Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim hari ini memberitahu bahawa adalah sesuatu yang mustahil untuk beliau dan pimpinan parti baru beliau itu dapat bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR). Beliau yakin platform KITA adalah yang terbaik sebagai pilihan rakyat memandangkan kegagalan BN dan PR di dalam menjamin ketelusan dan menjaga hak asasi rakyat di negara ini berdasarkan apa yang sudah dilakukan mereka selama ini.
Zaid yang baru memegang jawatan itu Rabu lepas akur akan beberapa pihak yang memandang sinis dan menolak kemampuan parti barunya itu untuk berada di persada politik nasional tetapi mengingatkan mereka bahawa masih terlalu awal untuk mereka menilai peranan dan penerimaan rakyat ke atas KITA.
KITA disifatkan Zaid akan menjadi pejuang politik dan sosial yang telus dan diinginkan oleh rakyat kebanyakan. Justeru, KITA bukanlah sebuah parti gantian atau alternatif di dalam politik nasional dan memilih KITA adalah satu keyakinan yang mantap yang menepati aspirasi rakyat hari ini untuk memperjuangkan nasib mereka.
Zaid yang juga bekas Menteri Undang-Undang semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi juga mengingatkan BN bahawa kesilapan dan kealpaan mereka dalam memperkasakan rakyat keseluruhannya tidak semudah itu akan dilupakan rakyat walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berusaha dengan teruk sekali bagi memperkenalkan dasar ’mesra’ rakyat di dalam pelan transformasi ekonomi dan sosial untuk memenangi hati rakyat semula.
Beliau menyifatkan masalah terbesar bagi rakyat Malaysia mengenai BN adalah sikap angkuh UMNO itu sendiri. Apa yang UMNO perlukan hari ini adalah pelan transformasi politik dan bukan sahaja pelan ekonomi dan sosial sahaja.
Kesilapan UMNO adalah meletakkan prinsip demokrasi di tempat kedua yang sekaligus menafikan hak asasi setiap rakyat negara ini. Zaid juga mendakwa UMNO menggunakan undang-undang bagi mengekalkan kekuasaan dan kemantapan kroni mereka sahaja. Jelas Zaid lagi, situasi buruk dalam UMNO ini telah memberi kesan kepada kemasukan pelaburan asing (FDI) dan juga menjamin suasana politik yang stabil.
Yang membuka mata rakyat sebenarnya ialah janji-janji palsu UMNO sendiri yang sudah memerintah lebih 53 tahun apabila sebelum ini berjanji memastikan penguasaan ekuiti Melayu di dalam korporat pada tahap 30 peratus. Malangnya, sehingga kini orang Melayu hanya menguasai 5 peratus ekuiti sahaja.
Zaid yang juga seorang peguam terkemuka turut melihat apa yang dipraktikkan UMNO sekarang adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan 1957 dan masih menggunapakai pakai cara pentadbiran autokratik yang pernah diamalkan oleh Tun Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri.
Mengenai pandangannya mengenai PR, Zaid sedih melihat perjuangan PR tidak mendahului rakyat jika dibandingkan dengan janji-janji di dalam ceramah dan kempen pilihanraya selama ini. Zaid mendakwa PR hanya memperjuangkan nasib Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersifat peribadi semata-mata menggunakan platform politik.
Zaid mahukan Anwar menerima realiti bahawa masanya tidak cukup panjang dan tidak mempunyai kemampuan untuk menjadi Perdana Menteri yang cukup sekiranya PR memenangi pilihanraya umum.
Zaid turut melahirkan rasa kesalnya Anwar yang menggunakan parti-parti pembangkang yang besar lain seperti PAS dan DAP sebagai usaha memperjuangkan nasib dan kehendaknya untuk menjadi Perdana Menteri .
Beliau turut hairan dengan Anwar yang membelakangkan undang-undang di dalam kes liwat terbarunya itu dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana sentiasa menyerang pendakwaraya sedangkan mereka (pendakwaraya) belum habis lagi berhujah pendakwaan ke atasnya. Anwar dilihat sebagai sengaja melambat-lambatkan kes ini kerana bimbang dengan pilihanraya umum akan datang yang menghampiri yang pasti memburukkan peluangnya menjadi ‘PM’ jika PR menang.
Mengenai parti barunya itu, Zaid akan memberikan maklumat terperinci mengenai rancangan KITA pada bulan Januari tahun hadapan.-
No comments:
Post a Comment