, malah merosakkan keluarga serta masyarakat. Arak menyebabkan keruntuhan institusi rumahtangga, kerana si suami atau si bapa yang mabuk mengambil tindakan yang tidak waras kerana faktor kemabukan yang mereka alami. Gejala ketagihan menyebabkan wang yang sepatutnya dibelanjakan kepada benda yang berfaedah dan bermanfaat, di habiskan kepada minuman alkohol yang merosakkan minda dan badan.

Berapa ramai yang membunuh akibat mabuk? Berapa ramai yang melakukan jenayah rogol dalam keadaan mereka mabuk? Berapa ramai yang memandu secara melulu hingga mengakibatkan nyawa yang tidak bersalah terkorban gara-gara pemandu mabuk?

Kerugian yang ditanggung akibat gejala ketagihan arak bukan sedikit. Sebagai contoh, BBC News Online melaporkan 3 juta manusia di UK mengalami ketagihan arak. Jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung disebabkan oleh masalah ini berjumlah 20 bilion paun sterling.

Jika dikatakan PAS mengharamkan judi yang merupakan hak mereka, cuba terangkan dimanakah yang dikatakan kebaikan dari tabiat judi itu??

Tidakkah kita perhatikan bagaimana kebahagiaan rumahtangga direnggut akibat tabiat bermain judi sang suami? Berapa banyak isteri dan anak terabai akibat tabiat judi si bapa?? Berapa banyak wang yang telah dihabiskan kepada tauke judi sedangkan keuntungan dan laba yang diperoleh tidaklah sebanyak mana?? Berapa banyak yang terpaksa menanggung hutang dan diisythiar muflis akibat tabiat judi?

Jika dikatakan PAS akan menguatkuasa undang-undang moral yang mendiskriminasi gender, cuba terangkan dimanakah yang dikatakan kebaikan apabila hak gender diberi sama rata??

Jika undang-undang Islam tentang gender dianggap lapuk, maka tindakan kerajaan Rome di Italy yang mengenakan denda 500 euro kepada mereka yang mengenakan skirt pendek ketika berada ditempat awam juga boleh dianggap lapuk. Sedangkan undang-undang itu baru dikuatkuasakan 5 tahun lepas.

Jika dikatakan undang-undang itu tidak relevan maka tindakan sebuah sekolah di Britain yang melarang pelajarnya dari memakai skirt juga boleh dianggap tidak relevan, sedangkan pengetuanya mendakwa pakaian skirt 'mengganggu' pelajar-pelajar dan guru lelaki.

Jika dikatakan ia mengongkong maka tindakan bas Rapid KL yang menyediakan bas khas untuk kaum wanita juga boleh dianggap mengongkong. Sedangkan kewujudan bas itu adalah bertujuan memelihara maruah dan keselamatan wanita dari diganggu oleh lelaki yang jahat.

Tidakkah mereka perhatikan gejala zina dan buang bayi berleluasa akibat pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan?

Bagi mereka yang melanggar etika pakaian sopan, sejauhmana pun 'kemodenan'  dan normalisasi cuba disogokkan terhadap trend pemakaian seksi ini namun ia tetap tidak menyembunyikan hakikat bahawa kaum lelaki tetap akan teransang bila menyaksikan 'tayangan  percuma' itu.

Jika dikatakan riba itu baik cuba terangkan dimanakah yang dikatakan kebaikan sistem riba?

Entah berapa ramai yang tertekan akibat ketidak adilan sistem riba ini?. Berapa banyak pula keuntungan yang diperoleh dari sistem riba ini? Benarkah ia suatu sistem yang menjamin keadilan manusia sejagat? Hakikatnya mereka yang kaya terus kaya dan yang miskin akan terus miskin.

Namun bila kita tengok hak sebagai hak maka kita pun layan lah kehendak dan tuntutan mereka. Kita sepatutnya melihat islam sebagai penyelamat manusia, kepada umat Islam dan bukan Islam. Sebab itu Islam disebut 'rahmatan lil alamin'.

Maka dengan segala penjelasan di atas kita dapati tidak ada sebab mengapa PAS tidak perlu masuk bertanding ke kawasan-kawasan non--muslim yang kini dikuasai DAP. Sebab PAS datang dengan dasar Islamnya untuk menyelamatkan manusia seluruhnya, muslim dan non-muslim.

Mereka yang masih beranggapan kerusi di kawasan bukan Islam mesti diserahkan kepada parti DAP adalah orang yang 'rosak' otaknya! Mereka ini tidak mahu melihat kebaikan Islam itu melimpah rahmatnya kepada masyarakat bukan Islam!

Maka orang bukan Islam tidak terima PAS kerana mereka tidak memahami hikmah disebalik dasar Islam yang dibawa oleh PAS. Jika mereka faham bahawa dasar Islam itu sebenarnya membawa kebaikan untuk diri dan masa depan mereka nescaya mereka akan mengundi PAS dan menolak parti lain yang berteraskan fahaman manusia. Maka tanggungjawab kita ialah memahamkan mereka tentang misi keselamatan yang dibawa oleh PAS dengan dasar Islamnya, bukannya asyik bimbang dan tidak yakin dengan dasar Islam yang dirasakan mengongkong orang bukan Islam!!





Saturday, September 19, 2015

'Kerusi itu tetap kerusi PAS, PAS tetap akan bertanding'

'Kerusi itu tetap kerusi PAS, PAS akan bertanding'

DUNGUN: PAS menegaskan akan bertanding di kerusi yang 'dibawa lari' oleh wakil-wakil rakyat yang telah menukar parti dalam pilihan raya umum akan datang.

"Mana-mana buat lari kerusi, kerusi itu tetap kerusi PAS. PAS akan bertanding. Kalau (mereka) nak bertanding juga, tiga penjuru," tegas Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Kampung Pulau Serai, dekat sini semalami. 
Majlis dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Tuan Guru Abdul Hadi turut menerima 4,198 borang permohonan keahlian PAS daripada PAS kawasan-kawasan seluruh negeri yang disampaikan oleh Saiful pada majlis itu. Sebanyak RM16,002 derma disumbangkan oleh pada hadirin selain mata wang asing.

Mustafa juga berkata, PAS kemungkinan akan bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) nanti berbanding PRU13 lalu.

"Kat mana, jabatan pilihan raya sedang kaji nak tambah daripada pilihan raya yang lepas," katanya lagi. 

Kita masih tahaluf dengan PKR - Mustafa

Kita masih tahaluf dengan PKR - Mustafa

DUNGUN: "Kita masih tahaluf dengan PKR, tapi dengan DAP dan parti baharu kita tak ada tahaluf," tegas Ketua Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Begitupun, katanya tugas menentang Umno BN adalah tanggungjawab PAS.

"Adapun tugas tentang Umno BN, itu tanggungjawab kita, sama-sama lawan. Kita lawan cara kita, dia lawan cara dia," jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Kampung Pulau Serai, dekat sini malam tadi. 
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan majlis tersebut. Turut berucap ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli.

Mustafa turut menjelaskan bahawa pendirian PAS itu turut dinyatakan pada pertemuan dengan pemimpin PKR termasuk presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, baru-baru ini.

Selain beliau, turut mewakili PAS ialah Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Takiyudin Hassan.

"Kita hanya tahaluf dengan PKR dan tak ada tahaluf dengan parti-parti yang lain," tegasnya lagi.

Walaupun begitu, katanya PAS tidak boleh memaksa PKR hendak mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain.

Fahami makna bai'ah dan bersumpah

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :
"Sesungguhnya orang-orang yang membeli perjanjian mereka dengan Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian di Hari Akhirat, Allah tidak berkata-kata Rahmat terhadap mereka, tidak juga menilik secara Kasihan kepada mereka, tidak juga memandang untuk memberi kesayangan terhadap mereka pada Hari Qiamat nanti dan tidak membersihkan mereka daripada dosa dan bagi mereka azab yang pedih. Dan sesungguhnya ada kalangan (ulamak ahli kitab itu) mereka yang mempermainkan lidah-lidah mereka dengan kitab (Allah) supaya menganggapnya hukum daripada kitab Allah, pada hal bukan daripada kitab Allah, dan mereka berkata lagi ini daripada Allah, pada hal bukan daripada Allah. Sebenarnya mereka berbohong terhadap Allah dalam keadaan mereka mengetahuinya." (Surah Ali-Imran, ayat 77 - 78)
Ditafsirkan ayat ini oleh para ulamak salaf dan khalaf, yang perlu diketahui mafhumnya oleh ahli PAS yang istiqamah bersama Islam, supaya mengerti tujuan bai’ah dan sumpah. Ayat ini menggabungkan kedua-duanya, walaupun perkara bai’ah dan sumpah pada asalnya berbeza dan berasingan dan dilakukan dalam keadaan yang tidak sama. Namun, boleh dilakukan kedua-duannya bagi menambah keteguhannya dalam perkara yang besar dan mencabar, seperti perkara jihad dan amanah ummat, bahkan kadang-kadang dimasukkan pula laknat supaya tidak memandang mudah dalam perjuangan dan amanah itu, seterusnya supaya menjaga istiqamah apabila menghadapi cabaran yang besar.
Walaupun ayat ini sebabnya berkait dengan kisah golongan ahli kitab dengan nabi-nabi mereka yang meminta supaya mereka beriman dengan Nabi akhir zaman dan berjanji untuk berjuang bersamanya , namun pengajarannya wajib diikuti oleh kumpulan Islam yang berjuang menegakkan Islam. Maka Bai’ah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW bagi pengukuhan seseorang yang berada dalam saf perjuangan atau ditugaskan jadi pemimpin atau memegang jawatan penting. Di zamannya berlaku beberapa kali bai’ah yang berbeza keadaan dan mereka yang terlibat . Di antaranya ada Bai’ah ‘Aqabah, Bai’ah Nisaa dan Bia’ah Riduan (Hudaibiyyah) dan diteruskan selepasnya pula di zaman para sahabat dan tabi’ein. Ada pula ditambah dengan sumpah, bahkan digabungkan lagi di zaman mutaakhir dengan nazar, tolak dan laknat kerana dirasakan generasi kemudian lemah imannya dalam perkara yang ghaib saperti perhitungan dosa dan pahala atau berkat dan celaka, maka diikat lagi dengan perkara yang nyata di alam dunia seperti taklik, talak isteri dan sebagainya.
Maksud perjanjian dalam ayat tersebut ialah bai’ah yang berasal daripada perkataan bahasa arab  (bermaksud menjual), kerana Allah membandingkan perjuangan menegakkan agamanya seperti membeli janji yang dijual oleh Allah dengan pahala yang besar. Laksana sesuatu yang dijual oleh Allah dengan bayaran pahala yang besar kerana besar pengorbanannya, sehingga Allah mengukuhkan janjinya saperti perjanjian menjual dan berhutang yang wajib dibayar, dengan janji pada Hari Qiamat yang merupakan ujian beriman kepada Allah, perkara Ghaib dan urusan Akhirat. Firman Allah :
"Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang yang beriman itu diri mereka dan harta mereka." (Surah At-Taubah, ayat 111)
Tujuannya, supaya dikorbankan bagi menegakkan Islam. Seterusnya Allah berfirman lagi:
"Barangsiapa yang menunaikan bai’ah (perjanjian jual belinya daripada Allah, maka bergembiralah dengan bai’ah yang kamu meteraikan itu. Itulah kemenangan yang sangat besar." (Surah At-Taubah, ayat 111)
Allah juga berfirman dalam ayat yang lain berkaitan dengan perjuangan Islam juga laksana berhutang :
"Siapakah yang bersedia memberi hutang (pinjaman ) kepada Allah, pinjaman paling baik. Maka Allah berjanji membayarnya dengan berlipat kali ganda yang sangat banyak. Dan Allah boleh memegang dan membuka seluasnya dan kepadanya kamu dipanggil kembali (mengadapnya pada Hari Kiamat)." (Surah Al-Baqarah, ayat 245)
Di atas perjanjian inilah maka diadakan bai’ah yang bermaksud perjanjin dengan Allah dalam perkara yang berkait dengan perjuangan Islam, di mana Allah yang menjual dan seseorang yang berjuang itu membelinya, seterusnya Allah membeli semula dengan keuntungan yang berlipat kali gandanya.
Ada pun sumpah yang disebut  (Aiman atau Yamin ) daripada makna tangan kanan bermaksud mengukuhkan janji seperti memegang dengan tangan kanan yang terkuat, mengikut hukum Syarak dengan menyebut nama Allah (Demi Allah). Kebiasaannya dalam perkara kehakiman, sehingga diluaskan dalam perkara pergaulan hidup bermasyarakat yang wujudnya perselisihan biasa, sehinggalah bagi menegaskan janji membuat sesuatu atau meninggalkannya dilafazkan sumpah, sehingga akhirnya dimudah-mudahkan dalam perbualan dan gurauan , lalu Allah memberi amaran :
"Dan janganlah kamu jadikan Allah dipergunakan untuk bersumpah bagi menghalang kamu melakukan perkara kebajikan dan bertaqwa dan melakukan islah dikalangan manusia, dan Allah itu Maha mendengar lagi Maha Mengetahui)." (Surah Al-Baqarah, ayat 224)
Maka Allah memberi kelonggaran supaya melanggar sumpah sekiranya lebih berkebajikan. Firman Allah :
"Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengharamkan perkara-perkara yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah kepada kamu dan janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang melampau. Dan makanlah daripada apa-apa yang Allah halalkan kepada kamu daripada yang baik-baik dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepadanya. Allah tidak menjadikan dosa dalam sumpah yang songsang (yang tidak berniat sumpah dalam perbualan biasa). Namun Allah mempertanggungjawabkan keatas kamu dalam sumpah yang kamu ucapkan bagi penegasan (niat sumpah) . Maka kaffarahnya (dendanya) ialah memberi makan sepuluh orang miskin dengan makanan yang sederhana yang menjadi kebiasaan kamu , atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan hamba sahaya . Barang siapa yang tidak mampu hendaklah berpuasa tiga hari. Itulah kaffarah terhadap sumpah yang kamu lakukan . Begitulah Allah menerangkan kepada kamu akan ayat-ayatnya supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Maidah, ayat 87 - 89)
Ayat-ayat ini sebab nuzulnya, berkaitan dengan adanya kalangan para sahabat yang bersumpah untuk jadi seperti paderi dan sami, beribadat selama-lamanya, bersembahayang, berpuasa dan lain-lain sehingga tidak mahu berkahwin, meninggalkan makanan yang baik dan lain-lain yang dihalalkan oleh Allah.
Bahkan teguran Allah terhadap Rasulullah SAW di dalam Al-Quran :
"Wahai Nabi ! Mengapa kamu haramkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah kepadamu kerana semata-mata mahu merelakan hati isteri-isteri mu. Pada hal Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Allah telah menyatakan kepadakamu cara melepaskan diri daripada sumpah itu (menunaikan kaffarah). Allah sahaja Tuhan yang memelihara kamu. Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah At-Tahrim, ayat 1 - 2)
Apabila digabungkan semuanya, yakni bai’ah, sumpah dan laknat, menjadikan berbeza dengan tujuan bersumpah sahaja, kerana bertujuan menguat bai’ah dan bertanggungjawab berkait di antara satu sama lain yang tidak boleh dipisahkan dan disamakan hukumnya secara bersumpah sahaja. Asasnya ialah bai’ah yang bertujuan perjanjian dengan Allah yang tidak boleh selesai dengan sumpah yang dibayar kaffarahnya.
Imam Ibnu Kathir menyebut dalam kitab karangannya "Al-Bidayah Wan Nihayah" dan Imam At-Tobari dalam kitabnya "At-Tarikh", "Bahawa bai’ah, sumpah, cerai taklik dan nazar, digabungkan semuannya, pernah dilakukan di zaman kerajaan Abbassiyah dengan pengesahan para ulama dizamannya”. Para Fuqaha Mazhab Hanafi pula menyebut perkara sumpah yang dimasukkan taklik talak, tetapi dalam perkara sumpah yang tidak ada kaitan dengan Bai’ah. Begitu juga Imam Ibnu Taimiyyah dan Imam Ibnu Qayyim serta juga ulamak mutaakhir saperti Mahmud Shaltut, Sayed Sabiq dan Al-Qardawi menyatakan hukum khilaf dalam perkara sumpah sahaja yang berasingan dengan bai’ah.
PAS telah mengsyaratkan bai’ah yang dimasukkan di dalamnya sumpah dan laknat dengan penegasan lafaz Allah menjadi saksinya. Ada negeri yang memasukkan talak taklik, bukan bermakna merendahkan isteri, sebaliknya meninggikan kedudukannya sehingga dimasukkan bersama kecintaan kepada Allah walau pun tidak menyamainya. Bahkan para Sahabat RA bersumpah dengan menyebut "Demi Ayah dan Ibu" (kecintaan terhadap kedua-duannya tidak melebihi dengan kecintaan kepada Allah dan Rasul). Merupakan seni sastera arab bagi mengukuhkan ucapan dan ikrar.
Maka lafaz bai’ah dalam parti yang berjuang menegakkan Islam saperti PAS adalah beramal dengan Al-Quran, As-Sunnah dan Ijtihad para ulamak muktabar yang disahkan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak yang sangat dihormati oleh semua pemimpin, ahli dan penyokong PAS yang istiqamah, walaupun pihak lain tidak berminat bukan sahaja bai’ahnya bahkan dasar Islamnya juga, sehingga ada pula yang meletakkan talak taklik mencerai isteri lebih utama daripada berjanji dengan Allah.
Maka Tahaluf Siyasi dengan pihak lain yang temasuk dalam perkara strategi, tidak boleh mengatasi bai’ah kesetiaan kepada Aqidah, Dasar dan Matlamat perjuangan Islam. Walaupun PAS berkali-kali menerima kekalahan pilihanraya, kerana kemenangan Aqidah dan matlamat Islam memimpin Negara, Syariat Allah didaulatkan tidak boleh tunduk kepada hala tuju yang dikehendaki oleh semua pihak walaupun rakan paling akrab. Firman Allah di dalam Al-Quran :
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa kamu, saudara-saudara dan rakan-rakan kamu, wali-wali yang diberi kepercayaan (sehingga tidak berbelah bahagi dan tidak boleh dirungkai hubungannya), jika mereka meletakkan kecintaan terhadap kekufuran lebih daripada keimanan. Maka sesiapa yang berwalikan mereka dikalangan kamu, merekalah orang-orang yang zalim . Katakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) ! Jika sekiranya ayah-ayah kamu, anak-anak kamu, suadara mara dan sahabat handai, isteri-isteri dan keluarga kamu, harta benda yang kamu cari, perniagaan yang kamu bimbang melesetnya dan rumah kediaman yang kamu sayang, kamu anggap lebih penting daripada Allah dan Rasul dan jihad (perjuangan dengan pengorbanan) menegakkan agama Allah, maka tunggulah sehingga Allah menentukan perintah (hukumannya) dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang fasik." (Surah At-Taubah, ayat 23 - 24)
Ahli-ahli PAS yang ditarbiyah dan menerima hakikat tasawwurnya daripada ayat-ayat tersebut terus beristiqamah di atas landasan yang ditetapkan kepada mereka.
Bai’ah lebih mewajibkan PAS tidak menukar Aqidah perjuangan Islamnya atau dicabar kedudukan islam yang wajib memimpin negara, pelaksanaan syariat boleh dihalang atau dipertikai sewenang-wenang, jati diri ummat Islam dicalarkan, walaupun beberapa pelaksanaannya berkait dengan perkara cabang syariat, memerlukan masa dan jadual yang panjang. PAS memahami semuanya tidak terpisah daripada Aqidah, dasar dan matlamat Islam yang menyeluruh. Maka semua hubungan dan kerjasama PAS dengan semua pihak haram menjual perkara asas tersebut dengan segala harga dialam dunia ini, kerana kita percaya semuanya tidak laku di alam akhirat kelak.
Sejarah PAS mencipta Dr Burhanudin Al-Helmy yang mencerai isterinya daripada Singapura kerana tidak bersedia datang ke semenanjung, bersamanya menjadi pemimpin, PAS mencipta Profesor Ahmad Ibrahim meninggalkan jawatan besar di Singapura, datang berkhidmat di Semenanjung dan lain-lain. Menunjukkan pegangan mereka kepada Bai’ah, yang tidak ada kepada kalangan yang berwawasan dunia tanpa akhirat, atau yang berpegang kepada konsep "Political Animal".
Ahli PAS yang terdahulu melihat semua akibat di alam dunia sebelum akhirat, sesiapa yang mengkhianati bai’ah yang lebih penting atau melanggar sumpah yang dianggap kecil tidak penting. Semuanya menjadi peristiwa yang menjadikan kami semua lebih beristiqamah di atas landasan perjuangan Islam dan matlamatnya.
Kepada mereka yang niatnya bersama PAS sekadar bermalam di hotel atau jambatan pendek menyeberangi cita-cita dunianya atau sekadar menjadi penonton, diucapkan selamat tinggal. Jangan beratkan bahtera kami dan membazirkan tenaga ahli PAS yang besar dan kecil dan bekalan kami yang dibekalkan oleh kalangan yang termiskin lebih ramai daripada yang kaya-raya. Ada pun yang berpura-pura dengan bai’ahnya, ketahuilah bahawa kami beriman kepada kalam Allah SWT :
"Sesungguhnya mereka yang berbai’ah denganmu (wahai Muhammad), sebenarnya mereka berbai’ah dengan Allah, tangan Allah (yang tidak sama dengan makhluknya) di atas tangan-tangan mereka (yang melafazkan bai’ah itu). Maka sesiapa yang mengkhianatinya maka dia menanggung akibat menimpa dirinya, dan sesiapa yang setia menunaikan janjinya (daripada bai’ah itu), maka Allah mengurniakan kepadanya ganjaran yang besar." (Surah Al-Fath, ayat 10)
Perkara talak taklik sahaja mungkin boleh diusahakan di Mahkamah Qadi dengan sistem yang memisahkan politik daripada agama. Ada pun hukuman terhadap mereka yang mengkhianati bai’ah terserah kepada mahkamah Allah Yang Maha Adil lagi Bijaksana, sama ada hukuman dunia atau akhirat terserah kepada-Nya. Bukannya di mahkamah ciptaan manusia yang ramai peguamnya, ada yang baik dan ada yang buruk.
Akhirnya, marilah bersama kita menghayati satu hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Ahmad :
"Tiga orang, aku menjadi musuhnya di Hari Akhirat. Seorang yang membuat perjanjian atas namaku, lalu dia memungkirinya. Seorang lagi menjual orang merdeka (bukan hambanya), lalu dia memakan harganya dan seorang lagi mempekerjakan orang lain, lalu tidak membayar gajinya."
"BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
04 Zulhijjah 1436 H / 18 September 2015

Tuesday, September 15, 2015

Identiti atau sikap yang jadi ukuran?

Semalam saya ke Simpang 4 atas beberapa urusan. Namun malang tidak berbau apabila ada satu kemalangan berlaku antara sebuah motosikal dengan sebuah lori. Akibatnya berlaku satu kesesakan jalan yang agak serius. Hampir 10 minit saya terperangkap di dalamnya. Seperti biasa apabila kesesakan berlaku ramai pengguna jalan raya yang tidak sabar akan ambil kesempatan kepada pengguna jalan raya yang lain. Maka jalan yang asalnya dua lorong bertukar menjadi menjadi tiga lorong akibat sikap sesetengah pemandu yang mencelah ke kiri jalan.

Dalam peristiwa semalam ada sebuah proton wira yang dipandu oleh seorang lelaki cina cuba mencelah masuk ke lorong kanan, dan saya pada mulanya tidak beri peluang untuk beliau mencelah masuk. Namun oleh kerana bimbangkan keadaan yang sesak menjadi lebih teruk, apatah lagi kenderaannya hampir bergesel dengan kenderaan saya, maka terpaksalah saya merelakan lelaki Cina itu tadi mencelah masuk semula ke lorong kanan walaupun dalam hati saya amat marah dengan tindakannya itu.

Saya rasa pemandu lain pun pernah melalui pengalaman seperti ini. Saya juga telah berkali-kali melalui pengalaman seperti itu. Walaupun saya sering berdepan dengan gelagat pemandu berbangsa Cina, namun tidak pernah sama sekali saya memarahi atau menyumpah pemandu itu kerana dia itu bangsa Cina, tetapi kerana sikap tamaknya dan tidak menghiraukan hak pemandu lain!!bukan kerana dia Cina!!! Pada saya, ini adalah berkenaan dengan soal sikap dan atitude pemandu, bukan soal bangsanya.

Saya ingin tegaskan sekali lagi, walaupun berkali-kali di aniaya pemandu berbangsa Cina, saya takkan kata "celaka punya orang Cina!!"


Apabila melayu pijak melayu

Ada seorang guru yang apabila pelajar nakalnya yang terdiri dari orang melayu membuat onar dan biadab dalam kelas, maka guru itu melihat perbuatan itu sebagai masalah peribadi. Apabila guru ini meluahkan masalah pelajarnya kepada rakan setugas, dia biasanya akan berkata "Kenapa Aiman anak Pak Abu tu jahat sangat!!, atau " Kenapa si Jalil yang botak tu biadab sangat!!. Namun apabila pelajar nakalnya yang terdiri dari bangsa lain seperti Ramasamy dan Muniandy atau Ah Chong dan Ah Hock maka ayat yang diucapkannya ialah "kenapa anak-anak hindu ni kurang hajar sangat!! atau "kenapa budak-budak Cina ni susah dengar kata!!, maknanya dengan kata lain ketika itu dia melihat masalah pelajarnya sebagai masalah perkauman dan bukan masalah peribadi.

Pendek kata, untuk melepaskan geram pada Aiman dan Jalil tidaklah sampai untuk mengheret ibubapa, saudara mahupun rakan-rakan mereka tetapi untuk melepaskan geram pada pelajar berbangsa lain seperti Muniandy dan Ramasamy maka seluruh keturunannya terkena panahan kemarahan guru itu tadi.

Sebenarnya itu adalah gambaran yang sengaja saya reka untuk menceritakan tentang seorang guru yang berkelulusan dari pelbagai institusi pengajian tinggi samada dari dalam dan luar negara, terutamanya di timur tengah. Dengan kelulusan dan kelayakan yang beliau miliki, beliau ditugaskan ke sekolah agama berasrama penuh yang terkenal dengan kemasyhurannya sebagai institusi pendidikan tanah air. Boleh dikatakan sejak dari zaman menuntut disekolah hinggalah ke saat tempoh perkhidmatannya beliau hanya dilingkungi oleh satu kaum sahaja, yakni melayu.

Namun suatu hari guru ini telah ditamatkan khidmatnya dan ditukar keSekolah Menengah Kebangsaan biasa yang pelajarnya terdiri dari pelbagai kaum. Akibatnya beliau hanya menjadi guru biasa dan terpaksa mengendalikan kelas yang pelajarnya terdiri dari pelbagai kaum. Guru ini tidak dapat membiasakan diri dengan suasana multikultural berbanding suasana monokultural yang di alaminya sejak zaman menuntut hinggalah ke zaman perkhidmatannya di sekolah agama berasrama penuh.

Akibatnya beliau bersikap bias ketika mengendalikan masalah moral pelajar-pelajarnya. Suasana monokultural yang dilaluinya menyebabkan beliau hanya dapat membezakan antara sikap individu dengan sikap bangsa apabila ia melibatkan bangsanya sendiri. Namun apabila beliau berdepan dengan suasana multikultural beliau akan melihat suasana yang berlaku dari jendela perkauman dan akibatnya beliau melakukan generalisasi dalam tindakan dan pemikirannya. Ketinggian daya intelektual  dan latar pencapaian cemerlang yang dimiliki oleh guru ini tidak menjamin beliau untuk tidak bersikap rasis.

Begitulah gambaran yang cuba saya sampaikan dengan suasana yang berlaku hari ini. Hakikatnya kita melihat sesuatu dari jendela perkauman. Puncanya, sebab kita selesa berada dalam suasana monokultural dibandingkan dengan suasana multikultural.

Benarkah kita begitu marah kerana orang Cina telah memijak gambar pemimpin melayu dan 'Ulama tersohor bertaraf Tuan Guru'?

Ya, ramai yang menjawab dengan penuh semangat berkobar-kobar, kita mesti bersatu di atas semangat melayu. Bersatu mempertahankan maruah orang melayu. Akhirnya dijajanyalah keseluruh negara bahawa orang Cina dah berani pijak orang melayu!!!

Lalu sebagai tindakbalas bagi mengajar kebiadapan bangsa Cina itu, orang melayu perlu menunjukkan kekuatan bangsa Melayu dengan menganjurkan satu perhimpunan yang kononnya sebagai solidariti ke atas penghinaan terhadap pemimpin utama melayu dan Ulama tersohor gerakan Islam itu.

Hakikatnya kita marah kerana yang melakukannya adalah orang Cina, namun kita senyap sunyi kalau yang memijak itu adalah bangsa kita sendiri.





Apabila kita tunjukkan ada budak melayu yang menghina Ulama melayu dan tokoh pemimpin gerakan Islam tempatan, kita kata "biasalah tu budak-budak UMNO yang nakal. Bukan semua pemuda UMNO bersikap begitu, banyak di antara mereka yang bersopan santun dan menghormati orang lain. Takkan kerana limau sebiji yang busuk, habis busuk satu bakul".

Kita akan menambah lagi, "Orang melayu terkenal dengan kesantunannya, namun tak dinafikan ada juga budak-budak yang tak berakhlak dan melanggar tatasusila. Takkan ada semua manusia sempurna dan baik. Kita bangsa melayu pun ada kelemahan dan kekurangan. Alah, pedulikan je lah budak-budak tu....anggap saja mereka budak-budak yang tak matang. Takkan kerana mereka kita nak sangka buruk sesama bangsa kita, nak bergaduh sesama bangsa kita".

Saya rasa itulah antara jawapan yang akan di jawab oleh orang yang tebal dengan sikap perkaumannnya. 

Saya ingin bertanya, kenapa kita tak jawab saja, " inilah akhlak orang-orang melayu yang biadab!! Berani memijak gambar pemimpin gerakan Islam dan tokoh Ulama yang banyak berjasa kepada masyarakat!! Memang orang melayu tak guna!! Orang melayu kurang hajar!! Orang melayu dan hilang akhlak dan tatasusila!!! 

Kenapa tak pukul sahaja semua 'sama rata'??

Mengapa tidak kita anjurkan saja satu perhimpunan besar-besaran bagi memprotes sikap orang melayu yang makin lama makin hilang jatidiri dan tatasusilanya!!!

Hakikatnya kita rasional dan bertimbangrasa apabila yang melakukannya adalah bangsa kita namun kita tidak boleh rasional apabila yang melakukannya adalah dari bangsa lain!!


Bahaya apabila identiti jadi ukuran, dan bukan sikap dan perlakuan 

Saya amat bimbang dengan trend berfikir secara perkauman. Mereka menilai sesuatu berdasarkan pada pelakunya dan bukan pada sikapnya. Akibatnya mereka tidak melihat sesuatu yang sepatutnya dilihat sebagai suatu ancaman atau penghinaan, hanya kerana kita di hijab dengan faktor ras bangsa.

Di Malaysia, perkara yang melibatkan penghinaan maruah Islam hanya di halakan kepada bangsa selain melayu, dan bukan dari kalangan melayu. Inilah yang berlaku apabila faktor bangsa saja diambil kira dan bukan berdasarkan kepada sikapnya!

Oleh sebab itu apabila orang melayu yang melakukan penghinaan maka perkara itu tidak disedari dan dibiarkan begitu sahaja.

Kita masih ingat bagaimana Menteri Belia dan Sukan, Khairi Jamaluddin pada Jun lalu dengan 'angkuh' mengatakan "Dalam perbuatannya, hanya Tuhan saja yang akan menghakimi beliau. Bukan kamu. Jangan ganggu atlet kami," katanya ketika mempertahankan kritikan dari masyarakat terhadap pemakaian atlet gimnas negara yang dikatakan mencolok mata. 



Tidakkah ini satu tindakan yang keterlaluan apabila masyarakat yang cuba menjalankan tanggungjawab amr bil makruf wan nahyi alal mungkar ditegur pula agar jangan mengambil alih 'kerja Tuhan'. Tidakkah ini satu tindakan yang angkuh apabila masyarakat yang berhasrat untuk melihat terlaksananya cara hidup Islam disuruh diam dan jangan mengganggu urusan beliau dan para atletnya? Tidakkah ini satu penghinaan apabila pencapaian atlet lebih diutamakan berbanding keredhaan Allah s.w.t??

Namun saya tidak mendengar ada orang yang ingin melakukan perhimpunan secara besar-besaran untuk mendesak Khairi Jamaluddin meminta maaf atas kenyataannya yang meletakkan kehendak manusia mengatasi batas-batas Islam.

Kita juga masih ingat bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengkritik dan menegur pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit. Malah beliau menyifatkan garis panduan itu sebagai 'merepek' kerana industri kreatif seperti drama dan filem hanyalah lakonan semata-mata. Maka untuk itu beliau menggesa agar LPF mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan filem dan drama. 



"Kita tak boleh berfikiran sempit, kalau semuanya tak boleh takkan nak bercakap dengan bantal?", itu adalah ucapannya ketika ditemu ramah oleh wartawan Mstar online, penghujung Julai lalu. 

Tidakkah anda rasa ini satu kenyataan yang biadab? Saya rasa kenyataan sebegini adalah lebih menghina jika dibanding dengan memijak gambar seorang pemimpin tertentu. 

Ini kerana mempertikaikan hak Allah adalah penghinaan terbesar dan tidak ada lagi penghinaan yang lebih besar lagi dari itu. Sedangkan memijak foto pemimpin hanyalah merupakan maruah peribadi pemimpin itu sahaja. Hak dan maruah Allah adalah lebih besar berbanding hak dan maruah mahkluk.  Ini perkara yang kita kena ingat. 

Namun banyak dari peristiwa penghinaan ke atas Islam ini dibiarkan begitu sahaja hanya kerana kita menilai mereka berdasarkan ras bangsa dan identiti. Tetapi apabila gambar Alvin Tan mengenakan tatu kalimah Allah di paha beliau maka bangkitlah pemuda UMNO menuntut kerajaan agar beliau diekstradisi ke Malaysia secepat mungkin!!

Saya katakan kita memang patut marah apabila ada manusia menghina agama Islam. Namun kita kena ingat di Malaysia yang menghina Islam bukan sahaja orang bukan Islam, malah penghinaan itu datang dari orang Islam sendiri malah yang lebih mengecewakan ia datang dari pemimpin kerajaan sendiri. Semuanya patut menerima balasan yang setimpal dengan penghinaan mereka.

Sepertimana kita juga patut marah kepada individu yang menghina maruah individu yang lain, kerana manusia ada maruah yang mesti dihormati. Namun yang jadi persoalan sejauhmana penghinaan yang dilakukan keatas invidu tertentu itu adalah penghinaan terhadap bangsa yang diwakili oleh individu berkenaan??    


Kewarganegaraan sebagai identiti, bukan warna kulit.

Kenapa kita melihat masalah yang dilakukan oleh bangsa kita sebagai masalah peribadi manakala masalah yang dilakukan oleh bangsa lain dilihat sebagai masalah perkauman?

Jawapannya ialah kerana kita tidak dapat melihat perbezaan ketara antara kita dengan pelaku masalah, atau dengan kata lain kita melihat mereka adalah sebahagian dari 'orang kita'. 

Oleh kerana mereka adalah sebahagian dari diri kita juga, maka kita tidak menjadikan masalah identiti sebagai perkara utama. Maka kita dengan mudah menilai pelaku masalah dari sudut sikap dan perlakuannya sahaja. 

Saya terbaca artikel dari Calgary Anti-Racism Education (atau ringkasannya CARED) tentang bagaimana keengganan pelajar-pelajar di Kanada yang terdiri dari pelbagai kaum untuk memperkenalkan diri mereka melalui ciri-ciri budaya (yakni bahasa, pakaian, makanan dan adat istiadat) yang mereka warisi dari keturunan mereka. 

Negara Kanada sepertimana juga negara-negara maju yang lain terdiri dari rakyat berbilang kaum, sekalipun jumlah mereka amat kecil jika dibandingkan dengan warga kulit putih. Kebanyakan imigran ini datang dari berbagai negara seperti arab, India, jepun dan sebagainya. Mereka menetap disini dan menjadi warga Kanada seadanya. 

Ceritanya bermula apabila aktivis berkenaan bertugas mengendalikan sebuah pertandingan melukis poster  di sebuah sekolah untuk pelajar menengah rendah sebagai sebahagian dari  program 'Students For Change' anjuran mereka. Mereka meminta pelajar di sekolah berkenaan untuk melukis suatu poster yang menggambarkan budaya mereka secara terperinci. Aktivis berkenaan memberi garis panduan bagaimana isu itu akan dikupas, apakah bentuk kajian yang mereka perlu lakukan dan bagaimana mereka mahu berkongsi idea yang mereka fikirkan. Diharap dengan pembentangan itu pelajar-pelajar dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang asal usul keluarga, bangsa dan kebudayaan mereka.

Namun apa yang menarik ialah apabila seorang pelajar berkulit putih mengangkat tangan dan bertanya, "bagaimana jika anda tidak mempunyai budaya yang tertentu?", manakala seorang pelajar bukan kulit putih pula mengajukan soalan, "bagaimana pula jika anda tidak mahu bercakap tentang soal budaya anda?", katanya yang merujuk kepada diri mereka sebagai jawapan kepada pembentangan yang diminta.

Oleh kerana aktivis ini sedang meneliti tabiat rasisme yang wujud dalam diri pelajar-pelajar sekolah itu maka mereka dapati soalan itu bukan satu bentuk penolakan hasil dari sikap peribadi pelajar itu (seperti malas, atau tiada idea mengenainya), sebaliknya ia adalah perlambangan sikap pelajar itu yang enggan bercakap soal ciri-ciri kebudayaan khusus mereka berdasarkan keturunan mereka.

Aktivis itu turut mendapati sebahagian pelajar-pelajar bukan kulit putih enggan menjawab mengapa mereka enggan untuk bercerita tentang kebudayaan kaum mereka. Mereka sangat tidak selesa dengan soalan yang berkisar tentang identiti kaum mereka.  

Apabila ditanya mengapa anda menjawab 'tiada budaya', seorang pelajar kulit putih menjelaskan bahawa beliau memang membesar disini, ibu bapanya berasal dari sini dan rasanya beliau telah menjawab soalan aktivis itu tadi. Disebalik itu, beliau merasakan bahawa jika pengenalan dirinya sentiasa diikat dengan imej bangsa dan kebudayaannya, maka beliau bimbang personaliti dirinya akan dinilai berdasarkan kepada kebudayaan serta ras bangsa yang diwakilinya. 

Aktivis itu juga mendapati bahawa pendekatan pendidikan multikultural tidak berjaya disini kerana mereka telah mewujudkan satu persekitaran monokultural. Oleh sebab itu mereka cukup sekadar menisbahkan diri mereka sebagai 'warga Kanada'. 



Sebenarnya apabila kita mewujudkan persekitaran monokultural, kita sebenarnya merapatkan jurang perbezaan antara satu sama lain. Kita sedar kita tidak boleh mengubah warna kulit, namun kita boleh mengubah bahasa kita, selera kita, budaya kita, penampilan kita dan kebudayaan kita. Apabila suasana monokultural terbentuk, maka orang tidak melihat masalah identiti sebagai perkara utama. Akhirnya yang akan membezakan antara satu sama lain ialah sikap dan perlakuan masing-masing. 

Maka orang kulit putih tidak ada masalah untuk melihat gambar pemimpin mereka yang korup dipijak oleh warga kulit hitam kerana mereka tahu yang dipijak itu ialah sikap korup yang ada pada pemimpin itu dan bukan identiti bangsa yang diwakili oleh pemimpin kulit putih itu. 

Di Malaysia, kita masih meraikan suasana multikultural. Setiap kaum dan bangsa kekal dengan identiti dan kebudayaan masing-masing. Akibatnya negara kita masih menilai seseorang berdasarkan keterikatannya pada ras bangsa dan kebudayaannya. Meskipun kerajaan cuba mendidik rakyat agar menjauhi sikap rasisme, hakikatnya matlamat ini tidak akan tercapai tanpa mewujudkan suasana monokultural dalam erti kata yang sebenar. 

Setelah berpuluh puluh tahun kita menyeru kepada perpaduan nasional, kita masih gagal meruntuhkan tembok perkauman di antara kaum di Malaysia. 

Sepatutnya kaum minoriti di Malaysia 'menyerapkan' diri kepada identiti bangsa majoriti. Mereka mesti menggunakan bahasa kebangsaan, atau memperlihatkan ciri-ciri kebudayaan bangsa majoriti agar mereka tidak dinilai berdasarkan identiti mereka semata-mata. Apabila suasana monokiltural wujud, kita hanya menilai seseorang berdasarkan kepada perilaku dan tindakannya, dan bukan kepada identiti kaum yang diwakilinya. 




   

Saturday, September 12, 2015

Kongres Rakyat - Deklarasi Shah Alam



DEKLARASI RAKYAT SHAH ALAM

Kongres Rakyat bertemakan MEMBINA MALAYSIA SEJAHTERA dengan ini mengisytiharkan:

1- Bersatu untuk membentuk sebuah Malaysia yang makmur dalam kerangka integrasi nasional dan bersama-sama menggembelingkan tenaga bagi menangani krisis yang sedang melanda negara.

2- Bertindak menyedarkan rakyat ke arah mengembalikan semula tunjang-tunjang sistem ketatanegaraan yang adil dan saksama melalui kerangka Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji semula semua undang-undang yang memeras rakyat.

3- Bertindak mewujudkan amalan politik yang tulus dan telus seterusnya mengawal kegiatan politik dan perilaku ahli-ahli politik agar tidak menggugat kestabilan dan keharmonian negara.

4- Menjadikan agenda pendidikan sebagai wahana terpenting ke arah memupuk kesedaran rakyat dalam membuat perubahan sosial, ekonomi dan politik, demi mengelakkan pendekatan yang boleh menghuru-harakan negara.

5- Berusaha sedaya upaya membela golongan rakyat yang terpinggir dari arus pembangunan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pekebun kecil, golongan miskin, golongan yang tidak mampu bekerjaya dan lain-lain.

6- Bertindak mendesak kerajaan mengembalikan sistem pemisahan kuasa antara eksekutif , legislatif dan kehakiman bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam urus tadbir negara.

7- Bertindak untuk menggesa kerajaan supaya diwujudkan segera satu badan perunding ekonomi negara yang lebih inklusif, mewakili semua golongan rakyat dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak demi untuk menangani krisis ekonomi yang sedang berlaku.

Maka dengan ini, setelah menerima usul-usul dari akar umbi rakyat, mendengar secara langsung pandangan dari seluruh sektor masyarakat dan mengambilkira pandangan tokoh-tokoh masyarakat, Kongres Rakyat mengumumkan pembentukan satu Jawatankuasa Penggubal Pelan Tindakan Rakyat yang akan dipengerusikan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres, dan diuruskan oleh sekretariat. PELAN TINDAKAN ini akan dilancarkan pada 1 Muharam 1437 hijrah nanti

Sumber : Facebook Kongres Rakyat

Jatuh talak, tidak boleh tebus dengan kafarah

 
Diterbitkan: 10 September 2015
Ditulis oleh IZWAN ABDUL HALIM

SEPANG: Takliq menjadi sah apabila perbuatan yang disandarkan ke atasnya dilanggari dan ia tidak boleh ditebus dengan membayar kafarah, demikian tegas Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din.

Jelas beliau, baiah dan takliq adalah dua perkara yang sepatutnya dibezakan di mana takliq bukannya baiah dan ia berdiri sendiri sebagai ‘ta’liquttalaq’.

Terangnya, baiah adalah suatu perkara yang diterima umum, tetapi ‘ta’liquttalaq’ adalah satu tajuk khusus dalam bab nikah.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kompleks Pusat Dakwah Serantau di Kampung Labuhan Dagang, di sini 9 September.

“Adapun yang dipanggilkan dengan takliq itu dia hanya thabit dengan melafazkan talak (yang) dikaitkan atau digantungkan dengan sebarang gantungan. Yang diamalkan di Malaysia secara umum, takliqnya berhubung dengan pemberian nafkah, tinggal isteri begitu lama lebih daripada enam bulan atau menyakiti isteri.

“Itu takliq yang diamalkan seluruh Malaysia. Itu telah menjadi amalan yang begitu lama diterima pakai dan tidak ada masalah sebab ia adalah takliq. Takliq di Malaysia bukan sahaja yang dikenakan oleh pemerintah, seperti yang ada dalam surat nikah yang diberikan dengan takliq. Tapi suami boleh bertakliq dengan apa sahaja perkara.

“Misalnya dia tak bagi isterinya pergi ke rumah jiran, dia bertakliq, “Sekiranya kamu pergi ke rumah (jiran), maka tertolaklah kamu dengan satu talak”. Jika thabit isteri telah pergi, maka memang talak itu jatuh,” terang beliau.

Jelas Tuan Guru, demikian dalam masalah yang dikaitkan dengan baiah di mana di dalamnya itu terdapat lafaz takliq.

Maka katanya, takliq itu berdiri atas kakinya sendiri, iaitu sekiranya seseorang itu mengkhianati perjuangan, meninggalkan perjuangan, masuk ataupun pergi ke parti lain, maka tertolaklah isterinya dengan tiga talak.

Takliq itu tegasnya, sah kalau berlaku perbuatan yang dilanggarinya, maka jatuhlah talak isterinya dengan tiga talak.

“Itu tiada paksaan semasa hendak menyebutnya dahulu. Maka tidak ada paksaan, maka sahlah ia. Kalau paksaan pun, bukan sebarang paksaan yang dinamakan paksa. Paksaan bermakna “Ketakutan yang amat sangat terhadap agamanya atau nyawanya atau hartanya atau kehormatannya”.

“Darurat syarat hanya menerima ketakutan yang amat sangat, takut yang sesungguh-sungguh takut, yang boleh menghilangkan nyawanya atau merosakkan agamanya, atau harta bendanya, atau kehormatannya, maka boleh dia melakukan perkara yang dilarang.

“Dalam kes bai’ah ini tidak ada paksaan, dalam kes mentalakkan isteri pun tidak ada paksaan. Semua menyebut dengan penuh rela yang tak pernah mereka ragui selama ini, tiba-tiba selepas mereka melanggarnya dengan meninggalkan perjuangan, baru timbul kata boleh selesaikan dengan membayar kafarah,” ujarnya.

Tegas beliau, tidak ada kafarah dan tidak ada sebarang peruntukan dalam syarak bahawa orang yang melanggar janji boleh membayar kafarah.

Iaitulah jelas Tuan Guru, orang yang telah mentalakkan isterinya tebus dengan kafarah tidak pernah ada dalam hukum syarak, sedang kafarah dibayar dengan puasa selama sepuluh hari itu adalah kafarah yamin.

“Kafarah sumpah merdeka seorang hamba atau beri makan kepada sepuluh orang fakir miskin atau bagi pakaian kepada orang miskin atau puasa tiga hari. Tapi mereka berpuasa sepuluh hari itu puasa apa? Ok, apapun takliq talak tidak boleh ditebuskan dengan namanya kafarah.

“Kalaulah boleh takliq talak itu dibayar dengan kafarah, iaitu puasa tiga hari, maka saya yakin seluruh rakyat Malaysia yang telah mentalakkan isteri dia dalam takliq talak lepas perkahwinan semua nak bayar kafarah kerana tak mahu isteri berada dalam keadaan tergantung-gantung talak.

“Tak boleh buatlah, moga orang tidak buat, maka yang ini pun tidak buat. Kalau kita faham demikian, maka masing-masing tanya dirinya akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT. Maka Allah Taala akan tentukan apa yang telah berlaku itu sama ada betul ke tidak apa yang mereka lakukan ataupun mereka menanggung dosa yang besar,” tegurnya.

Sumber : Laman rasmi PAS Pusat.