Wednesday, December 15, 2010

Muka Aminulrasyid tersembam dikerusi penumpang – Saksi

Aminul rashid Saksi perbicaran kes remaja mati ditembak polis hari ini memberitahu mahkamah mangsa Aminulrasyid Amzah, 15, ditemui dalam keadaan muka tersembam ditempat duduk pemandu, manakala separuh badannya di atas kerusi pemandu dan kaki terjulur ke luar kereta.
Pegawai penyiasat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zain dalam keterangannya berkata, semasa sampai ke tempat kejadian beliau sudah pun mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan sedemikian dengan pintu kereta pemandu terbuka.

Kenyataan Fauzi itu sekaligus bercanggah dengan kenyataan saksi Konstabel Hafizd Mohd Yusuf sebelum ini yang juga pemandu kereta peronda Selangor 614 membawa tertuduh, Koperal Jenain Subi pada malam kejadian.
Hafizd dalam keterangannya dimahkamah pagi tadi berkata, mayat mangsa dijumpai berada dalam keadaan tertiarap dengan muka menghadap ke bawah dikusyen tempat duduk pemandu.
Fauzi juga berkata, sampainya ditempat kejadian beliau dimaklumkan oleh Koperal Azhar tentang kejadian dari mula insiden kejar antara kereta peronda Selangor 589 dengan Selangor 614 dengan Proton Iswara BET 5023, setiap laluan yang dilalui sehinggalah diberitahu anggota sokongan Konstabel Izham dan Jenain melepaskan tembakan dan menyebabkan BET 5023 terbabas.
Beliau turut menghubungi bilik gerakan dan mengarahkan agar bilik gerakan menghubungi unit forensik dan pasukan anjing pengesan.
Melarikan diri
"Unit anjing pengesan dikerahkan kerana saya dimaklumkan ada lagi seorang penumpang telah melarikan diri.
"Saya juga telah arahkan bilik gerakan untuk kenal pasti pemilik kenderaan," katanya.
Penumpang yang melarikan diri itu adalah rakan Aminulrasyid, Azamuddin Omar, 15, yang sebelum ini dalam keterangannya di mahkamah mengaku berjaya keluar daripada kereta yang telah terbabas melalui tingkap dan melepaskan diri daripada ditangkap polis pada malam kejadian.
"Apabila unit anjing pengesan sampai, saya buat taklimat ringkas tentang penumpang yang melarikan diri. Bagaimanapun mereka gagal untuk kesan penumpang tersebut," katanya.
Fauzi juga berkata, Aminulrasyid disahkan mati selepas ambulan sampai ditempat kejadian kira-kira 2.30 pagi yang diperiksa oleh pembantu perubatan.
Pengenalan diri
"Saya diminta oleh pembantu perubatan untuk memeriksa jika ada apa-apa pengenalan diri pada mangsa tapi tidak jumpa," katanya ketika disoal timbalan pendakwaraya Adila Ahmad.
Selepas itu, beliau berkata anggota forensik yang diketuai Inspektor Mazli tiba di tempat kejadian dan ada memberikan taklimat ringkas sebelum mula menjalankan siasatan.
Dalam siasatan itu juga, Fauzi mendakwa dapat melihat kesan tumpahan minyak petrol dalam anggaran 50 sehingga 70 kaki daripada kerete BET 2053 yang terbabas.
Beliau juga dimaklumkan pada malam kejadian oleh unit forensik terdapat 21 kesan tembakan dikenal pasti di kereta BET 2053, manakala sekurang-kurangnya 16 das tembakan telah dilepaskan.
Fauzi turut melakukan beberapa pengecaman barang bukti termasuk parang yang dijumpai dibawah tempat duduk penumpang hadapan dan senjata yang digunakan anggota polis peronda pada malam kejadian.
Tembakan dilepaskan Jenain
Sementara itu, mahkamah pagi tadi turut mendengar keterangan daripada Konstabel Hafizd mengenai tembakan yang dilepaskan Jenain pada malam kejadian.
Hafizd dalam keterangannya berkata, Koperal Jenain telah melepaskan tembakan pertama kira-kira 1.20 pagi semasa membelok ke Jalan Tarian 11/2 di sini.
Namun beliau berulang kali menafikan melihat Jenain melepaskan tembakan, sebaliknya mendakwa hanya menumpukan perhatian kepada pemanduan dan kereta BET 5023 yang dikejarnya.
Beliau ketika ditanya timbalan pendakwaraya Dusuki Mokhtar juga mengaku tidak melepaskan sebarang tembakan pada malam kejadian.
Perbicaraan bersambung 27 Disember depan.
Jenain didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini pada 26 April lalu antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi.
Beliau dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment