Friday, September 7, 2012

Tidak perlu menang untuk buat lebuhraya



KOTA BHARU: 
Exco Kelantan Datuk Husam Musa, mengingatkan, Umno tidak perlu menunggu peluang menawan Kelantan untuk membina lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

Katanya, sekarangpun sebagai sebuah kerajaan Pusat mereka telah berhak melaksanakan tanggungjawab itu dan tidak perlu menunggu peluang Umno menawan Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas mesyuarat exco semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed, berkata kerajaan baru Kelantan akan membina lebuhraya sekiranya rakyat memberi mandat pada Umno pada PRU 13 nanti.

Bagaimanapun Husam juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, turut berkata, sebelum BN buat jalanraya itu, kerajaan Kelantan akan mebuatnya sebelum mereka menang lagi.

“Saya juga merasa hairan kenapa untuk membuat lebuhraya itu perlu BN menang terlebih dahulu, tetapi kenapa waktu kutip cukai tak fikir pula fasal kalah menang?”soalnya.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, bagi Pakatan Rakyat pula, sekiranya menang di peringkat Pusat bayaran royalti pula akan dibayar pada negeri pengeluar minyak dan akan dibayar tanpa melalui jawatankuasa.


Royalti


Pada masa yang sama beliau memberitahu kerajaan Pakatan Rakyat juga akan membayar royalti sebanyak 20 peratus sebagaimana yang dicadangkan oleh kerajaan Sarawak dan Sabah baru-baru ini.

“Banyak lagi yang kita boleh buat kalau kita menang termasuk pendaratan gas di Kelantan berbanding kalau BN menang,”ujarnya.

Beliau turut memperingatkan Mustapha sekiranya beliau betul-betul ingin membantu rakyat Kelantan, beliau diminta berusaha untuk menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai lapangan terbang antarabangsa.

“Tak payah tunggu BN menang, kalau dia ikhlas dan betul-betul ingin menolong rakyat Kelantan sekarangpun dia boleh buat,”ujarnya.

Tambahnya, dengan cara itu Kelantan akan bertambah maju khususnya dari segi ekonomi dengan lebih cepat.

Husam seterusnya memberitahu, sekarang penerbangan domestik yang mendarat ke lapangan terbang ini mencecah 40 penerbangan sehari.

Sambungnya, cuba bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya kita mendapat penerbangan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment