KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan perbuatan membaling kasut ke dalam masjid lebih biadap jika dibandingkan dengan memijak gambar pemimpin negara.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, tindakan menyerang dan membaling kasut sampai ke dalam masjid itu adalah tindakan biadap dan tercela kerana ianya rumah Allah dan tempai ibadat orang Islam.
Walaubagaimanapun katanya, media arus perdana seolah-olah meminggirkan perkara itu dan lebih memperbesarkan isu memijak gambar perdana menteri.
"Saya juga tidak bersetuju dengan tindakan memijak gambar pemimpin tetapi apa yang ingin saya katakan perbuatan membaling kasut ke rumah Allah itu lebih biadap dari memijak gambar perdana Menteri.
"Kesal juga kenapa media arus perdana lebih memperbesarkan isu memijak gambar jika dibandingkan dengan baling kasut yang tidak mempunyai liputan langsung," tegasnya.
Mahfuz turut bertanya adakah memijak gambar pemimpin lebih hina dari membaling kasut di masjid kerana tidak ada seorang pun pemimpin mahupun liputan diberikan kepada perbuatan tersebut.
Beliau juga berpendapat, tindakan media arus perdana yang memperbesarkan isu memijak gambar pemimpin adalah untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada Pakatan Rakyat.
Dalam insiden 2 September lalu, sekumpulan ahli Perkasa menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di sebuah masjid di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah.
Selain bertindak mengganggu tazkirah, mereka juga didakwa membaling kasut ke dalam masjid sehingga hampir-hampir terkena Mahfuz.
No comments:
Post a Comment