Saturday, January 25, 2014

Isu kos sara hidup hangatkan pelancaran Ameerah WP


KUALA LUMPUR:Pentas wanita muda yang akan membicarakan isu kenaikan harga barang dari sudut pandang wanita akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak pada Ahad ini.

Ceramah bertajuk 'Kenaikan Harga Barang Menggugat Kebebasan Wanita' akan menampilkan Ketua Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Faridah Samad dan Ketua Srikandi PRK, Siti Aishah Shaik Ismail.

Ia diadakan bersempena perasmian pelancaran Ameerah Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan pada akhir 2013, hasil persetujuan saf kepimpinan baru Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) sesi 2013-2015.

Majlis pelancaran akan bermula pada jam 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh Faridah sendiri.

Ketua DMPWP, Nuridah Salleh yang juga penasihat Ameerah Wilayah Persekutuan akan turut hadir menyerikan majlis.

Majlis ini terbuka kepada semua wanita muda di sekitar Wilayah Persekutuan dan pendaftaran untuk menjadi ahli Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan dibuka.

100 orang terawal mendaftar sebagai Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan menerima cenderahati menarik.

Sementara itu, Nuridah berkata, sudah tiba masanya wanita muda PAS di Wilayah Persekutuan digabungkan dalam satu organisasi bagi mendekati pengundi-pengundi muda di ibu kota.

Menyahut seruan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi AWang agar muslimat memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi muda wanita, Nuridah berkata Ameerah Wilayah Persekutuan akan berusaha mengajak wanita muda agar cakna politik dan peka kepada isu-isu semasa khususnya berkaitan wanita.

"Gerak kerja pilihan raya kena bermula dari sekarang secara tersusun. Jadi menjadi tugas Ameerah Wilayah Persekutuan mendekati wanita muda untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan memilih pemimpin," katanya kepada Harakahdaily.

Ameerah Malaysia ditubuhkan pada 1 Oktober 2011 dan dirasmikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri di majlis sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang.

Ameerah Malaysia seterusnya melebarkan sayap ke seluruh negeri dan bergerak secara langsung sebagai tenaga musimat muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

No comments:

Post a Comment