Friday, September 7, 2012

Treler sertai jelajah Merdeka Rakyat PKR



PETALING JAYA:
 PKR hari ini melancarkan Treler Pentas Bergerak yang akan bergerak bersama bas Merdeka Rakyat dalam siri kedua jelajahnya yang bermula hari ini.

Pelancaran dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan Ibu Pejabat parti itu pagi ini.

Treler dan bas itu akan bergerak ke Negeri Sembilan dalam penerusan siri kedua jelajah Merdeka Rakyat anjuran parti itu.

Dalam siri pertama jelajah mereka yang bermula 31 Ogos lalu, mereka telah menjelajah ke lima negeri bermula di Pahang, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, dan berakhir di Perlis.

Selepas Negeri Sembilan, konvoi akan diteruskan ke Melaka dan Wilayah Persekutuan merupakan destinasi terakhir untuk siri kedua ini.

Pada 1 September bas Merdeka Rakyat yang digunakan mereka diserang samseng ketika pasukan jelajah berada di Kelantan.

Bas tersebut disimbah cat merah dan cermin hadapan bas tersebut juga dipecahkan.

Mengulas perkara itu Wan Azizah pada sidang media selepas pelancaran pagi ini berkata, kawalan keselamatan akan dipertingkatkan untuk jelajah siri kedua ini.

"Kita telah meningkatkan kawalan keselamatan dengan memberi amaran kepada skuad AMK (Pemuda PKR ), sukarelawan supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk menjaga bas.

"Saya tak sangka, negara yang aman akan berlaku ancaman seperti ini," katanya sambil mengecam tindakan samseng yang merosakkan bas Merdeka Rakyat di Kelantan itu.

“Lebih baik anda buat bas sendiri dan jangan kacau bas kita. Saya harap bas dan treler ini akan selamat sepanjang program. Semoga peristiwa buruk itu tidak lagi berulang,” kata beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut hadir berkata, penggunaan treler pada kali ini adalah untuk menjimatkan kos.

Treler tersebut akan digunakan sebagai pentas yang telah dilengkapi dengan sistem siaraya.

No comments:

Post a Comment