Saturday, December 18, 2010

Asri kesal JAIS guna taktik ala-Taliban

Di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (gambar) hari ini, beliau melahirkan rasa bimbang dengan perkembangan terbaru mengenai penahanan beberapa orang Islam berfahaman Syiah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gombak pada awal minggu ini. Asri menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu permulaan ke arah pembentukan budaya Taliban di dalam negara ini yang sangat berbahaya kepada imej kerajaan dan pentadbiran Islam di negara ini.


Beliau menyifatkan pembentukan seperti atau ala-Taliban ini adalah satu perkembangan yang tidak sihat kerana kerajaan Malaysia hari ini cuba mengenengahkan Islam yang pertengahan di kalangan negara dunia Islam di seluruh dunia. Selain itu, ini menunjukkan Malaysia hanya mengiktiraf satu cabang sahaja Islam di negara ini dan meletakkan cabang-cabang Islam yang lain sebagai ’haram.’

Menurut Asri lagi, walaupun beliau tidak bersetuju dengan ajaran-ajaran di dalam Syiah dan selalu terlibat di dalam perdebatan dengan pihak Syiah, beliau tidak boleh menerima dasar yang digunapakai di dalam kerajaan Malaysia yang didakwa sebagai demokrasi yang menghalang orang ramai menggunakan hak mereka untuk beragama selagi pegangan mereka belum mengganggu ketenteraman awam.

Beliau turut melahirkan rasa kesal di atas sikap ’tidak terbuka’ kerajaan dan memberi amaran kepada kerajaan bahawa keadaan ini boleh membawa kepada pertelingkahan dan kemusnahan sosial sesama penganut Islam.

Walaupun kerajaan mahu mengenengahkan hanya fahaman Sunnah boleh diterimapakai kerana dianggap sebagai fahaman sah di sisi Allah, kerajaan sewajarnya menggunakan perbincangan intelektual di dalam menghadapi isu-isu perbezaan dalam cabang agama seperti ini. Perbahasan sewajarnya dialu-alukan untuk kes seperti ini dan bukannya melaksanakan penguatkuasaan yang mungkin dilakukan dengan cara kejam dan tidak betul.

Sebelum ini seramai 200 orang tempatan dan luar negara yang mengikuti fahaman kumpulan Hauzah Ar Ridha Alaihissalam telah ditahan di sebuah rumah kedai yang dipercayai markas mereka di Taman Sri Gombak pada Rabu lepas kerana disyaki memberi tamparan kepada keselamatan negara.

Kumpulan itu yang diketuai oleh seorang warganegara Iran dikatakan telah beroperasi di situ sejak dua tahun lalu. Antara pengikutnya ialah rakyat Malaysia, Iran, Indonesia, Myanmar dan Pakistan yang kebanyakannya adalah pelajar dan pensyarah di universiti, peguam dan pegawai kerajaan.

Mereka seterusnya dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak malam tadi dan kini dibebaskan dengan jaminan. Pihak JAIS memaklumkan kumpulan Syiah tersebut didakwa mengeluarkan ajaran membenarkan mereka membunuh penganut Islam selain dari mazhab Syiah kerana didakwa sebagai kafir.

Penahanan tersebut merupakan penahanan kedua terbesar dilakukan di negeri Selangor yang mengkategorikan ajaran Syiah sebagai ajaran yang menyeleweng. Sebelum ini juga, mufti Perlis Dr. Juanda Jaya juga mengkritik tindakan ala-Taliban oleh pihak berkuasa agama atas dasar pluralisme agama.

Pihak Kedutaan Iran di Malaysia gagal dihubungi untuk memberi komen mengenai tindakan kerajaan Malaysia ke atas fahaman Syiah. Namun begitu, ramai orang berasa hairan dengan hubungan baik kerajaan Malaysia dengan kerajaan Iran dapat dilaksanakan tetapi di negara sendiri, penganut Syiah Islam ini diperlakukan sedemikian rupa. Malah ramai melihat ini akan menggugat hubungan dua hala antara kedua-dua negara di masa hadapan.

Malah hubungan Malaysia dan Arab Saudi turut akan terjejas di atas sikap bermuka-muka badan agama Islam di Malaysia yang menekan penganut fahaman Wahabi di negara ini sedangkan di persada antarabangsa, Malaysia menghulurkan tanda persahabatan Islam dengan kerajaan Arab Saudi yang ratanya penganut Wahabbi. 

Kerajaan Malaysia juga bukan sahaja bertindak begini pada fahaman Syiah dan Wahabbi tetapi juga sesama mazhab yang ada yang mengamalkan Sunnah seperti orang Melayu yang percayakan fahaman Hanafi, Hambali dan Maliki.

No comments:

Post a Comment