Tuesday, March 2, 2010

Sarawak : PR mahukan senario menang-menang!!

Walaupun Ketua Menteri Negeri Sarawak, Taib Mahmud (gambar kanan )belum mendapat "ilham" untuk mengumumkan pembubaran DUN, namun Pakatan Rakyat telah bersemuka untuk membincangkan pembahagian kerusi, berikutan kebimbangan pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa.

Malah, senarai kerusi telah disediakan, dan satu lagi mesyuarat perundingan bakal diadakan dalam masa terdekat, selepas tahun baru Cina melabuh tirainya.

Setiausaha Agung DAP Negeri Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, DAP telah mengadakan satu mesyuarat formal bersama PKR, malah telah mencapai muafakat pada tahap tertentu.

Namun, beliau mengakui bahawa kedua-dua parti tersebut masih menghadapi banyak masalah, yang "hanya boleh mencapai persetujuan pada peringkat terakhir," katanya ketika ditemuramah, semalam.

Lawatan Najib bertambah kerap

Tempoh DUN Sarawak penggal ini bakal berakhir pada Julai 2011. Tetapi, berikutan bertambahnya kekerapan Perdana Menteri Najib Razak dan pemimpin BN lain mengunjungi Sarawak dan meninjau perkampungan di bumi kenyalang itu, maka pilihan raya Sarawak dijangka akan diadakan dalam tempoh enam bulan ini.

Nicholas Bawin, Pengarah Pilihan Raya PKR di Sarawak berterus-terang, langkah Najib menabur "gula" kebelakangan ini menandakan langkah pilihan raya yang semakin hampir. Beliau berkata, PR akan mengadakan mesyuarat rasmi dalam masa terdekat, untuk menyelesaikan masalah pembahagian kerusi. "Kami akan menentukan parti apa bertanding di mana kelak," katanya.

Walaupun PR telah mengadakan sekurang-kurangnya satu mesyuarat rasmi berhubung isu ini, namun Nicholas Bawin Anggat berkata mereka masih belum mempunyai apa-apa penyelesaian, selebih-lebihnya saling memahami kerusi yang ingin ditandingi. Justeru itu, beliau menganggap dua atau tiga mesyuarat perlu diadakan lagi untuk penyelarasan.

Dalam pilihan raya kali ini, PKR bukan sahaja perlu berunding dengan DAP untuk menentukan calon dari parti mana yang bertanding di kawasan majoriti Cina; malah, di kawasan majoriti Melayu pula, PKR perlu berunding dengan PAS, yang mula menjelajah ke Malaysia Timur.

Pengalaman kerjasama PRU 12 membantu

Nicholas Bawin Anggat dan Chong Chieng Jen senada mengatakan, pengalaman kerjasama antara tiga parti dalam PRU lalu telah memupuk kesepakatan di kalangan mereka, malah saling memahami kelebihan dan kelemahan masing-masing. Justeru itu, walaupun pembahagian kerusi agak merumitkan pada peringkat awal, namun "tiada masalah yang tidak boleh diselesai," tegas Chong Chieng Jen.

Chong mengambil contoh PRU yang lalu, menekankan bahawa kekuatan DAP jelas mengatasi PKR di kawasan pengundian pertaruhan tiga penjuru antara BN, DAP dengan PKR. Berbanding dengan calon PKR yang kehilangan wang deposit, DAP hanya tewas dengan undi yang tipis. "Jadi, keputusan PRU ke-12 telah membantu kita mengukur kekuatan diri," katanya.

Nicholas Bawin Anggat pula berkata kedua-dua parti mengharapkan senario "menang-menang" di kalangan PR, kerana kemenangan mana-mana parti komponen akan memanfaatkan PR. Jadi, keutamaan akan diberikan kepada pihak yang kebarangkalian menangnya lebih tinggi, ketika mempertimbangkan pembahagian kerusi.

PAS mungkin bertanding di sekitar Kuching

Untuk PAS pula, Chong Chieng Jen memaklumkan bahawa Presiden PAS Hadi Awang pernah mengungkit isu pembahagian kerusi secara tidak formal, semasa beliau melawat ke Sarawak pada tahun lalu. Menurut Chong yang juga ahli parlimen Kuching, PAS mungkin bertanding di tiga atau empat kawasan pengundian di sekitar Kuching, yang majoritinya pengundi Melayu.

Pilihan Raya Sarawak yang lalu berlangsung pada tahun 2006, menyaksikan kemenangan BN dengan menyapu 62 daripada 71 kerusi, DAP (6), PKR (1), SNAP (1 ) dan seorang calon bebas, Gabriel Adit Demong, yang telah menyertai Parti Cinta Malaysia tahun lalu.

Selepas PRU ke-12, Pilihan Raya Kecil diadakan di Batang Ai setelah ADUN-nya meninggal dunia. Calon PKR, Jawah Gerang tewas kepada calon BN, Malcolm Mussem Lamoh dengan undi majoriti sejumlah 1,854 undi.

Jadi, apakah pilihan raya yang akan datang mungkin mengubah keputusan PRK Batang Ai? Umumnya menyetujui bahawa pembahagian kerusi antara PR dan SNAP adalah antara faktor penentu yang penting. Seandainya muncul kawasan yang menyaksikan pertaruhan empat atau lima calon, maka undi untuk pembangkang gagal disatukan dan ia akan mengundang kekalahan kepada PR.

*Wong Shu Qi ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang. (artikel asal : Menjelang Pilihan Raya Sarawak: PR mahukan senario menang-menang)

--
Posted By Luna and Thatguy to Dunia Berwarna Luna Version 2 at 3/02/2010 09:18:00 AM

No comments:

Post a Comment