Sunday, April 20, 2014

Perkasa aktiviti luaran, tumpu dakwah dan kebajikan

Para pendukung PAS di negeri ini perlu memfokus dan memperkasakan aktiviti luaran dengan menekankan kepada program dakwah dan kebajikan seperti penubuhan Badan Kebajikan, Pusat Khidmat Rakyat bagi menguasai pengundi sasaran.

Selain itu, mereka juga perlu menggembleng semua tenaga yang ada untuk aktiviti dakwah secara berkesan dengan mengajak dan memujuk semua orang untuk menerima dakwah kita tanpa putus asa.

Demikian antara kandungan resolusi Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu yang bertemakan Perkukuh Tarbiah Pertingkat Perjuangan di Pekan Kemasik, hari ini. Resolusi itu dibacakan oleh pengarah ijtimak yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Yahaya Ali.

Ijtimak dua hari bermula semalam itu dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Hadir sama pada majlis perasmian pagi tadi ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Berikut ialah resolusi ijtimak berkenaan.

Mengambil ‘PAS Terengganu Inklusif’ sebagai salah satu dasar gerak kerja PAS Terengganu dengan memastikan kesemua kepimpinan dan ahli mempunyai kefahaman yang jelas berkenaan dasar ini agar dapat diserapkan dalam perancangan aktiviti di semua peringkat.

Memfokus dan memperkasakan aktiviti luaran dengan menekankan kepada program dakwah dan kebajikan seperti penubuhan Badan Kebajikan, Pusat Khidmat Rakyat bagi menguasai pengundi sasaran serta menggembleng semua tenaga yang ada untuk aktiviti dakwah secara berkesan dengan mengajak dan memujuk semua orang untuk menerima dakwah kita tanpa putus asa.

Memperkukuhkan parti dengan menyusun gerak kerja yang lebih berstrategik dan bersistematik di semua peringkat termasuk membangunkan sistem pemantau berasaskan KPI mengikut kesesuaiannya.

Memperkasakan organisasi, kepimpinan dan ahli melalui sisitem pengurusan yang sistematik, engagement dan interaksi dengan pihak organisasi kerajaan, NGO dan swasta serta program-program kebajikan dan penerangan yang sampai ke hati rakyat.

Memantapkan aktiviti tarbiyah bagi melahirkan kepimpinan dan petugas gerakan Islam bagi meningkatkan komitmen, sanggup berkorban dan sentiasa melakukan islah atau penambahbaikan.

Menghadiri usrah bagi memperkasakan ukhuwah, kesetiaan kepada parti bagi memenuhi syarat-syarat kemenangan.

Menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan markaz bagi memantapkan kefahaman Islam.

Meningkatkan penerangan yang efektif dengan merancang dan mengkaji isu atau agenda yang hendak disebarkan kepada pihak awam.

Memperkasakan muslimat dengan latihan dan perkaderan bagi melahirkan kepimpinan muslimat yang menerajui perubahan generasi baru.

Memperkasakan Ameerah ke arah kepimpinan politik wanita muda yang memiliki jati diri dan berusaha melahirkan pendukung kepimpinan yang mampu menguasai pengundi muda dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment