Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang juga naib presiden PKR berkata, undang-undang itu memberi kuasa kepada polis untuk menghalang pengeluaran permit ceramah kerana memperuntukkan permohonan selama sebulan, berbanding seminggu ketika ini.
Begitu juga dengan larangan kehadiran kanak-kanak dan warga asing dalam ceramah yang pastinya menyukarkan penganjur parti politik.
“Keadaan ini seperti mahu mengharamkan terus ceramah politik Pakatan Rakyat.
“Kita tak mampu kawal jika ada orang asing yang turut serta atau orang awam yang bawa anak-anak dengar ceramah…kalau tak penganjur didenda sehingga RM20,000,” katanya di luar bangunan Parlimen di sini hari ini.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan rang undang-undang ini akan diluluskan dalam masa terdekat, berkemungkinan minggu hadapan memandangkan ia dibahas secara tergesa-gesa.
Undang-undang kuno
Tian Chua berkata sedemikian semasa menyertai protes Kempen Kebebasan Berhimpun (KKB) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO)mendesak supaya rang undang-undang itu dibatalkan.
Manakala ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata, undang-undang sebegini kelihatan kuno apabila kerajaan BN cuba
melaksanakan sama seperti diwaktu penduduk Tanah Melayu menetang Malayan Union pada tahun 1946.
Sedangkan katanya, negara jiran seperti Indonesia dan Kemboja kini berusaha untuk memperbaiki dasar perhimpunan awam menjadi liberal.
“Apa yang kami tahu kabinet sudah merujuk kepada Majlis Peguam berhubung perhimpunan aman ini tanpa mengemukakan rang undang-undang.
“Mereka sedang mempermainkan rakyat,” katanya.
`Siri protes’
Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0 Datuk S Ambiga berkata pihaknya mahu rang undang-undang ini dibatalkan serta-merta kerana bertentangan dengan semangat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ucapannya pada 15 September lalu yang mahu menjadikan Malaysia lebih bebas, demokrasi dan liberal.
Dalam kenyataan bersama, NGO menyifatkan tempoh notis 30 hari sebelum penganjuran perhimpunan itu tidak munasabah berbanding United Kingdom yang hanya memberikan tempoh selama tujuh hari, manakala di Finland hanya enam jam dan 48 jam seperti yang disarankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
“Jika kerajaan masih berdegil, kita akan buat beberapa siri protes mambantah Perhimpunan Aman ini di seluruh negara,” kata Koordinator
Suaram E Nalini.
Turut hadir Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan dan Pengarah Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas) Tan Jo Han.
Mereka yang turut dihadiri 20 penyokong berkumpul kira-kira setengah jam dil uar Parlimen melaungkan “tarik balik PA”, dan “Najib tipu”.
http://www.freemalaysiatoday.com/2011/11/24/undang-undang-perhimpunan-aman-akan-halang-ceramah-parti-politik/
No comments:
Post a Comment