Kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) kini terhutang dengan kerajaan Kelantan lebih RM10.43 bilion apabila gagal menjelaskan bayaran royalti 5 peratus terhadap hasil petroleum dicari gali di perairan negeri ini.
Ini adalah sejarah baru yang dicatat ketika negeri-negeri lain di Malaysia menambah jumlah hutang dengan kerajaan pusat sehingga ada yang melebihi RM1 bilion.
Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti – R), Nazri Deraman berkata, rakyat Kelantan dizalimi sejak 2004 sehingga sekarang apabila hak ke atas royalti dinafikan.
“Sedangkan dalam perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 begitu jelas di mana bayaran tunai perlu dibayar kepada negeri yang mengeluarkan minyak.
“Apabila perjanjian tidak dipatuhi tidakkah itu menggambarkan seperti sifat orang Yahudi yang memungkiri janji,” katanya pada ceramah mega R bersama Angkatan Amanah Merdeka di Padang Kemahkotaan di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Amanah Kelantan, Dr Zayadi Awang Noh, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus dan wakil-wakil rakyat.
Orang ramai memenuhi padang tersebut bagi mengikuti pendedahan pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai tuntutan Kelantan ke atas royalti minyak, namun beliau tidak dapat hadir kerana bertembung dengan program lain.
Begitu juga anggota Exco kerajaan negeri,Datuk Husam Musa memberi ucapan secara langsung dari Kuala Lumpur melalui internet kerana menghadiri program lain di ibu negara.
Ramai yang hadir kalangan anak-anak muda yang memakai t-shirt bertulis R.
Nazri juga berkata, kerajaan BN menafikan hak ke atas royalty dan menggantikan dengan wang ihsan disalur melalui pemimpin Umno yang menguasai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
“Saya difahamkan lebih RM100 juta disalurkan melalui JPP melalui jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Umno Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin.
“Kita tidak tahu ke mana wang tersebut dibelanjakan kerana tidak pernah diauditkan. R telah menghantar surat memohon mendapat penjelasan mengenai wang ihsan, namun tidak dijawab sehingga sekarang,” katanya.
Husam berkata, Kelantan sepatutnya lebih pesat membangun berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mempunyai hasil petroleum. Namun apa yang berlaku sekarang Kelantan hanya menghirup kuah selepas isi diambil pihak lain.
“Sedangkan Allah anugerahkan bumi Kelantan dengan kekayaan sumber minyak dan gas,” ujarnya.
Dr Zayadi berkata, sepatutnya Bachok sudah lama berubah kerana kedudukannya paling hampir dengan telaga minyak iaitu kira-kira 140 batu nautika.
R jelajah utara
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, R dan Sekretariat Mahasiswa Kelantan Utara R (SAKU-R) menjelajah ke negeri-negeri sebelah utara semalam dengan disertai lebih 500 aktivis dengan menaiki 300 motosikal dan kereta.
Perlepasan jelajah utara itu dilakukan anggota Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar di Dataran Darulaman, Jitra kira-kira jam 10.30 pagi.
Konvoi singgah di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Sri Mentalon di Alor Setar dan diraikan Pegawai Khas Media Menteri Besar, Musaddak Ahmad.
Pada majlis tersebut R menyerahkan Plak Royalti yang ditandatangani Sultan Muhammad V pada 5 Jun 2012 yang mengesa gas didaratkan ke Bachok kepada wakil kerajaan Kedah.
Peserta konvoi juga menunaikan solat hajat di Sri Mentalon. Pada masa sama Buletin Royalti R sebanyak 5,000 keping dan sticker R - 5,000 keping diagih kepada orang ramai.
Konvoi tersebut melalui bandar Alor Setar, Arau, Kangar dan berakhir di Kuala Perlis.
No comments:
Post a Comment