Sunday, April 20, 2014

Makanan di kem pelarian Palestin, Yarmouk kehabisan


Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangannya berhubung bekalan makanan yang semakin berkurangan dan mungkin kehabisan di kem pelarian Palestin di Yarmouk akibat kepungan berlarutan di kawasan itu berikutan perang saudara yang sedang melanda Syria.
Agensi Bantuan dan Kerja bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat PBB (UNRWA) memberi amaran tentang kekurangan makanan yang begitu mencemaskan di kem Pelarian itu sehingga Sabtu apabila pertempuran antara pihak yang terlibat dalam perang saudara di Syria semakin memuncak dan sekali gus menyekat penghantaran bekalan yang amat diperlukan.
Menurut jurucakap UNRWA Chris Gunness, agensi itu tidak dibenar mengagihkan bantuan makanan pada 18 April di Yarmouk, tempat yang menjadi tumpuan lebih 20,000 orang awam bagi mendapatkan bantuan daripada PBB.
Gunness dengan penuh terharu berkata "ini hari kesepuluh berturut-turut UNRWA tidak dapat mengagihkan bantuan makanan di Yarmouk”.
Katanya memandangkan makanan yang dibekalkan UNRWA boleh bertahan paling lama hanya 10 hari, maka bekalan yang telah disumbangkan PBB kepada kem itu akan kehabisan.
Yarmouk menempatkan lebih 160,000 pelarian Palestin sebelum tercetusnya perang saudara di Syria pada Mac 2011.
Sejak Disember 2012, antara 140,000 dan 145,000 pelarian Palestin dilaporkan terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Yarmouk apabila tentera puak penentang meningkatkan kehadiran mereka di kawasan itu dan tentera kerajaan pula menguasai kawasan sekelilingnya.
Gunness berkata UNRWA “teramat bimbang” dengan keadaan manusia yang begitu memerlukan bantuan di Yarmouk dan ingin memaklumkan bahawa pertikaian bersenjata yang tidak putus-putus berlaku sejak sebulan lepas, mengganggu usahanya untuk meringankan penderitaan orang awam yang terperangkap di kawasan itu.
UNRWA dapat memasuki Yarmouk hanya sebanyak 10 hari dalam tempoh 30 hari antara 11 Mac dan 10 April dan oleh itu, hanya dapat mengagihkan 3,390 bungkusan makanan.
Gunness mengulangi harapan UNRWA agar semua pihak menamatkan permusuhan dan mencari penyelesaian terhadap perselisihan mereka secara aman dan agensi itu pula dapat memasuki kawasan berkenaan secara kerap dan terus menerus bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan.
Dalam perkembangan berasingan, ketua Misi Bersama Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia dan PBB (OPCW-UN) mengumumkan pada Sabtu bahawa sehingga 19 April, Syria telah membuang atau memusnahkan kira-kira 80 peratus bahan senjata kimianya.
Sigrid Kaag, penyelaras khas misi bersama OPCW-UN, dalam kenyataannya berkata hasil perbincangan yang diadakan dijangka dapat "mengekalkan momentum itu dan menyelesaikan sepenuhnya operasi pembuangan bahan berkenaan dalam masa beberapa hari lagi".
Beliau menyuarakan keyakinan bahawa langkah itu akan dapat memenuhi tempoh  yang ditetapkan majlis eksekutif OPCW, termasuk tarikh akhir 30 Jun 2014 bagi memusnahkan sepenuhnya program senjata kimia Syria.
Kaag menyifatkan "pembaharuan fasa dalam gerakan itu" sebagai sesuatu yang "positif dan perlu dilakukan" bagi memastikan wujud kemajuan ke arah menepati tempoh yang ditetapkan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Kaag berkata Syria juga selesai memusnahkan semua bekas gas mustard kosong dan mencapai kemajuan dalam menghentikan pengeluaran senjata kimia serta tempat penyimpanan senjata itu.
Pembuangan bahan paling kritikal bermula pada awal Januari, sejajar dengan persetujuan yang diatur Rusia dan Amerika yang mewajibkan Syria membuang bahan senjata kimianya dan menyertai Konvensyen mengenai Pencegahan, Pembangunan, Pengeluaran, Penyimpanan dan Penggunaan Senjata Nuklear 1992.

No comments:

Post a Comment