Risalah yang menggunakan lambang Perkasa antara lain menyebut, “Amaran!, kepada semua peniaga kaum Cina jangan menaikkan harga barang-barang keperluan dengan sewenang-wenangnya. Kepada semua pengundi kaum Cina pastikan calon Melayu menang.”
“Perkasa kutuk dan kecam perbuatan jahat dan keji puak yang terdesak, yang mengeluar dan mencetak risalah menggunakan kepala surat Perkasa Johor kononnya mengugut pengundi-pengundi Cina DUN Tenang,” kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang diadakan 22 Januari manakala pengundian pula 30 Januari.
Pakatan Rakyat diwakili PAS akan mengumumkan calonnya malam ini manakala Barisan Nasional pula pada 19 Januari.
Syed Hassan berkata, orang yang waras sudah pasti tidak percaya dengan perbuatan itu dan tidak masuk akal bahawa Perkasa Johor boleh melakukan perbuatan bodoh seperti ini.
“Individu atau puak yang buat ini sengaja mahu memburukkan nama Perkasa atau usaha penyokong pembangkang untuk menarik undi kaum Cina dengan menggunakan Perkasa sebagai alasan.
“Ia perbuatan tidak bermoral dan bersifat dajal,” kata beliau sambil menambah, Perkasa yakin pengundi kaum Cina di DUN Tenang tidak akan percaya dakyah seumpama itu,” katanya.
Syed Hassan menambah perkara seumpama itu pernah berlaku ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.
Ketika di Hulu Selangor, Perkasa menyokong calon BN.
“Perkasa Johor dan Pusat akan buat laporan polis supaya ia disiasat siapakah melakukan kerja durjana ini,” katanya.
Ibrahim yang juga Presiden Perkasa sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkempen untuk BN, tetapi ahli-ahlinya boleh turun kempen atas kapasiti sebagai orang perseorangan.
No comments:
Post a Comment