Sehubungan itu, CAP juga mahu kawasan sawah padi yang ditukar guna untuk ternakan arowana dibaik pulih dengan kadar segera.
“Langkah itu wajar disegerakan kerana projek berkenaan bukan saja menjejaskan matlamat utama bekalan air tasik Bukit Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah tersebut, malah perusahaan ini juga tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan serta boleh mencemarkan alam sekitar,” kata Presiden CAP S.M. Mohamed Idris pada sidang media di George Town hari ini.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kata beliau, projek yang bermula pada 2000 itu, dalam skala kecil dengan tidak sampai 10 pengusaha, kini sedang diusahakan oleh 70 pengusaha melibatkan 143 hektar tanah sawah (355 ekar) dengan pembinaan sebanyak 3,808 buah kolam.
Katanya, CAP kesal walaupun projek ini di peringkat awal pelaksanaannya telah dibantah oleh pesawah-pesawah di daerah itu akibat masalah kekurangan air untuk tanaman padi mereka setelah disedut atau dipam oleh pengusaha-pengusaha ternakan ikan, namun tidak ada perhatian serius dan tindakan diambil oleh pihak berkenaan.
“Lebih mendukacitakan lagi CAP mendapati projek yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan ini dilakukan tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” kata beliau.
Katanya, walaupun projek tersebut telah bermula sejak 10 tahun lalu, namun masih ada lot-lot tanah sawah yang terlibat belum ditukar statusnya untuk industri akuakultur.
Pejabat Tanah Daerah Kerian hanya menghantar notis pelanggaran syarat tanah kepada para pengusaha terbabit tetapi tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang dibuat bagi menutup kolam-kolam yang dibina, kata beliau dalam kenyataan itu.
Mohamed menambah, kawasan penanaman padi yang produktif di bawah Projek Kerian-Sungai Manik ini tidak sepatutnya ditukar guna untuk tujuan lain.
“Kami amat kesal kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan walaupun syarat penggunaan tanah telah dilanggar.
“Kenapa tiada penyelarasan dan tanggungjawab bersama di antara agensi untuk memastikan sumber makanan kita adalah terjamin?
“Projek ini juga tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak,” katanya.
Sehubungan itu katanya, CAP percaya dan merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah itu akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.
“Dalam tinjauan yang dibuat CAP difahamkan oleh petani-petani yang terlibat, kegiatan menyedut atau mengepam air dari saliran pertanian melalui Terusan Selinsing dan Terusan Bagan Serai di daerah ini terus dilakukan oleh pengusaha-pengusaha ternakan ikan arowana di kawasan itu,” katanya lagi.
Beliau menambah, CAP dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, akibat kegiatan mencuri air, yang berlaku secara berleluasa, mereka gagal membenterasnya dengan berkesan.
“Para pesawah terbabit mengadu kepada CAP bahawa berikutan masalah kekurangan bekalan yang berlaku pokok padi terencat pembesarannya, buah padi kurang berisi, serangan makhluk perosak dan ancaman rumput menjadi semakin serius dan hasil pendapatan mereka merosot secara mendadak.
“Kajian JPS sehingga Oktober 2010 iaitu dari 15 Ogos 2010 ke 26 Oktober 2010 menunjukkan takungan air di Tasik Bukit Merah menurun sebanyak 0.2 kaki sehari,” katanya.
Tegas Mohamed, CAP berpendapat jika projek ini diteruskan masalah bekalan air sawah di kawasan ini akan menjadi lebih meruncing lagi pada masa akan datang terutama sekali pada musim kemarau jika paras air di tasik berkenaan berada pada tahap yang kritikal.
Air Tasik Bukit Merah bukan saja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan Pulau Pinang yang melibatkan kawasan sawah seluas lebih 24,000 hektar, tetapi juga menjadi kegunaan harian 200,000 penduduk yang tinggal di Semanggol, Selinsing, Bagan Serai, Beriah, Parit Buntar, Tanjong Piandang dan Kuala Kurau.
Katanya lagi, CAP kesal dan hairan bagaimana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri Perak termasuk jabatan serta agensi berkaitan boleh membenarkan dan membiarkan perusahaan ternakan ikan Arowana ini beroperasi dengan sewenang-wenangnya.
“Agensi seperti Pejabat Tanah, Jabatan Pertanian, JPS dan JAS perlu mengambil tindakan tegas berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya.
Justeru, Mohamad menambah, “apakah ikan hiasan ini lebih penting dari kehidupan petani dan makanan untuk rakyat pada masa akan datang?”
“CAP menggesa projek ternakan ikan arowana di daerah Kerian di sini dihentikan segera dan kawasan sawah padi dibaik pulih,” katanya.
No comments:
Post a Comment