Monday, October 15, 2012

Bajet untuk golongan menengah dan atasan


Bajet 2013 kerajaan BN dianggap lebih memberikan manafaat kepada golongan pertengahan dan atasan berbanding dengan golongan bawahan, kata penganalisis kewangan Islam.

Firma konsultan Kewangan Islam, Daya Fikir, dalam analisa mereka mendapati, ptongan bayaran 20 peratus untuk pemimjam PTPTN yang membuat bayaran sekalugus adalah contoh yang paling ketara.

Ini kerana, hanya golongan pertengahan dan berada saja mampu membuat bayaran ini sedangkan golongan bawahan tidak mempunyai wang untuk membayarnya sekaligus.

Firma ini juga berkata,secara umumnya Bajet 2013 adalah lebih bersifat mesra peniaga dan kelompok menengah atasan.

"Asasnya, sebahagian besar daripada 130 inisiatif dan peruntukan yang telah digariskan dilihat lebih memberikan manafaat yang signifikan kepada golongan tersebut secara jangka panjang, samada secara langsung dan tidak langsung," kata firma itu.

Kedua, inisiatif potongan cukai kepada semua pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan (angel investor) yang dilakukan secara tunai dalam syarikat-syarikat untuk tujuan pengembangan perniagaan.

"Pada asasnya baik untuk perkembangan ekonomi (economic growth), namun kesannya dilihat tidak akan begitu menyeluruh, yang pastinya fokus pelaburan kelak hanya akan tertumpu kepada segmen industri dan perniagaan tertentu sahaja, yang dianggap menguntungkan.

"Jika ini berlaku, dibimbangi jurang pendapatan dan status dalam masyarakat akan makin terjarak," kata analisa firma itu.

Berikut adalah analisa penuh Daya Fikir Solution yang ditulis oleh dua orang rakan kongsinya iaitu Abdul Hadi Bin Jusoh dan Hashim Bin Ahmad Shiyuti.



Bajet 2013, satu penghayatan 


Saban tahun, pimpinan tertinggi negara akan membentangkan perancangan negara yang akan dilaksanakan pada tahun yang berikutnya. Antara pembentangan dan pengumuman formal yang terbesar adalah bajet tahunan yang mana ianya merupakan rumusan tentang perancangan dan peruntukan kewangan negara yang bersifat komprehensif dan inklusif.

Jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi yang berkaitan dipertanggungjawabkan sebagai pelaksana segala intipati yang termaktub di dalamnya. Dengan kata lain, hala tuju dan wawasan negara akan diterjemahkan berdasarkan perlaksanaan pelan induk ini.

Pada tahun ini, Bajet 2013 telah dibentangkan pada September 2012 yang mana pada dasarnya adalah bajet yang amat dinanti-nantikan oleh semua pihak termasuklah kalangan professional, pelabur-pelabur luar dan dalam negeri, firma-firma perniagaan, begitu juga kalangan ahli-ahli politik dan rakyat jelata dari fahaman dan aliran politik yang berlainan.

Ini kerana, ianya adalah antara gerbang persepsi utama yang dianggap sebagai penentu bagi memikat dan menambat hati hati rakyat untuk terus memberikan mandat kepada kerajaan yang sedia ada untuk terus memerintah, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri.

Untuk bajet kali ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 251.6 bilion dengan tema ‘memakmurkan Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati. Daripada angka tersebut, sejumlah RM 201.9 bil telah diperuntukkan untuk tujuan perbelanjaan mengurus dan selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan.

Sasaran defisit bajet kali ini dianggarkan menyusut sebanyak 0.5%  kepada 4.0% berbanding tahun 2012. Dari segi pendapatan, hasil kerajaan dilihat mengalami sedikit anjakan menaik daripada RM 207 bil (2012) kepada RM 208.6 bil (2013).


Begitu juga dengan liabiliti subsidi yang juga dilihat mengalami sedikit peningkatan kepada RM 33.2 bil, setelah mengambil kira pengurangan kadar subsidi gula sebanyak RM 0.20 sekilogram.

Justeru, Daya Fikir Solutions (Daya Fikir) telah mengambil inisiatif untuk menganalisis bajet pada kali ini secara menyeluruh dan di luar kotak pemikiran yang bersifat politik kepartian, agar timbang tara yang selayaknya dapat dizahirkan serta lebih berpijak kepada bumi yang nyata.



Mesra golongan atasan


Secara umumnya Bajet 2013 adalah lebih bersifat mesra peniaga dan kelompok menengah atasan. Asasnya, sebahagian besar daripada 130 inisiatif dan peruntukan yang telah digariskan dilihat lebih memberikan manafaat yang signifikan kepada golongan tersebut secara jangka panjang, samada secara langsung dan tidak langsung.

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan wujud juga inisiatif yang dilihat memberikan impak positif kepada banyak pihak, khususnya kepada rakyat kebanyakan. Untuk itu, Daya Fikir secara rumusannya berpandangan:

Pertama, inisiatif pemberian diskaun sebanyak 20% bagi pembayar hutang PTPTN yang dibuat secara sekaligus (lump-sum) dalam tempoh setahun dan 10% kepada mereka yang dapat melunaskan secara istiqamah dalam tempoh setahun mendatang.
Adalah dijangkakan hanya mereka yang berada di dalam braket zon keselesaan dan berkemampuan sahaja, yang akan menerima tempias daripada manafaat ini.

Bagi kelompok rakyat kebanyakan, mereka mampu berbuat demikian hanyalah melalui pinjaman peribadi dengan mana-mana insitusi perbankan dan kewangan yang sudah tentu kadar bayaran baliknya  hampir menyamai sekali ganda dengan jumlah pinjaman yang telah dibuat.

Justeru, jika dihitung hutang peminjam PTPTN sebenarnya akan bertambah, walaupun secara relatifnya hutang mereka dengan PTPTN telah dianggap langsai.

Kaedah ini dilihat praktikal untuk dilaksanakan, pertamanya, pihak bank dan institusi kewangan  perlulah menyediakan satu pakej pembayaran balik yang lebih rendah berbanding kadar yang sedia ada,  khusus kepada peminjam yang ingin melangsaikan hutang PTPTN.

Keduanya, kaedah pelangsaian mesti dibuat secara terus kepada PTPTN, tidak melalui peminjam. Signifikannya, untuk mengelakkan wang daripada pinjaman peribadi tersebut terlepas ke pasaran akibat sikap tidak berdisiplin peminjam, yang seterusnya akan menyumbang kepada anjakan menaik kadar inflasi.


Potongan Cukai


Kedua, inisiatif potongan cukai kepada semua pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan (angel investor) yang dilakukan secara tunai dalam syarikat-syarikat untuk tujuan pengembangan perniagaan.

Pada asasnya baik untuk perkembangan ekonomi (economic growth), namun kesannya dilihat tidak akan begitu menyeluruh, yang pastinya fokus pelaburan kelak hanya akan tertumpu kepada segmen industri dan perniagaan tertentu sahaja, yang dianggap menguntungkan.

Jika ini berlaku, dibimbangi jurang pendapatan dan status dalam masyarakat akan makin terjarak. Sewajarnya, cukai tersebut masih perlu dikenakan tetapi pada kadar yang lebih rendah, yang mana hasil daripada cukai tersebut dapat digunakan untuk mengurangkan kadar harga barangan yang bersifat keperluan dalam ekonomi, iaitu melalui pemberian subsidi langsung secara telus kepada pihak pengeluar berdasarkan kepada jumlah pengeluaran sebenar (real output).

Secara signifikan, pengurangan harga barang keperluan akan meningkatan jumlah pendapatan boleh guna rakyat yang seterusnya akan menjana ekonomi melalui peningkatan perbelanjaan dan jumlah simpanan isirumah, yang akan mengalir masuk ke dalam ekonomi.


Pengecualian cukai


Ketiga, pengecualian cukai aliran pendapatan kepada syarikat insurans dan takaful keluarga yang menguruskan skim anuiti.

Kesannya juga dilihat tidak begitu menyeluruh dan tidak memberikan kesan langsung kepada rakyat di peringkat akar umbi, terutamanya mereka yang tidak mempunyai aliran pendapatan yang tetap.

Tambahan, dalam suasana ekonomi global yang makin tidak menentu ini. Walaupun begitu, memang tidak dinafikan, inisiatif ini akan menyuntik nilai pelaburan dalam ekonomi oleh syarikat-syarikat insurans dan takaful.

Namun, ianya dibimbangi akan tertumpu kepada segmen pelaburan yang hanya berupaya memberikan pulangan keuntungan yang lebih signifikan kepada mereka. Dan, mana-mana segmen pelaburan yang lebih bersifat tanggungjawab sosial akan terpinggir.

Keempat, asasnya strategi suntikan langsung kepada lokasi yang berpenyakit mampu mempercepatkan dan meringankan bebanan penyakit seseorang.

Relatifnya, suntikan bantuan terus kewangan melalui skim BR1M kepada rakyat yang memerlukan adalah amat bermakna kerana ia mampu meringankan bebanan kewangan mereka, walaupun secara jangka pendek.

Namun, dalam keghairahan meraikan pemberian ini, Daya Fikir melihat inisiatif spesifik untuk meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat dan kuasa beli secara jangka panjang adalah juga perlu menjadi prioriti pihak kerajaan. Tindakan ini perlu dilaksana secara seiringan dengan suntikan terus yang dilaksanakan itu.

Jika tidak, dikemudian hari rakyat hanya akan terkesan dengan anjakan kenaikan pendapatan yang tidak selari dengan kenaikan harga barang.


Pendidikan



Kelima, peruntukan yang besar untuk pendidikan adalah amat digalakkan selaku tunjang kepada pembangunan negara pada masa hadapan, yang mana amat bergantung kepada corak dan amalan sistem pendidikan hari ini.

Pendidikan dianggap sebagai baja yang menyuburkan benih masyarakat yang disemai untuk menghasilkan buah dan baka yang baik pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kekurangan yang memerlukan penambahbaikan yang ketara perlu dilaksanakan.

Peruntukan spesifik bagi memajukan Sekolah Agama (kerajaan dan rakyat) perlu diwujudkan dengan nilai yang sekurang-kurangnya menyamai dengan peruntukan sekolah-sekolah lain sebagaimana yang disebut di dalam bajet 2013.

Peruntukan khas bagi pendidikan agama adalah diperlukan bagi membolehkan pendidikan agama dilakukan secara seiringan dalam menghasilkan generasi yang bersifat kamil dan sempurna dari segi akademik dan akhlak.

Generasi yang seimbang dari duniawi dan ukhurawi akan memantapkan lagi pengukuhan ketamadunan dan menyiapkan sumber insan yang lebih kompetitif bagi bersaing dengan kuasa baru ekonomi dunia seperti China dan India.


Perumahan 



Keenam, perancangan kerajaan bagi melaksanakan skim rumah mampu milik merupakan satu cadangan yang amat signifikan. Namun, jika tidak kena cara perlaksanaannya ia hanya akan menjurus kepada ‘spekulasi hartanah’ yang seterusnya akan menyumbang kepada kenaikan luar jangka harga hartanah kediaman sehingga pada satu tahap, tidak mencerminkan harga sebenarnya.

Ia kesan daripada jumlah rumah yang ditawarkan begitu terhad di pasaran, sedangkan permintaannya begitu tinggi. Dengan jumlah 123,000 rumah yang ditawarkan, adalah amat mustahil untuk  memenuhi populasi yang makin membesar, khususnya di kawasan-kawasan strategik seperti di Lembah Kelang yang berkepadatan penduduk hampir 7 juta.

Akhirnya, ia hanya akan membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan mudah yang lumayan bersandarkan spekulasi hartanah ini. Hakikatnya, ia boleh dilakukan iaitu dengan meletakkan syarat-syarat tertentu kepada pembeli seperti tidak boleh menjualnya semula dalam tempoh 5 – 10 tahun.

Jika ini tidak dapat dielakkan, pembeli perlu mendapat kelulusan khas daripada pihak kerajaan dan hendaklah dijual pada harga yang tidak melebihi 5-10% daripada harga asal.
Dari sudut pembiayaan pula, skim rumah pertama secara praktikalnya sukar dilaksanakan, kerana hakikatnya tidak ramai yang layak untuk mendapatkan pembiyaan setelah ditolak dengan pelbagai komitmen lain seperti kereta dan pinjaman peribadi.

Dan, cadangan untuk mengecualikan pembeli rumah pertama ini dikalangan generasi daripada proses penyemakan CTOS dan CCRIS adalah satu cadangan yang tidak praktikal.

Ia bukan setakat memberikan tekanan kewangan dan bebanan risiko kepada institusi peminjam, malah juga kepada rakyat, sekiranya berlaku kemerunduman ekonomi yang teruk, yang tak dijangka.


Cukai majikan



Ketujuh, pengecualian cukai kepada majikan yang menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dianggap sebagai satu cadangan yang baik, kerana ia akan menggalakkan lebih ramai wanita memasuki pasaran kerja dan mengurangkan kewujudan pusat-pusat asuhan yang tidak berdaftar.

Ia juga akan memberikan kesan menaik kepada jumlah pendapatan isirumah yang seterusnya memberikan impak positif kepada aliran ekonomi.

Kelapan, pemberian insentif kepada pihak yang mengeluarkan Agro-Sukuk, Sukuk Runcit dan Bon Runcit akan merancakkan lagi pasaran modal, khususnya pasar modal Islam sebagai alternatif untuk mendapatkan dana kos yang lebih kompetitif.

Selain itu, ia dianggap sebagai nafas baru kepada segmen pertanian Negara untuk berkembang dengan lebih rancak lagi. Untuk lebih merancakkannya lagi, program kesedaran dan pendidikan pelaburan sukuk / bon ini perlu diperluaskan ke seluruh Negara melalui agensi yang sedia ada.



Cukai Pendapatan



Kesembilan, pengurangan 1% cukai pendapatan adalah satu langkah yang baik, walaupun ia dianggap begitu kecil. Namun, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan jumlah pendapatan boleh guna rakyat.

Walaubagaimanapun, ianya juga perlu seiringan dengan anjakan menaik harga barangan dalam pasaran. Jika tidak, ia hanya berlalu tanpa memberikan apa-apa kesan yang signifikan.

Akhir sekali, kita menyambut baik cadangan pihak kerajaan untuk memberikan diskaun tambang kepada pengguna KTM yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Namun, pada masa yang sama kita mencadangkan agar diskaun ini diperluaskan ke aliran pengangkutan awam yang lain, khususnya yang ditadbir urus oleh Syarikat Prasana Negara Berhad.
Begitu juga dalam soal kecekapan dan mutu perkhidmatan, ia juga perlu sentiasa ditambah-baik dari semasa ke samasa, walaupun aliran tunai masuk mereka kemungkinan akan mengalami sedikit penyusutan, yang seterusnya menjejaskan keuntungan syarikat.

Di samping itu, untuk menyemarakkan lagi usaha ini, semua tempat letak di kawasan KTM dan aliran pengangkutan awam yang lain perlu disediakan secara percuma.

Sebagai kesimpulannya, bajet 2013 boleh dianggap sebagai positif tetapi, memerlukan beberapa penambahbaikan dari segi intipati, perlaksanaan dan penguatkuasaannya, agar matlamat yang dicadangkan dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan tidak hanya tertumpu kepada kelompok-kelompok tertentu semata-mata.

Ibarat kata pepatah Melayu ‘alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan’. Biarapapun persepsi pelbagai pihak terhadap bajet kali ini, amanah rakyat perlu ditunaikan, dan janji mesti ditepati untuk kesejahteraan rakyat.

Wassalam @ Daya Fikir
----------------------------------------------------

Penulis: Abdul Hadi Bin Jusoh dan Hashim Bin Ahmad Shiyuti

No comments:

Post a Comment