Saturday, January 25, 2014

Jamil Khir perlu pertahan SMA-MAIWP

Sebagai salah seorang bapa kepada pelajar di Sekolah Menengah Agama-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, saya ingin melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan terutamanya YB Dato' Seri Jamil Khir bin Baharom atas komitmen serta inisiatif pihak MAIWP kerana berjaya melahirkan sebuah sekolah menengah yang bukan sahaja menitikberatkan pencapaian akademik, tetapi bertujuan menanam modal insan kepada anak-anak. 

Walaupun MAIWP menyerap dan mengambil tenaga pengajar SMA-MAIWP yang rata-ratanya masih muda dan terdiri daripada guru-guru yang tidak mendapat latihan secara formal daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, namun saya mendapati guru-guru SMA-MAIWP amat komited dan cemerlang dalam memberi serta menyeimbangkan pendidikan dunia dan akhirat di SMA-MAIWP. 

Buktinya, SMA-MAIWP telah mencapai keputusan yang cemerlang dalam siri keputusan-keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) mahupun Sijil Menengah Agama (SMA). Hinggakan, kedudukan ranking SMA-MAIWP secara konsisten mencatatkan kedudukan antara tiga sekolah terbaik di Wilayah Persekutuan. 

Namun, saya amat terkejut apabila mendapati MAIWP telah menyerahkan SMA-MAIWP kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia yang menyebabkan ramai tenaga pengajar baru diambil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya tidak menafikan tenaga pengajar daripada Kementerian Pendidikan Malaysia adalah berpengalaman dan terlatih, namun saya khuatir halatuju SMA-MAIWP sudah bertukar dan tidak selari dengan hasrat asal MAIWP ketika penubuhan sekolah ini. 

Ketika awal penubuhan SMA-MAIWP, visi dan misi SMA-MAIWP adalah jelas untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang dan seimbang antara dunia dan akhirat. Buktinya, SMA-MAIWP turut menitikberatkan pengajaran subjek Sijil Menengah Agama.

Namun, amat malang sekali apabila pihak bertanggungjawab tidak serius dalam memperkenalkan Sijil Tinggi Menengah Agama (STAM) walaupun menerima respon yang positif daripada pelajar-pelajar SMA-MAIWP sendiri. Sehingga kini, pihak bertanggungjawab gagal untuk mengambil pelajar untuk STAM walaupun SMA-MAIWP sudah tiga tahun melahirkan lepasan SPM. Ketidak-seriusan pihak bertanggungjawab mula terserlah sejak sekolah SMA-MAIWP ini diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Ketika saya dan para ibu bapa yang lain mendaftarkan anak-anak ke SMA-MAIWP, hasrat kami tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melihat anak-anak kami menjadi insan yang cemerlang dalam akademik mereka. Namun, pada masa yang sama kami ingin melihat anak-anak kami ini menjadi insan yang cemerlang dari sudut akhlak dan ilmu agama. Inilah visi dan misi utama SMA-MAIWP ketika MAIWP melahirkan sekolah ini. Tetapi saya melihat halatuju sekolah ini sudah semakin hanyut dan tidak lagi menitikberatkan penyeimbangan dunia dan akhirat. 

Terbaru, pihak yang bertanggungjawab telah menukar keseluruhan pentadbiran teratas SMA-MAIWP daripada Pengetua sehinggalah kepada Guru Penolong Kanan yang kesemuanya diambil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Hal ini seperti ini amat merunsingkan saya dan ibu bapa yang lain kerana ia boleh menimbulkan rasa kurang senang serta tidak selesa kepada kami ibu bapa, anak-anak dan terutamanya guru-guru asal SMA-MAIWP yang dari awal bertungkus-lumus menjadikan SMA-MAIWP menjadi sekolah cemerlang dan menjadi perhatian ramai. 

Pertukaran sebegini amat tidak munasabah tatkala SMA-MAIWP mencatatkan keputusan yang cemerlang saban tahun. Justeru, saya ingin bertanya kepada pihak MAIWP adakah mereka tidak lagi menyayangi sekolah ini hinggakan menyerahkan sekolah ini begitu sahaja kepada pihak lain? Apatah lagi, penyerahan tanggungjawab sebegini bukan sahaja menyebabkan ketidakstabilan kepada warga dalaman SMA-MAIWP, malah telah menyebabkan halatuju SMA-MAIWP sudah tidak lagi seperti yang dimahukan. 

Lebih menyedihkan, salah seorang daripada Guru Penolong Kanan SMA-MAIWP yang baru diserap daripada Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan perkataan 'berambus' kepada pelajar-pelajar SMA-MAIWP. Hal seperti ini langsung tidak pernah terjadi kepada SMA-MAIWP sebelum ini. Persoalannya, adakah akhlak seperti ini yang ingin MAIWP lahirkan?

Oleh itu, saya merayu agak pihak MAIWP memandang serius dan mengambil peduli tentang sekolah kebanggaan ramai ini. Lebih-lebih lagi, SMA-MAIWP merupakan satu-satunya sekolah menengah di Malaysia yang dilahirkan daripada sumbangan zakat dan boleh menjadi model yang baik kepada seluruh Majlis-majlis Agama di seluruh Negara. 

Saya optimis MAIWP mempunyai sumber manusia mahupun kewangan yang lebih daripada mencukupi untuk mentadbir SMA-MAIWP dan seterusnya melahirkan model pelajar yang tersendiri dan boleh menandingi kehebatan produk sekolah menengah seliaan Kementerian PendidikanMalaysia. Seharusnya MAIWP berbangga dengan produk mereka sendiri yang berterusan cemerlang dalam kerangka model tersendiri, lebih-lebih lagi dalam melahirkan produk modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat. 

No comments:

Post a Comment