Saturday, January 25, 2014

Najib dan kangkung mendapat tempat di media Indonesia


Dalam laman http://internasional.kompas.com/read/2014/01/16/0826576/PM.Malaysia.Tersandung.Pernyataan.soal.Kangkung, akhbar berkenaan mengumpamakan Najib “bulan-bulanan ledekan warganya (Malaysia) di media sosial internet dalam beberapa hari terakhir setelah berkomentar soal harga kangkung.”

Kompas menyebut, video rakaman ucapan Najib (ketika menyampaikan bantuan banjir di Kemaman) itu dimuat naik ke Youtube minggu lalu, oleh aktivis internet di Malaysia dan mulai menjadi bahan jenaka serta sindiran terhadap isi pidato tersebut.

Antara lain Najib menempelak orang ramai yang sedang gelisah dengan kenaikan harga barang dengan berkata: ”Hari ini harga kangkung turun. Bila turun, kenapa tidak memuji pemerintah? Saat (harga) naik, pemerintah dipersalahkan. Itu tidak adil,” ujar Najib dalam rakaman video tersebut.

Kompas menjelaskan, ucapan Najib itu dianggap tidak sensitif pada saat rakyat Malaysia mengeluh dengan kenaikan harga barang-barang keperluan asas.

Antara lain sindiran kepada Najib di media facebook ialah seorang pengguna meletakkan banner bertuliskan ”Keep Calm and Eat Kangkung”.

Sementara pengguna lain membuat akaun ”Hari Kangkung Sedunia” di Facebook dan membuat berbagai video atau foto parodi berkaitan kangkung.

Jom baca koleksi balas pantun 'kangkung'

Hari-hari makan kangkung,
Peniaga kangkung banyak untung,
Otak pun naik kulat makan kangkung,
Syukur dapat PM Najib kangkung,
 
Budak budak bermain kangkung,
Kangkung meliar diatas tanah,
Rakyat kurus muka dah cengkung,
Asyik kangkung yg dimamah..
 

Alhamdulillah, harga kangkung turun kita akan senang lenang

Terima kasih banyak-banyak DS Najib kerana kangkung sudah turun harganya. Minta maaflah kerana tidak sempat berterima kasih kepada kerajaan kerana saya tidak menyedari yang kangkung sudah turun harganya. Insyaallah dari hari ini saya akan masak sayur kangkung sahaja setiap hari. 

Dato Seri minta supaya semua orang berterima kasih kerana harga kangkung sudah turun, maka saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato Seri kerana turunnya harga kangkung ini. Turunnya harga kangkung ini membuktikan yang transformasi ekonomi Dato Seri sudah mula membuahkan hasil.

Barulah kami sedar yang kami di bawah-bawah ini layaknya hanya untuk memakan kangkung sahaja. Maka terlaksanalah apa yang disebut dalam pepatah Melayu, iaitu kita ‘balik kampung, tanam kangkung’. Ini adalah kejayaan perjuangan seorang Perdana Menteri. Kerajaan pimpinan beliau telah berjaya menurunkan harga kangkung.

Dengan itu marilah kita berikan sokongan kepada kepimpinan beliau, kerana kita wajar bersyukur dan berterima kasih kerana telah berjaya menurunkan harga sayuran yang banyak mengandungi iodine ini. Iodine boleh membantu kita untuk tidur jika kita susah hendak tidur malam. Kurangkan makan gula kerana ia akan melemahkan libido kita.

Dengan turunnya harga kangkung ini tentulah ia akan memberikan kesenangan kepada kehidupan rakyat dan kita tunggu sahaja pencapaian negara ke tahap negara maju menjelang tahun 2020. Dengan turunnya harga kangkung ini, tentulah impian pimpinan kita untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat kepada USD15,000 setahun akan tercapai.

Dengan pengurangan harga kangkung ini akan dapat menjimatkan perbelanjaan dan penjimatan itu akan dapat menampung kenaikan tarif elektrik dan kadar bayaran tol kepada pemegang konsessi lebuh raya dan menampung kenaikan harga bahan api sekarang ini. Ia juga boleh menampung harga gula yang telah naik berkali-kali dalam setahun ini.

Mungkin kangkung ini boleh menjadi bahan ‘export’ negara dan boleh membantu memperbaiki pendapatan negara dan akhirnya boleh mengurangkan defisit belanjawan negara pada tahun-tahun akan datang ini.

Alhamdulillah, kita ada kangkung untuk memberikan kenikmatan kepada kehidupan rakyat negara ini. Selama ini hanya rakyat termasuk diri saya ini tidak tahu untuk mencari kehidupan yang baik, sehinggalah PM Najib memberikan jalan untuk memperbaiki kehidupan kita pada masa-masa yang mendatang dengan memakan kangkung.

Kepada Menteri Hasan Malek, kita hendak bertanya, kalau kangkung naik pula harganya nanti, adakah saudara akan membuat kenyataan, ‘kalau kangkung mahal, jangan makan kangkung’?

Terima kasih YAB Perdana Menteri. Saya cadangkan supaya diadakan kempen memakan kangkung di peringkat nasional dalam masa terdekat ini. Mungkin Pemandu boleh berbuat sesuatu untuk melaksanakan kempen makan kangkung ini.

Nasib baik ada kangkung menyelamatkan kita. -http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Apa kesan pada rakyat jika harga kangkung naik


harga kangkung naikSemua orang bercakap tentang kangkung semenjak dua menjak ni. Puncanya hanya kerana Perdana Menteri kita juga bercakap pasal kangkung.

Itulah powernya jika anda jadi Perdana Menteri, apa saja percakapan anda diambil perhatian, dirakamkan dan dianalisakan.

Setiap kali Perdana Menteri berucap, tentang apa saja, biasanya mereka yang pro kerajaan akan komen puji melambung. Hebat...hebat, begitulah biasanya para penyokong kerajaan akan kata.

Sebaliknya mereka yang pro bukan kerajaan akan cari salah dan bengap tentang ucapan Perdana Menteri itu. Biasalah begitu, tak ada manusia sempurna. Bergantung pada apa yang kita nak tengok, baik atau buruk, sudah pasti kedua-duanya dapat disingkap.

Sebab utama jadi begitu adalah kerana baik dan buruk, lemah dan kuat, kalah dan memang, miskin dan kaya, masalah dan peluang...kedua-duanya datang sekali. Kepala dan ekor sentiasa ada pada satu siling yang sama. Mereka tak datang berasingan.

Tapi kali ini, agak pelik sikit. Sebabnya adalah kerana samada pro kerajaan atau pro pembangkang, kedua-duanya melihat sudut kelakar terhadap ucapan Perdana Menteri. Sudut serius tidak menjadi fokus utama kecuali beberapa kerat pemimpin kerajaan sahaja yang berusaha melihat sudut positif terhadap ucapan kangkung Perdana Menteri.

KESAN PADA RAKYAT JIKA HARGA KANGKUNG NAIK TAK SAMA DENGAN KESAN HARGA TENAGA NAIK.

Rasanya orang ramai tak setuju dengan ulasan kangkung adalah kerana ia perumpamaan yang sungguh kangkung. kalau professor ucapkan begitu, sahih kita akan panggil dia professor kangkung.

Jadi bila PM buat perumpamaan begitu, sudah tentu akan dapat gelaran Perdana Menteri Kangkung. Maknanya tak berapa menarik. Kerana kangkun boleh hidup kat longkang, kat paya, kat parit. Campak saja tangkai atau batang kangkung kat parit atau paya dia akan mula hidup menjalar.

Jika harga kangkung naik, tak ada kesan pada orang kampung. Tak ada kesan pada barangan lain kerana orang kampung akan kutip saja kamngkung yang bersepah menjalar disekeliling parit di kampung.

Kalau kat puchong, kangkung boleh dikutip pada merata tempat. Parit kotor atau parit bersih boleh ada kangkung.

Jadinya jika peniaga naikkan harga kangkung, mereka sengaja cari pasal untuk membuatkan kangkung atas meja pasar malam busuk tanpa ada orang nak beli. Sebab orang ada pilihan untuk cari kang kung belakang rumah.

Berbeza jika harga minyak naik, harga tol naik, harga gula naik, harga letrik naik...kesannya rakyat tak ada pilihan korek telaga minyak sendiri, rakyat tak boleh buat lebuhraya sendiri, rakyat tak reti proses gula sendiri dan rakyat tak boleh jana tenaga letrik sendiri.

Rakyat terpaksa menanggung kos kenaiakn itu tanpa ada apa-apa pilihan baik. Bila jadi begitu, rakyat menjadi semakin parah bila semua harga barang lain turut sama naik. Tapi harga kangkung tetap tak naik sebab kangkung senang dicari, senang ditanam.

Lain kali bila berucap jangan berikan contoh kangkung. kita dah kebanjiran cendikiawan kangkung, dah ramai sangat prof kangkung, dah ramai sangat pegawai dan menteri kangkung, jangan tambah pula satu lagi PM kangkung.

Jika harga kangkung naik rakyat tak kisah. Tapi bila jumlah kangkung bertambah, rakyat akan terseksa. Negara jadi huru hara. Biasanya bila kangkung terlalu banyak sangat menjalar depan rumah, kita akan cantas saja, ambil kangkung itu berikan makan pada arnab....jika orang kangkung bertambah kita nak buat apa?...anda berikan komen sedikit boleh...???

Kangkung: Patutlah blogger pro Umno tak melawan...

KANGKUNG: PATUTLAH BLOGGER PRO UMNO TAK MELAWAN.. ADA KRISIS RUPANYA..

 

Akhirnya aku temui juga sebab mengapa Blogger-blogger UMNO yang punya nama dan pengaruh langsung tidak melawan serangan dari pihak Blogger-blogger Pakatan Rakyat dalam isu Najib dan Kangkung ini..

Jawapannya aku temui setelah semalaman melayari Blog-blog Pro UMNO dan aku temuinya dalam satu blog Pro UMNO yang paling aku suka baca The Unspinner..

The Unspinner dalam penulisannya telah mendedahkan sebab mengapa Blogger-blogger Pro UMNO yang ternama nampak tidak bermaya dalam menangkis isu ini..

Najib sedih kenyataannya pasal kangkung dipermainkan


Ahad lalu, Najib bercakap mengenai bagaimana kerajaan tidak patut dipersalahkan kerana harga ikan dan sayur-sayuran yang tidak menentu, yang menurutnya bergantung kepada cuaca.

Tambahnya, pengkritik menyalahkan kerajaan kerana harga makanan yang mahal tetapi tidak pernah memuji kerajaan apabila harga turun, dengan memetik kangkung sebagai contohnya.

Kenyataan beliau itu menjadi bahan ejekan di Internet.

Sensasi ekoran ucapan perdana menteri berhubung penurunan harga kangkung kemudiannya menarik perhatian media antarabangsa apabila agensi berita BBC bawah segmen trending beritanya, melaporkan bagaimana Najib dikritik kerana mengeluarkan kenyataan itu.

Lihat video ucapannyanya di SINI

Mengulas isu 'kangkung' yang ditimbulkan sesetengah pihak susulan penjelasannya sebelum ini berhubung harga barang, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkara itu tidak patut dipermainkan.

Menurutnya, sayuran itu hanyalah contoh barangan yang digunakan ramai orang.

"Saya suka makan kangkung, anda semua suka makan kangkung... (sebab itu) saya beri contoh yang semua orang makan. 

"Kalau saya beri contoh seperti burung puyuh, orang tertentu sahaja makan.

"Tidak seharusnya contoh itu dipermainkan oleh sesiapa kerana saya beri contoh sebagai prinsip 'supply and demand' (penawaran dan permintaan) yang tentukan harga sebahagian daripada barang makanan yang kita tidak kenakan harga kawalan," katanya.


Ha..ha..ha... kesiannya kat dia.. tak payah nak sedihlah Najib.. sepatutnya beliau sedar kenapa kesilapannya dipermainkan oleh majoriti warga internet dan faham apa makna disebalik serangan itu..

Maknanya rakyat dah menyampah dengan dia, jadi eloklah letak jawatan dan digantikan dengan lain-lain pemimpin UMNO/BN yang ada...

Tapi Najib bohong bila dia kata harga kangkun turun.. lihat di SINI

Kami mahu SPPBS dimansuhkan

Sejak diperkenalkan tiga tahun yang lalu, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) menimbulkan pelbagai polemik terutamanya dalam kalangan guru. Hal ini kerana merekalah pihak yang paling terbeban dengan pelaksanaan sistem ini.

Sehingga kini masih banyak perkara yang berbangkit dan tidak selesai. Malah suara dan pandangan para sering ditolak ke tepi dan setiap kelemahan sistem ini tidak diselesaikan dengan sewajarnya. 

Oleh itu, ada 10 sebab UTAMA Mengapa PBS jadi dasar caca-marba dan WAJIB DIMANSUHKAN:

PERTAMA:
Arahan berbeza antara KPM, JPN, PPD dan sekolah dan guru. Masalah ini dihadapi tiga tahun berturut-turut tanpa ada penambahbaikkan daripada pihak KPM.
*Alasan KPM - Kecairan maklumat.

KEDUA:
Pemahaman berbeza antara JU Kebangsaan, JU Negeri, JU Sekolah dan guru-guru.
*Tiga tahun juga tiada perubahan.

KETIGA:
Penggubalan soalan berbeza antara negeri-negeri, daerah-daerah dan sekolah-sekolah.
*Terdapat pula jualan BUKU EVIDEN untuk PBS sedang ia menyalahi sistem PBS ini.

KEEMPAT:
Pelaksanaan PEPERIKSAAN DALAMAN bagi membuat penilaian kepada murid dan PBS tidak berfungsi.
*Peperiksaan awal, pertengahan dan akhir tahun tetap dijalankan.

KELIMA:
Pemarkahan yang berbeza mengikut suka hati guru tanpa ada rujukan penilaian.
Contoh: Ada guru mahu pelajar memberikan tiga contoh, manakala ada yang lain cukup satu contoh sahaja.

KEENAM:
Dalam tempoh 15 hari, KPM boleh menggubal dasar yang tiada hasil percubaannya. Tiada 'Pilot Project' atau dikenali projek perintis.
*KPM mahu jadikan murid Tingkatan 3 tahun 2014 sebagai percubaan.

KETUJUH:
Murid yang pandai akan diberi soalan susah untuk mendapat BAND 6. Murid yang kurang cerdik akan diberi soalan mudah bagi mencapai BAND 6.

KELAPAN:
Garis panduan Dokumen Standard Prestasi yang berbeza dengan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) atau dikenali sebagai SILIBUS.
*DSP kena habiskan, Silibus wajib habiskan? Pertindanan.

KESEMBILAN:
Sistem Online yang lemah dan tidak mampu diatasi TIGA TAHUN berturut-turut. Terlalu banyak eviden yang perlu dimasukkan. Tidak efektif.
Contoh: Dalam sistem peperiksaan contohnya SAPS. Hanya markah akhir sahaja perlu dimasukkan.

KESEPULUH:
SPPBS dibangunkan oleh DUA SYARIKAT berbeza dan kos yang dikeluarkan tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan. Pembaziran sangat besar berlaku.

KESIMPULAN:
Sistem baru yang diperkenalkan oleh KPM dengan nama PPMR bagi menggantikan PMR sebenarnya adalah SISTEM BIDAN TERJUN.

Jamil Khir perlu pertahan SMA-MAIWP

Sebagai salah seorang bapa kepada pelajar di Sekolah Menengah Agama-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, saya ingin melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan terutamanya YB Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom atas komitmen serta inisiatif pihak MAIWP kerana berjaya melahirkan sebuah sekolah menengah yang bukan sahaja menitikberatkan pencapaian akademik, tetapi bertujuan menanam modal insan kepada anak-anak. 

Walaupun MAIWP menyerap dan mengambil tenaga pengajar SMA-MAIWP yang rata-ratanya masih muda dan terdiri daripada guru-guru yang tidak mendapat latihan secara formal daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, namun saya mendapati guru-guru SMA-MAIWP amat komited dan cemerlang dalam memberi serta menyeimbangkan pendidikan dunia dan akhirat di SMA-MAIWP. 

Buktinya, SMA-MAIWP telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam siri keputusan-keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahupun Sijil Menengah Agama (SMA). Hinggakan, kedudukan ranking SMA-MAIWP secara konsisten mencatatkan kedudukan antara tiga sekolah terbaik di Wilayah Persekutuan. 

Namun, saya amat terkejut apabila mendapati MAIWP telah menyerahkan SMA-MAIWP kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyebabkan ramai tenaga pengajar baru diambil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya tidak menafikan tenaga pengajar daripada Kementerian Pendidikan Malaysia adalah berpengalaman dan terlatih, namun saya khuatir halatuju SMA-MAIWP sudah bertukar dan tidak selari dengan hasrat asal MAIWP ketika penubuhan sekolah ini. 

Ketika awal penubuhan SMA-MAIWP, visi dan misi SMA-MAIWP adalah jelas untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang dan seimbang antara dunia dan akhirat. Buktinya, SMA-MAIWP turut menitikberatkan pengajaran subjek Sijil Menengah Agama.

Namun, amat malang sekali apabila pihak bertanggungjawab tidak serius dalam memperkenalkan Sijil Tinggi Menengah Agama (STAM) walaupun menerima respon yang positif daripada pelajar-pelajar SMA-MAIWP sendiri. Sehingga kini, pihak bertanggungjawab gagal untuk mengambil pelajar untuk STAM walaupun SMA-MAIWP sudah tiga tahun melahirkan lepasan SPM. Ketidak-seriusan pihak bertanggungjawab mula terserlah sejak sekolah SMA-MAIWP ini diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Ketika saya dan para ibu bapa yang lain mendaftarkan anak-anak ke SMA-MAIWP, hasrat kami tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melihat anak-anak kami menjadi insan yang cemerlang dalam akademik mereka. Namun, pada masa yang sama kami ingin melihat anak-anak kami ini menjadi insan yang cemerlang dari sudut akhlak dan ilmu agama. Inilah visi dan misi utama SMA-MAIWP ketika MAIWP melahirkan sekolah ini. Tetapi saya melihat halatuju sekolah ini sudah semakin hanyut dan tidak lagi menitikberatkan penyeimbangan dunia dan akhirat. 

Terbaru, pihak yang bertanggungjawab telah menukar keseluruhan pentadbiran teratas SMA-MAIWP daripada Pengetua sehinggalah kepada Guru Penolong Kanan yang kesemuanya diambil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal ini seperti ini amat merunsingkan saya dan ibu bapa yang lain kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang senang serta tidak selesa kepada kami ibu bapa, anak-anak dan terutamanya guru-guru asal SMA-MAIWP yang dari awal bertungkus-lumus menjadikan SMA-MAIWP menjadi sekolah cemerlang dan menjadi perhatian ramai. 

Pertukaran sebegini amat tidak munasabah tatkala SMA-MAIWP mencatatkan keputusan yang cemerlang saban tahun. Justeru, saya ingin bertanya kepada pihak MAIWP adakah mereka tidak lagi menyayangi sekolah ini hinggakan menyerahkan sekolah ini begitu sahaja kepada pihak lain? Apatah lagi, penyerahan tanggungjawab sebegini bukan sahaja menyebabkan ketidakstabilan kepada warga dalaman SMA-MAIWP, malah telah menyebabkan halatuju SMA-MAIWP sudah tidak lagi seperti yang dimahukan. 

Lebih menyedihkan, salah seorang daripada Guru Penolong Kanan SMA-MAIWP yang baru diserap daripada Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan perkataan 'berambus' kepada pelajar-pelajar SMA-MAIWP. Hal seperti ini langsung tidak pernah terjadi kepada SMA-MAIWP sebelum ini. Persoalannya, adakah akhlak seperti ini yang ingin MAIWP lahirkan?

Oleh itu, saya merayu agak pihak MAIWP memandang serius dan mengambil peduli tentang sekolah kebanggaan ramai ini. Lebih-lebih lagi, SMA-MAIWP merupakan satu-satunya sekolah menengah di Malaysia yang dilahirkan daripada sumbangan zakat dan boleh menjadi model yang baik kepada seluruh Majlis-majlis Agama di seluruh Negara. 

Saya optimis MAIWP mempunyai sumber manusia mahupun kewangan yang lebih daripada mencukupi untuk mentadbir SMA-MAIWP dan seterusnya melahirkan model pelajar yang tersendiri dan boleh menandingi kehebatan produk sekolah menengah seliaan Kementerian PendidikanMalaysia. Seharusnya MAIWP berbangga dengan produk mereka sendiri yang berterusan cemerlang dalam kerangka model tersendiri, lebih-lebih lagi dalam melahirkan produk modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

Barang naik: Kerajaan kambing hitamkan peniaga

Punca Kenaikan Harga Barang Dan Kos Hidup

Pasca PRU13 memperlihatkan tekanan yang dihadapi rakyat apabila kenaikan harga barangan keperluan serta kos hidup mereka akibat pelarasan subsidi yang telah dilaksanakan kerajaan. Dengan menggunakan alasan "ke arah negara maju, untuk kebaikan negara" dan lain-lain alasan manis untuk terus "mengangkungkan" minda rakyat bagi menghalalkan segala tindakan mereka.

Umum mengetahui apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu adalah bagi menutup segala ketirisan dan keborosan yang dilakukan oleh mereka sehingga menyebabkan negara kini berhadapan dengan masalah ekonomi dan hutang negara yang sangat tinggi.

Rakyat sendiri dapat melihat dengan mudah sebagai contoh, setiap kali pilihan raya kecil berlangsung, kerajaan akan menabur berbilion ringgit dengan janji pembangunan dan sebagainya bagi memancing undi rakyat. Ini tidak termasuk lagi ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan sepertimana yang dilapor oleh Ketua Audit Negara.

Episod Kambing Hitam-Peniaga, Pengusaha Tersepit

Kini apabila rakyat mula menyatakan kemarahan mereka terhadap kenaikan kos hidup yang menggila ini melalui himpunan aman, media sosial dan lain-lain lagi, kerajaan tersedar bahawa tindakan mereka itu mengundang kemarahan rakyat. Maka untuk kembali menjadi hero kepada rakyat, para peniaga pula dipersalahkan.

Dalam beberapa hari ini kita dapat lihat di media, kerajaan cuba berlagak kembali sebagai pembela rakyat apabila Perdana Menteri mengumumkan akan bertindak tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan. Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata, kerajaan akan membatalkan lesen pengedar, pembekal dan pengimport barang keperluan harian jika mereka terus menaikkan harga barang. Maka dalam keadaan kos pengangkutan, penghasilan, bahan mentah dan lain-lain meningkat adakah wajar peniaga disalahkan untuk menampung keuntungan mereka?

Teori Domino Dalam Kenaikan Harga Barangan Keperluan

Untuk memahami perkara asas ekonomi sesebuah negara, kita tidak perlu kepada ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi. Kerajaan juga tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas kononnya bagi mengkaji punca kenaikan harga barang kerana teori domino ini amat mudah difahami.

Sebagai contoh mudah, sebuah kilang pastinya memerlukan tenaga eletrik bagi menjalankan penghasilan sesuatu barangan keperluan, maka dengan kenaikan tarif eletrik, sudah pasti kos penghasilan barangan tersebut juga meningkat, begitu juga dengan bahan api seperti diesel dan petrol yang turut meningkatkan kos penghantaran dan pengedaran barangan keperluan untuk diniagakan. Ini tidak termasuk lagi kos bahan mentah dan lain lain perkara yang terlibat dalam proses penghasilan sesuatu barangan keperluan.

Maka tidak hairanlah mengapa pengusaha dan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Jika kerajaan menuding jari sepenuhnya kepada pihak peniaga semata- mata dalam isu ini, maka jelaslah bahawa kerajaan kita merupakan kerajaan yang hipokrit dan zalim.

Kerajaan Boros, Rakyat Tanggung Beban

Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir juga mengakui bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib hari ini boros dalam pentadbirannya dan beliau sendiri menasihati kerajaan hari ini agak tidak boros. Bukti yang jelas kita boleh lihat melalui laporan Ketua Audit Negara yang lepas bagaimana pembaziran yang tidak munasabah dilakukan oleh pentadbiran kerajaan hingga mencecah angka billion!

Akibat keborosan kerajaan dalam mengurus kewangan negara, langkah terakhir mereka untuk memulihkan ekonomi negara adalah dengan menarik subsidi terhadap rakyat yang akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kos hidup yang menggila dan mereka kian terbeban di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang mana slogannya ketika pilihan raya umum lalu "BN Menang, Rakyat Senang".

Himpunan kata-kata lawak

Kalaulah dihimpunkan kata-kata hikmat para menteri, tidak mustahil kata-kata hikmat menteri Malaysia akan tersenarai dalam 10 terhebat aka terlawak di dunia. Apa tidaknya, sejak belakangan ini kata-kata pak menteri sering dijadikan bahan lawak jenaka rakyat.

Siapa yang tidak pernah dengar ungkapan “harga minyak (petrol dan diesel) di Malaysia masih murah berbanding negara jiran” – kata-kata yang sering dijadikan alasan setiap kali berlaku kenaikan harga minyak. Selepas ungkapan ini menjadi klise – kerajaan menukar pula kepada “kerajaan mengurangkan subsidi minyak...” – perkara yang sama tetapi cuba diselindung daripada sudut sebenar.

Selain itu, ungkapan “Kalau ayam mahal, jangan makan ayam,” – ujar menteri berkaitan berhubung rungutan rakyat apabila harga ayam yang semakin mahal. Juga – “kerajaan menaikkan harga gula untuk mengelakkan rakyat kena kencing manis.” – perihatinnya kerajaan pada kesihatan rakyat.

Apabila rakyat marah-marah kerana tol bakal dinaikkan, maka menteri berkaitan, berkata, “Guna jalan yang tidak bertol...” Ketika tarif elektrik naik, kerajaan dengan rendah hatinya menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan kenaikan tidak membebankan rakyat!

Tidak lupa juga bahawa sang penasihat menyeru rakyat supaya menerima segala kenaikan itu sebagai ketentuan Allah dan rakyat tak perlu merusuh sehingga menyusahkan diri sendiri. Namun yang peliknya ketika harga kangkung turun, rakyat disuruh berterima kasih kepada kerajaan. Bukankah penurunan harga kangkung itu juga ketentuan Allah, kenapa pula mesti berterima kasih kepada kerajaan? 

Yang pasti, jika tidak suka segala kenaikan ini, silalah pindah ke negara lain. Ya, betul, jika tidak sukakan apa-apa yang kerajaan Selangor, Pulau Pinang & Kelantan buat – jangan bising-bising, silalah keluar dari negeri tersebut! Amacam?

Kesimpulannya, kadang kala rakyat perlukan penglipur lara ini untuk mengubat kerisauan akibat kos hidup semakin meningkat. Terima kasih bapak menteri kerana sudi menghiburkan kami.

Turun harga kereta: Realiti atau fantasi

Sebaik membaca tajuk berita “Harga kereta bakal turun lagi” dalam sebuah akhbar pro Umno beberapa hari lalu. Saya tersenyum sinis sendirian. Yang pertama, sejak bila pula harga kereta turun selepas PRU13 lalu – apabila disebut bakal turun lagi! Memang Umno-BN tidak pernah turunkan harga kereta pun. Sepatutnya tajuk berita tersebut hanya berbunyi “Harga kereta bakal turun”. 

Keduanya, saya berpendapat tiada apa yang menarik daripada pengumuman tersebut. Harga kereta CBU hybrid bakal naik. Dan kerajaan tidak bersedia mengurangkan duti eksais – dan ini bermakna tiada penurunan harga! Yang disebut akan turun secara berperingkat pada 2018 nanti – boleh percaya ke? 

Pada masa yang sama tiada satupun pelan yang kukuh dibentangkan bagaimana harga kereta boleh dikurangkan. Sekadar mengadakan sidang akhbar memberitahu harga kereta akan turun beberapa tahun lagi – tanpa pelan yang munasabah – hanyalah retorik untuk menyejukkan kemarahan rakyat ketika kos sara hidup meningkat dengan drastik.

Kerajaan juga tidak menyediakan pelan untuk membantu para peniaga kereta terpakai dan pembeli yang sedia ada. Sepatutnya, jika harga kereta akan diturunkan 2 – 3 tahun akan datang, kerajaan wajar menyediakan pelan kepada peniaga kereta terpakai seperti merendahkan kadar faedah pinjaman kereta terpakai kepada kurang dari 1 peratus mulai sekarang.

Bagi pembeli sekarang dan sebelum penurunan, mereka di beri peluang untuk refinance serta kadar faedah yang rendah supaya semua pihak dapat manfaatnya. Jika tidak, dalam tempoh 2 – 3 akan datang industri automotif mungkin akan terjejas kerana sudah pasti rakyat akan menangguhkan pembelian sehingga baru yang lebih rendah.

Walau bagaimanapun, pengumuman ini tidak memberi apa-apa manfaat langsung kepada rakyat dalam tempoh terdekat kerana yang rakya mahukan ialah realiti bukan fantasi.

Teguran kepada pembaca berita TV

Tidak ramai Pengacara wanita Islam, DJ wanita, Pemberita, Pembaca Berita wanita untuk TV1, TV2, TV3, TV7, TV9 dan lain-lain saluran tidak menutup aurat ketika bersiaran.

Yang anehnya lagi ada pengacara wanita Muslim yang mendedahkan aurat di TV ini akan bercerita tentang agama dan kadangkala berbicara dengan Ustaz atau Ustazah mengenai agama Islam termasuk bab akidah juga dengan selamba memakai pakaian yang tidak sepatutnya dipakai oleh wanita Islam. Yang menjadi tanda tanya juga mengapa tiada Ustaz atau Ustazah yang dijemput dalam sesuatu program itu menegur atau mengingatkan halal haramnya kepada pengacara tersebut. Macamnana hendak cerita tentang Islam kalau dihadapan kitapun tidak mampu untuk membuat teguran?

Beberapa pelancong daripada negara Timur Tengah agak terkejut juga apabila mendapati negara Malaysia yang kelihatan banyaknya bangunan masjid dan surau ini dan majoriti penduduknya beragama Islam tetapi masih ramai lagi wanita Muslim disini tidak menutup aurat sebagaimana yang diwajibkan dalam agama Islam.

Begitu juga apabila mereka ingin menonton beberapa program tempatan di TV dan mereka dapati kebanyakan pengacara dan Pembaca Beritanya mendedahkan aurat.

Adalah menjadi kewajipan sebagai pemimpin sebuah negara Islam dirantau ini memberikan arahan agar semua Pengacara Wanita Muslim di TV supaya menutup aurat sebagai syarat utama untuk mereka memegang jawatan yang ada hubungkaitnya dengan penampilan dan penonjolan bersabit dengan orang awam.

Sultan Johor menang bidaan W1N dengan harga RM748,000

KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berjaya memenangi tender nombor Plat W1N dengan harga paling mahal RM748,000.00.

Sultan Ibrahim yang dipetik New Straits Times bertitah, baginda tidak keberatan membayar RM748,000 untuk nombor yang paling diminati itu kerana menyedari jumlah yang dibayar akan disalurkan kembali kepada rakyat.

"Orang-orang akan mendapat manfaat daripadanya. Jadi jumlah yang dibayar adalah kecil berbanding dengan faedah yang rakyat akan tuai," katanya dipetik akhbar berbahasa Inggeris itu.

Baginda juga menjelaskan telah membida nombor melalui saluran yang betul, iaitu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Beta diberitahu bahawa terdapat beberapa pembida yang berminat untuk W1N .

"Beta tidak keberatan membayar untuk nombor plat kerana tahu bahawa jumlah yang dibayar akan disalurkan kembali kepada rakyat.

"Beta bukan jenis yang melangkau prosedur untuk mendapatkan sesuatu dengan cara beta. Ini adalah sifat orang Johor, membayar untuk apa yang dikehendaki kerana semua orang patut mempunyai peluang yang sama rata dan seperti kata pepatah, 'hanya orang yang terbaik menang'," jelas baginda.

Nombor plat W1N itu diletakkan baginda pada kereta model Proton Suprima S berwarna biru.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim juga memenangi bidaan bagi nombor plat WWW 1.

Ku Nan beri bayangan subsidi RON95 akan dimansuh?

KUALA LUMPUR: Rakyat bakal sekali lagi menjadi mangsa penipuan kerajaan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) mengumumkan dasar harga baru RON95 akan berkuatkuasa pada Mei atau Jun tahun ini.

Dengan menggunakan alasan 'memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak', satu mekanisma akan diperkenal yang membolehkan hanya golongan susah mendapat subsidi petrol. 

“Gesaan ini pasti menimbulkan kegelisahan kepada golongan pertengahan apabila pemansuhan subsidi RON95 menjadi agenda sebenar,” ujar Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduann dalam satu kenyataan.

Justeru, tegasnya SAMM menolak sebarang usaha kerajaan menaikkan harga petrol RON95 walau dengan apa pun alasan. 

Katanya, rakyat sudah cukup menderita dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang melambung dan berita pemotongan subsidi ini sangat tidak membantu meredakan keresahan rakyat.

Tambahnya, SAMM percaya mekanisma bakal disusun akhirnya menjadikan rakyat Malaysia dipaksa tunduk kepada kerajaan. 

“SAMM jangkakan rakyat akan diarah memohon kad subsidi dan hanya yang bergaji tertentu sahaja layak memiliki kad tersebut. 

“Pada tahun 2011, Ismail Sabri ketika itu menjadi menteri bertanggungjawab pernah mencadangkan penggunaan mykad sebagai token pengantara untuk menikmati subsidi petrol,” katanya lagi. 

Apa pun mekanismanya, ujar beliau SAMM menyeru kerajaan melihat kembali bagaimana ketirisan besar berlaku dalam agihan subsidi kepada nelayan. 

“Jika ketirisan subsidi diesel untuk nelayan tidak mampu dibendung, bagaimana pula agihan subsidi terhadap belas juta pemandu di Malaysia?” tanya beliau.

Rakyat, katanya seolah-olah terpaksa mengemis di bumi sendiri untuk sesuap subsidi.

Ini, katanya kerana pengagihan subsidi ini juga akan menjadi sebuah lagi 'BR1M' yang memaksa rakyat akur terhadap pemerintah sampai bila-bila.

“Cukup sudah duga-menduga perasaan rakyat, SAMM yakin kali ini rakyat akan bangkit secara luar biasa setelah pemerintah tidak henti-henti mempermainkan rakyatnya. Lebih ramai yang akan memilih jalanraya, dan mungkin Putrajaya,” katanya.

Sayangnya Najib membaiki labu


TIDAK pasti berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya tentang apa juga penjelasan Perdana Menteri Najib Razak mengenai apa jua perkara.  Beberapa hari lalu, dengan wajah selamba yang sudah hilang seri dan komersialnya, Najib muncul di perhimpunan bulanan kakitangan Kementerian Kewangan.
      
Bercakap kepada kakitangan kementerian berkenaan seolah-olah bercakap kepada seluruh negara, Najib tidak ketinggalan menyelitkan perihal ejekan dan cemuhan ‘kangkung’ yang diterimanya dari rakyat Malaysia pelbagai lapisan.  Namun, seseorang boleh membayangkan berapa ramai percaya atau yakin dengan penjelasan beliau.
  
Untuk menekankan kononnya beliau sememangnya faham konsep penawaran dan bekalan dalam pengurusan ekonomi makro (ekononi negara), menurut Najib  tujuan beliau (dibaca, menarik dan mengurangkan subsidi; membiarkan kenaikan barangan dan perkhidmatan tanpa apa juga bentuk mekanisme kawalan; membiarkan matawang ringgit berada pada paras terendah di tukaran wang asing akibat simpanan luar yang terlalu berlebihan, iaitu bernilai sembilan bulan import tertahan berbanding tiga bulan import tertahan sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara termasuk negara kaya dan maju; membiarkan hutang negara menghampiri had dibenarkan undang-undang sehingga pengkadaran kredit antarabangsa mengalami penurunan gred; dan macam-macam lagi), "bukan untuk membebankan rakyat,  tetapi mencapai lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi yang tidak mungkin berjaya tanpa lonjakan ekonomi."

obses perkataan
  
Tidak dapat dinafikan kebanyakan ahli politik Umno terkena penyakit ‘obses perkataan’ apabila menjadi pemimpin dan apatah lagi apabila menduduki jawatan kerajaan.  Perkataan kegemaran Najib ialah ‘transformasi’.  Sikit-sikit transformasi seolah-olah dengan jentik jari eknomi Malaysia boleh menjalani proses perubahan struktur semalaman.
  
Tujuannya sudah tentulah bagi menceritakan kepada rakyat Malaysia dan dunia, dia tahu apa yang dilakukannya dan dia memiliki resepi yang tidak ada pada sesiapapun termasuk pakar ekonomi terulung sekalipun.
  
Kini Najib bercakap tentang ‘lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi’.  Apakah Najib secara serius yakin, Malaysia akan menjadi negara maju dan rakyatnya akan berpendapatan tinggi’ hanya dengan satu ‘lonjakan’?  Apakah usaha menyusun semula struktur ekonomi sesebuah negara seperti melonjakkan diri untuk melangkah longkang?
  
Barangkali filem Hollywood ‘The Transformer’ memberikan inspirasi untuk Najib menggunakan perkataan ‘transformasi’.  Kepada minda Najib jika sebuah robot boleh ditukarkan sekelip mata menjadi sebuah trak gempur, maka perihal sama boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat Malaysia.
  
Justeru jika adapun sesuatu yang menyerlah tentang Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ialah betapa beliau gemar mencipta atau memperkenalkan istilah baru yang bunyinya cukup ‘bombastik’ kepada rakyat kampung dan mereka yang kurang faham tentang ekonomi.
  
Kini perkataan ‘lonjakan’ kian menjadi perkataan ‘favourite’ Najib.  Walaupun tidaklah sebombastik ‘transformasi’ namun ia memberikan semacam ‘ummph’ kepada resipi ekonomi di awang-awangan beliau.

bukan sekadar lonjakan
  
Begitupun, setiap pakar ekonomi arif betapa untuk menjadikan sebuah negara miskin atau membangun kepada sebuah negara maju bukanlah boleh dibuat dengan hanya sekadar  lonjakan.  Malah jika terdapat usaha gigih ke arah lonjakan sekalipun, ia akan membawa padah.
  
Contoh paling jelas adalah apabila China ketika dipimpin oleh Mao Zedong (yang tak arif tentang ekonomi) melancarkan kempen ‘Lonjakan Besar Kehadapan’ (The Great Leap Forward) di antara 1958 sehingga 1961 bagi mentransformasikan negara tersebut dari berasaskan ekonomi tani kepada ekonomi berasaskan industri.

Akhirnya bukan sahaja kempen tersebut gagal, ‘lonjakan’ yang cuba dipaksakan oleh Mao ke atas rakyatnya mengakibatkan malapetaka berskala besar dalam apa yang dinamakan sebagai  ‘Great Chinese Famine’ (Kebuluran Besar China) dan mengakibatkan sebanyak di antara 18 hingga 45 juta nyawa rakyat terkorban.

Sejarahwan terkemuka Belanda Frank Dikotter dalam bukunya, Mao’s Great Famine merumuskan Lonjakan Besar Kehadapan China bukan menghasilkan motivasi ekonomi tetapi sebaliknya "memotivasikan satu daripada penyembelihan beramai-ramai manusia terbesar dalam sejarah manusia".
  
Lonjakan tajaan Najib bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia belum sampai ke peringkat  sebagaimana dialami dalam The Great Chinese Famine.  Tetapi  dengan kadar inflasi pasca-bajet meningkat pada angka 3.2 peratus Disember lalu (sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan) berbanding 1.2 peratus setahun lalu; kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus; tarif elektrik 15 peratus; pelbagai barangan dan perkhidmatan pelbagai peratus.

Matawang ringgit yang terus melemah dengan penurunan 1.5 peratus lagi sejak awal tahun; dan cukai GST serta kenaikan tol lebuhraya yang bakal dikuatkuasakan; dan macam-macam lagi, tidak mustahil Malaysia dan rakyatnya sedang bergerak deras ke arah mala petaka ekonomi.
  
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”
  
Dalam sebutan masyarakat Melayu pula:  "Bagai tikus membaiki labu."    

Isu kos sara hidup hangatkan pelancaran Ameerah WP


KUALA LUMPUR:Pentas wanita muda yang akan membicarakan isu kenaikan harga barang dari sudut pandang wanita akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak pada Ahad ini.

Ceramah bertajuk 'Kenaikan Harga Barang Menggugat Kebebasan Wanita' akan menampilkan Ketua Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Faridah Samad dan Ketua Srikandi PRK, Siti Aishah Shaik Ismail.

Ia diadakan bersempena perasmian pelancaran Ameerah Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan pada akhir 2013, hasil persetujuan saf kepimpinan baru Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) sesi 2013-2015.

Majlis pelancaran akan bermula pada jam 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh Faridah sendiri.

Ketua DMPWP, Nuridah Salleh yang juga penasihat Ameerah Wilayah Persekutuan akan turut hadir menyerikan majlis.

Majlis ini terbuka kepada semua wanita muda di sekitar Wilayah Persekutuan dan pendaftaran untuk menjadi ahli Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan dibuka.

100 orang terawal mendaftar sebagai Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan menerima cenderahati menarik.

Sementara itu, Nuridah berkata, sudah tiba masanya wanita muda PAS di Wilayah Persekutuan digabungkan dalam satu organisasi bagi mendekati pengundi-pengundi muda di ibu kota.

Menyahut seruan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi AWang agar muslimat memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi muda wanita, Nuridah berkata Ameerah Wilayah Persekutuan akan berusaha mengajak wanita muda agar cakna politik dan peka kepada isu-isu semasa khususnya berkaitan wanita.

"Gerak kerja pilihan raya kena bermula dari sekarang secara tersusun. Jadi menjadi tugas Ameerah Wilayah Persekutuan mendekati wanita muda untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan memilih pemimpin," katanya kepada Harakahdaily.

Ameerah Malaysia ditubuhkan pada 1 Oktober 2011 dan dirasmikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri di majlis sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang.

Ameerah Malaysia seterusnya melebarkan sayap ke seluruh negeri dan bergerak secara langsung sebagai tenaga musimat muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Perkauman: NGO Islam sokong PR, BN bincang bersama

KUALA LUMPUR: NGO Islam mengalu-alukan usaha Pakatan Rakyat untuk duduk bersama Umno BN bagi membincangkan isu perkauman dengan segera bagi mencari formula terbaik demi memelihara kesejahteraan rakyat negara ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abd Manan berkata, saranan Pakatan Rakyat itu wajar disambut oleh Umno BN sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menjaga kesejahteraan rakyat negara ini.  

"Terutama kepada Umno yang sering dilihat membakar api perkauman dan wajar diterima oleh Umno jika benar-benar memikirkan kesejahteraan negara," katanya kepada Harakahdaily.

Namun, Abim kesal apabila perkara sensitif yang dijaga dengan tertib oleh kerajaan dipermainkan sewenang-wenangnya untuk meraih sokongan tanpa memikirkan risiko yang berlaku.

"Emosi rakyat sedang dibakar dengan api perkauman sebelum perkara ini jadi tidak terkawal wajar pihak yang terlibat terutama pemimpin parti politik duduk bersama berbincang," katanya.
 
Cadangan Pakatan Rakyat itu, bagi beliau satu tindakan yang menunjukkan kematangan berpolitik dan wajar disambut oleh Umno BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Zaid Kamaruddin berkata, walaupun saranan ini 'overdue' tetapi ianya satu usaha yang bagus kerana ianya memperlihatkan kemuafakatan parti-parti politik demi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Tambahnya, kepentingan itu terutamanya bagi mengelak membawa isu-isu perkauman yang boleh mengundang perpecahan.

Namun kata beliau, perkara ini harus ditangani dengan tepat dan bijaksana bukan dipolitikkan.

"Lebih baik parti-parti politik duduk bersama bagaimana hendak selesaikan isu perkauman yang sering ditimbulkan oleh pihak tertentu, jika tidak ditangani dengan baik rakyat akan rugi.

"Jika dibiarkan dibimbangi suasana akan bertambah buruk dan semakin sukar untuk ditangani. Kenyataan Pakatan Rakyat yang baik dan wajar untuk Umno BN sahut," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Majlis Pakatan Rakyat sepakat mengajak Umno BN untuk duduk bersama membincangkan isu perkauman yang dilihat semakin dijadikan modal oleh pihak tertentu bagi menimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat.

Keadaan ini berikutan, ada pihak cuba menimbulkan provokasi seperti mahukan peristiwa 13 Mei berulang setelah tidak berpuas hati apabila rakyat mengadakan demonstrasi 'Kangkung' sebagai bantahan terhadap kenaikan harga barang di Pulau Pinang tempoh hari.  

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu juga menegaskan bahawa demonstrasi 'kangkung' itu tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya ianya adalah isu ekonomi iaitu kenaikan harga barang yang telah membuatkan rakyat semakin terhimpit.

Tribut buat Ustaz Harun Taib: Murabbi, ayahanda dan teman

Seharian alam siber berdecak dengan berita keuzuran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, juga euforia syahdu dengan berita Dr Haron Din yang juga turut dimasukkan ke wad CCU Institut Jantung Negara (IJN).

Saya dan rombongan terbang ke bumi Tawau untuk program Ekspedisi Dakwah yang kami rancang beberapa bulan yang lepas. Kedua-dua tokoh ini adalah jantung hati jemaah yang disayangi dan sentiasa didoakan kesihatan mereka, keduanya juga adalah ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Panggilan telefon yang ringkas daripada  YB Ustaz Mohd Nor Hamzah , mengkhabarkan kepulangan Tuan Guru Ustaz Datuk Harun Taib ke rahmatullah seperti percikan petir yang menggoncang sukma.

Sosok besar gerakan Islam semenjak pulang dari ardhul kinanah pada tahun 1981 itu tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, serta melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat, beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda di awal dekad 80-an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam.

Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglangbuana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS.

Dalam pertengahan dekad 1980-an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan pra sekolah di bawah PAS dan akhirnya Pasti telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini.

Bersama teman-teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulamak PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu,iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan Dun Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihanraya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di Dun Manir.

Beliau antara 10 orang calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam pilihanraya umum 1990  yang menyaksikan aksi serpihan Umno, Semangat 46.

Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti 'Muslimat Pembangun Ummah', 'Berbilang-bilang Jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami.

Isterinya, Ustazah Zainab pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS. Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latarbelakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembek, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco Kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu.

Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah.

Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), Kolej Sains dan Teknologi al-Quran (Kostaq), Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu (Kospint), pemerkasaan Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembek di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat dua bulan yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus.

Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini...al-Fatihah.

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.