Saturday, December 18, 2010

Episod Khir Toyo : Mungkinkah Berakhirnya Impian Seorang Pemimpin Muda ?

APAPUN keputusan mahkamah kelak tentang perbicaraan bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, masadepan beliau dalam kepimpinan Umno sudah boleh dijangka.
Walaupun mungkin didapati tidak bersalah, namun rekod bersih beliau sudah tercalar, dipertikai dan sukar diterima semula sebagai pemimpin masadepan Umno. Sejarah Umno membuktikan, mereka yang sudah didakwa dan didapati tidak bersalah, tidak mudah kembali kepangkuan hirerki kepimpinan Umno kerana persepsi ahli dan masyarakat umum sudah mendapati beliau tidak kelihatan bersih walaupun mahkamah bertindak sebaliknya.


Bekas pemimpin itu mungkin ditawarkan jawatan tinggi mengetuai sebuah agensi kerajaan dalam Felcra, Fama, Mara, Majuikan dan banyak lagi dengan tanggungjawab tidak besar tetapi bergaji besar. Jika didapati bersalah dan dijatuhi hukum, masadepan politik dan keluarga pemimpin itu lebih parah dan gelap kecuali mendapat belas kasihan tertentu dari pemimpin pusat Umno yang masih bersimpati.
Namun, kariernya dalam Umno pasti musnah dan hilang semua sokongan dan penyokong. Masadepan yang ada mungkin berniaga atau terlibat sama perniagaan dengan kawan-kawan yang mempunyai pengaruh dan wang.
Khir dituduh di mahkamah kerana membeli hartanah berjumlah RM6.5 juta pada harga cuma RM3.5 juta. Jika ada bukti kukuh dan dokumen lengkap, sukar bagi beliau terlepas dari tuduhan, tambahan pula bila dikaitkan dengan jawatan istimewa beliau ketika itu yang membenarkan semua jualbeli dan segala bentuk perjanjian menjadi lebih mudah dan ditanggung beres.
Banyak persoalan boleh dibangkitkan sekitar kes beliau seperti di manakah begitu banyak beliau mendapat wang untuk membeli hartanah yang berjumlah RM 3.5 juta sedangkan gaji beliau sebagai MB tidaklah begitu besar? Mungkinkah beliau ada hartanah peribadi dan harta pusaka keluarga yang berjumlah jutaan ringgit hingga mampu membeli hartanah itu?
Apakah mungkin ada kawan-kawan atau saudara mara yang bermurahhati meminjamkan wang sebanyak itu untuk beliau membeli hartanah itu? Dan yang lebih signifikan, mengapa hartanah itu dijual kepada beliau dengan harga begitu rendah sehingga menjadi persoalan pelik dan nampak tidak masuk akal?
Episod Khir bermula selepas Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (Pakatan) dalam tsunami politik PRU 12 lalu yang menyaksikan PKR memimpin negeri itu. Satu demi satu kelemahan beliau dan kepimpinan Umno Selangor dibongkar pemimpin Pakatan terutama DAP untuk menunjukkan kepada rakyat negeri itu bahawa Khir bukanlah bekas MB yang bersih dan boleh dibanggakan.
Beliau mungkin bagus dari kacamata Umno dan kelihatan menunjukkan bakat dan berprestasi ketika menjalankan tugas. Namun, jawatan tinggi yang dipangku dan pelbagai ‘suasana baru’ mendadak menerpa kehidupan diri dan keluarganya mengubah cara hidup dan sikap seorang pemimpin.
Sungguhpun pentadbiran beliau nampak licin dan bekesan dari kacamata pemimpin Umno pusat dan rakyat Selangor umumnya, rupanya terpalit beberapa kelemahan dan keburukan di sana sini termasuk kekurangan beliau dalam mengawal diri sebagai orang yang paling berkuasa di negerai paling kaya di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) telah mengejutkan ramai pemimpin dan tokoh Umno Selangor apabila memilih Khir sebagai menteri besar muda yang menewaskan ramai tokoh lama yang berpengalaman dan dikatakan layak sehingga ramai pemimpin yang merajuk dan membawa diri. Ketika itu Khir nampak calon paling sesuai, bersih dari yang lain, tidak berpuak dan kelihatan berpotensi memimpin negeri yang banyak hasil mahsul itu.
Terbukti, pada awalnya beliau begitu konsisten dan komited dalam menjalankan tugas sebagai ketua pentadbir yang baik dan berhasil. Namun, setelah waktu berlalu dan lama berkuasa serta berada lama di puncak singgahsana kayangan yang dihidangkan dengan ‘suasana hidup baru’, telah mengubah cara bertindak dan cara fikir seseorang individu sehingga membawa kepada kes tuduhan beliau terlibat membuat banyak harta hingga mampu membeli hartanah berjumlah RM3.5 juta.
Tanpa mendahului keputusan mahkamah - samada bersalah atau tidak - episod Khir Toyo membawa interpretasi awal bahawa jawatan tinggi dan kuasa boleh mengubah sikap dan pandangan hidup seseorang individu. Seorang yang pernah hidup susah dan tiba-tiba menempuh dan menikmati kesenangan - jika tidak berhati-hati dan tahan uji - mungkin boleh berubah mendadak dan ‘tergoda’ dengan segala kemewahan yang terhidang di depan mata.
Sukar untuk menjadi seorang ketua yang terus kekal jujur dan komited - apalagi dalam usia masih muda - setelah di kelilingi sekitaran baru yang belum pernah dinikmati serta kawan-kawan baru yang boleh membawa implikasi kebaikan atau keruntuhan. Sukar untuk mempertahan kebaikan dan mengawal nafsu diri dalam suasana sekitaran yang ‘kondusif’ dan mencabar jika tidak disertai dengan kekuatan iman, keinsafan dan tanggungjawab diri yang besar.
IZMAS, 12hb Dec. 2010 

Nota Kaki: Tulisan terakhir pengarang Abdul Aziz Ismail yang telah pulang ke rahmatullah pada Khamis, 16 Disember 2010 jam 4.30 petang di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu kerana serangan jantung. Tulisan ini telah dapat ditukil kembali di dalam computer riba Allayarham oleh anakanda beliau, Nur Raidah Bt Abdul Aziz selepas majlis tahlil pada 17 Disember 2010.
Semoga Allah merahmati roh Allahyarham Abdul Aziz Ismail dan menempatkan beliau di kalangan para syuhadah. Al-Fatihah
WM Paktam : Allahyarham Abdul Aziz Ismail juga salah seorang penyumbang tetap artikel di DetikDaily..AL-Fatihah...

No comments:

Post a Comment