Thursday, March 26, 2015

Antara Kalam Tuhan dan 'tafsiran manusia'

- Dari serambi musolla

Seringkali apabila Kerajaan Kelantan cuba menguatkuasakan undang-undang Hudud maka alasan yang seringkali digunakan oleh pihak yang menolak usaha murni ini ialah mereka sebenarnya menolak 'Hudud PAS' atau dengan kata lain hudud yang di olah dengan 'tafsiran manusia.' Kononnya mereka tidak menolak hukum Allah yang termaktub dalam Al-Quran atau teks asal hukum tersebut. Kelompok ini berkeyakinan hukum yang ditafsirkan oleh manusia itu boleh diterima atau ditolak namun Al-Quran sebagai sebuah kalam suci, kebenarannya tidak mungkin dipertikaikan sampai bila-bila.

Sekali diimbas kenyataan ini tidak ada salahnya dari segi kaedah atau prinsip, kerana sememangnya ijtihad atau tafsiran manusia keatas sesuatu teks asal dalam Al-Quran dan hadith terdedah kepada pelbagai ruang perbincangan ilmiah bergantung kepada dalil-dalil dan keterangan dari sumber yang lain yang sahih. Ulama-ulama silam telah mengakui hakikat ini dan mengiktiraf kewujudan pelbagai pendapat dalam sesuatu hukum.

Namun jika diperhati secara halus slogan ini tidak ubah sepertimana puak khawarij yang menggunakan slogan 'barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka dia kafir', Cuma bezanya mereka menggunakan slogan ini dalam bentuk kebalikan dari slogan yang digunakan oleh puak Khawarij. Saidina Ali pernah berkata tentang slogan puak Khawarij sebagai, "ungkapan yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah".

Begitu jugalah dengan slogan 'kami tidak menolak hukum Allah, namun kami menolak Hudud versi PAS'. Ia mempunyai maksud yang benar namun digunakan dengan tujuan yang salah.

Lebih jauh dari itu kenyataan ini ialah suatu kenyataan jahat yang seakan menyandarkan kepalsuan pula kepada ijtihad-ijtihad ulama PAS dan penggubal perundangan Syar'ie dengan mengatakan ijtihad mereka hanya 'tafsiran manusia'. Penggunaan istilah 'tafsiran manusia' sudah pasti mengundang kekeliruan kepada orang awam yang jahil selok belok agama dan menyangka ia boleh ditolak mentah-mentah sebegitu sahaja.

Pada saya ini adalah senjata terakhir bagi mana-mana pihak yang tidak mahu melihat hukum Allah terlaksana di atas muka bumi dengan cara yang paling berdiplomasi dan berhikmah. Dahulu UMNO adalah juara dalam berdalih dengan menggunakan alasan di atas, namun kini ia juga digunakan oleh orang Islam yang berfahaman liberal yang kini tidak berani menyuarakan penentangan mereka secara terbuka terhadap hukum Allah itu.

Saya ingin bertanya kepada pihak yang sering menggunakan alasan di atas, jika anda merasakan bahawa Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia', bagaimana pula dengan pegangan feqah yang kini digunapakai oleh umat Islam di Malaysia sehari-hari, termasuk diri anda sendiri? Adakah ia diambil terus dari Al-Quran dan hadith secara 'direct' dan bulat-bulat? Setahu saya, dari hal solat, puasa, zakat dan urusan haji semuanya di olah dari 'TAFSIRAN MANUSIA' (baca: tafsiran Ulama') oleh Imam Empat Mazhab yang terkemuka dalam Islam. Siapa diantara kita yang tidak bergantung kepada 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') ini dalam soal urusan agama?

Jika kita menolak 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') dalam soal urusan agama ini, adakah kita sudah cukup ALIM dan berkelayakan untuk mengolah dan mengistinbat sesuatu hukum mahupun berijtihad dengan displin-disiplin berpandukan kaedah-kaedahnya tersendiri...tidak bukan?? Berapa ratus ribu hadith berserta sanadnya yg kita hafal? sudahkah kita menghafaz Al-Quran dengan memahami uslub, menguasai Tafsir dan isi kandungannya? Bagaimana pula dengan kitab-kitab muktabar karangan Ulama'-ulama terbilang sepanjang zaman yang terdahulu? Sudahkah kita menguasainya?

Pada saya , jika lidah kita lebih ringan menyebut perkataan Inggeris dari perkataan Arab jangan mimpilah nak mentafsir dan menjelaskan isi Al-Quran dan hadith.

Sedangkan Kitab 'Fiqh Sunnah' karangan Syed Sabiq yang cuba keluar dari tafsiran mazhab dengan melihat masalah Fiqh dari sudut kontemporari pun adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). Saya tidak tahu bagaimana lagikah yang dimaksudkan oleh pengguna slogan tadi dengan definisi 'tafsiran manusia'.

Jika anda merasakan Enakmen Jenayah Syariah 1993 adalah 'tafsiran manusia' silalah anda bersolat atau berpuasa dengan cara yang tersendiri tanpa perlu merujuk kepada Ulama'-ulama yang telah berjasa dalam bidang ilmu Islam kerana ia adalah 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') semata-mata.

Barangkali pendukung fahaman Islam liberal percaya Islam boleh ditafsirkan mengikut pemahaman dan selera pemikiran manusia itu sendiri. Jika itu yang mereka percaya saya juga boleh menggunakan hujah yang sama iaitu, "itu adalah tafsiran anda (tafsiran manusia) sedangkan kalam Allah adalah suci sama sekali dari apa yang anda perkatakan, bagaimana anda boleh begitu yakin dengan tafsiran anda sendiri (baca; tafsiran manusia) terhadap agama sedangkan tafsiran anda hanya lahir dari pemikiran anda yang dangkal (baca: tafsiran manusia)".

Suatu hakikat yang pasti ialah sejak kewafatan Rasulullah s.a.w, tiada lagi pihak yang dapat mentafsir, menghadam dan memahami isi kandungan Al-Quran dan hadith melainkan manusia (baca: Ulama'). Ini kerana risalah Islam bukan diturunkan kepada binatang, atau pohon kayu mahupun gunung ganang. Tugas menyebar dan memahamkan manusia kepada risalah Islam ini terbeban kepada bahu manusia (baca: Ulama'). Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Ulama' adalah pewaris para Nabi" (HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda radhiallahu ‘anhu).

Jika agama tidak dibenarkan untuk di'tafsir' oleh manusia kerana bimbang 'kesucian' ajarannya tercemar, siapa lagi yang kita boleh serahkan kepercayaan untuk mentafsir dan memahami urusan agama ini? adakah kita serahkan kepada haiwan atau patung yang tidak boleh berkata-kata?

Hakikatnya kita perlu akur bahawa mahu tidak mahu mesti ada 'manusia' (baca: Ulama') yang bertindak sebagai pengantara, penjelas dan pentafsir dalam urusan agama ini. Cuma persoalan yang mungkin timbul ialah sejauhmana tafsiran Ulama' itu tadi menepati kehendak sebenar Al-Quran dan hadith.

Jika kebimbangan itulah yang menjadi faktor utama maka mengapa tidak anda sendiri mengemukakan tafsiran yang lebih tepat, jika anda merasakan tafsiran pihak lain adalah salah dan tidak menepati kehendak Kalam Allah yang suci?

Sesuatu yang menarik ialah golongan yang menggunakan alasan ini tidak pula mengemukakan sesuatu yang lebih 'asli dan suci' dari apa yang mereka sifatkan sebagai 'tercemar' kerana ia hanya 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama'). UMNO yang lantang menggunakan senjata itu sejak dahulu lagi namun hingga ke hari ini mereka hanya sekadar menjadi 'Pak angguk' dalam Sidang DUN Kelantan ketika pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah 1993 dibentangkan. Begitu juga pihak-pihak lain yang kini sudah pandai meniru cara UMNO berdolak-dalih dalam isu ini.

Hakikatnya hingga ke hari ini pihak yang mengajukan kebimbangan tadi tidak melakukan apa-apa tindakan pun apatah lagi menzahirkan sebarang hasrat ke arah itu.

Apabila mereka sedar mereka ketandusan hujah dan dalil, mereka beralih kepada fiqh awlawiyat sebagai benteng terakhir. Kononnya suasana belum kondusif dan ia bukan keutamaan mereka buat masa ini. Permainan ini nampaknya menyelamatkan mereka.

Timbul persoalan, benarkah mereka menolak apa yang di sebut sebagai 'tafsiran manusia' (baca: tafsiran Ulama') atau sebenarnya ada udang di sebalik mee??


Wednesday, March 11, 2015

Pasar raya pamer harga sebelum selepas GST dikesan

  • KPDNKK
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu mengesan tindakan sebuah pasar raya yang beroperasi di dua tempat di sini meletakkan tanda harga mengelirukan dalam satu operasi, semalam.

Pengarahnya Mohd Nor Musa berkata pihaknya menerima aduan dari pengguna mengenai pasar raya itu yang meletakkan tanda harga barangan sebelum dan selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di beberapa rak barangan.

"Bertindak atas aduan itu, 10 pegawai penguatkuasa KPDNKK Terengganu melakukan pemeriksaan di dua cawangan pasar raya tersebut iaitu masing-masing lima pegawai di cawangan Bukit Kecil di sini dan Wakaf Tembesu di Gong Badak.

"Hasil pemeriksaan mendapati...tanda harga yang dipamerkan selepas GST itu tidak mengikut perkiraan sebenar seperti mekanisme pengiraan Jabatan Kastam Diraja Malaysia," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini hari ini.

Sehubunghan itu, PPDNKK Terengganu menyita tiga barangan iaitu cecair pelembut fabrik, susu Dutch Lady dan cecair mandian bayi yang kesemuanya bernilai RM999.20.

Mohd Nor turut mengingatkan agar semua pasar raya dan peniaga agar mendapatkan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan GST dan tidak menyebabkan pengguna panik dengan khabar angin tentang kenaikan harga selepas penguatkuasaan GST pada 1 April nanti.

"Sehubungan itu, kita berharap orang ramai akan terus melaporkan kepada PPDNKK jika terdapat kekeliruan seumpama ini yang dilakukan mana-mana peniaga," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, proses siasatan masih dijalankan dan jika sabit kesalahan, pemilik pasar raya berkenaan boleh didenda RM250,000 mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999. - Bernama

Satu bas kena tahan reman

  • Satu bas kena tahan remanSebahagian daripada 14 individu yang direman di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.
 1 / 1 
IPOH – Seramai 14 individu termasuk empat anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes rasuah.

Tinjauan Sinar Harian di luar Mahkamah Majistret Ipoh mendapati mereka tiba menaiki bas milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 11 pagi.

Mereka masuk ke dalam mahkamah diiringi anggota polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman mengikut Sekyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Rahimah Rahim.
Empat anggota TLDM termasuk seorang wanita disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu menerima rasuah yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.

Manakala, 10 individu lain termasuk seorang wanita pula disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta yang sama iaitu memberi atau menawarkan rasuah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sama seperti yang termaktub dalam Sekysen 17(a).

Selepas kira-kira satu jam kemudian, prosiding selesai, mereka dibawa keluar dari mahkamah menaiki bas yang sama untuk tindakan lanjut.

Sebahagian daripada 14 individu yang direman di Mahkamah Majistret Ipoh, semalam.

Dua individu dikesan sertai IS melalui umrah

  • Khalid Abu BakarKhalid Abu Bakar
 1 / 1 
KUALA LUMPUR – Polis mengenal pasti dua individu yang menyertai kumpulan militan IS melalui ibadat umrah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata,  dua individu terbabit bergerak secara berasingan pergi umrah melalui agensi yang menawarkan pakej umrah , namun menyertai kumpulan militan IS di Syria.

“Saya menegaskan mereka menyertai IS ini bukan bertujuan untuk berjihad, kalau dia boleh menipu pergi umrah tetapi menyertai IS, apa maknanya,” katanya.

Khalid berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang berusaha untuk mengusulkan undang-undang baru dalam sidang Parlimen bagi menangani isu IS.

“Kita berharap kerajaan dapat menggubal undang-undang baru untuk menangani isu IS dengan lebih berkesan.

“Masalah ini serius, kita jangan ingat ia perkara remeh, kalau kita tidak tangani dengan betul, ia boleh jadi masalah besar kelak,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mendedahkan modus operandi terbaru ini, maklumat itu diperolehi hasil kerjasama serta perkongsian maklumat dengan negara-negara tertentu termasuk anggota-anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Hamzah berkata, pihaknya mengetahui tentang cara-cara digunakan individu tersebut yang ingin menyertai gerakan militan IS.

"Ada juga dikesan pergi umrah tetapi bila sampai di Madinah mereka hilang,” katanya.

Hamzah berkata, kementeriannya akan meneruskan kerjasama dengan negara luar bagi mengetahui lebih mendalam cara-cara digunakan kumpulan itu, dan seterusnya mengekang penularan gerakan militan IS.

Kini terdapat 61 rakyat Malaysia dikesan berada di Syria dan daripada jumlah itu seramai 10 orang adalah wanita manakala jumlah tangkapan terkini di negara ini terhadap mereka yang disyaki terlibat dengan IS mencecah 71 orang.

Nik Abduh sokong Ahmad Fathan

  • Nik Abduh sokong Ahmad FathanNik Abduh (tengah) ketika berbincang sesuatu dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah (kanan) dengan Setiausaha Pas Negeri, Zulkifli Mamat.
 1 / 1 
KOTA BHARU – Walaupun calon PRK Dun Chempaka bukan terdiri daripada keluarganya, namun Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tetap memberi sepenuh sokongan kepada Ahmad Fathan Mahmood sebagai calon bagi PRK Dun Chempaka kali ini.

Menurutnya, pemilihan tersebut adalah yang terbaik bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat Dun tersebut yang digalas arwah bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau ditanya mengenai pencalonan Ahmad Fathan yang dikatakan bukan dari keluarganya, Nik Mohamad Abduh berkata, itu bukan satu isu memandangkan ramai pemimpin yang layak dan telah dipilih oleh kepimpinan tertinggi Pas.

“Pada saya Dun ini yang layak, malah Ustaz Fathan pun terdiri daripada kepimpinan parti di Pengkalan Chepa, malah saya sokong hingga dua ratus peratus,” katanya kepada media di pusat penamaan calon di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, semalam.

Menurutnya, beliau dan arwah Tok Guru tidak pernah meletakkan sesebuah tempat itu sebagai kawasan kepimpinan tradisi keluarga, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi untuk menentukan di mana dan siapa yang layak menjadi pemimpin di sesebuah tempat.

“Sebab itu bila saya ke Pasir Mas pun perkara biasa bagi parti, semuanya kepimpinan yang tentukan, itu tradisi yang lebih terbuka, kalau main isu keluarga ini ia akan jadi tertutup, dan itu bukan ajaran agama,” katanya.

Malaysia persoal kredibiliti White House

  • Ahmad Shabery CheekAhmad Shabery Cheek
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mempersoalkan kredibiliti sistem petisyen White House apabila menolak petisyen Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk satu malam sahaja.

Beliau juga tidak boleh menerima kelemahan sistem IT yang diguna pakai White House itu kerana kesilapan itu hanya akan menjadi bahan jenaka masyarakat dunia.

"Amerika Syarikat sepatutnya ada sistem IT yang tercanggih. Apatah lagi sistem ini diguna pakai mereka.

"Hari ini kata ada kesilapan. Bayangkan misalnya kes-kes ini berlaku di Malaysia, sudah pasti ia jadi tajuk dunia dan diketawakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Rumah Putih itu semalam yang kecewa dengan penolakan petisyen rayuan terakhir Anwar di saat akhir disebabkan masalah teknikal sistem teknologi maklumat kedutaannya di Malaysia.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut melahirkan rasa kecewanya apabila petisyen menuntut campur tangan kerajaan Amerika itu diteruskan walaupun terdapat unsur penipuan.
"Petisyen ini ditandatangani oleh orang yang sama dan berlaku penipuan. Hari ini berubah, penolakan itu ada kesilapan teknikal," katanya lagi.

Coklat Cadbury tertera gambar babi?

  • Coklat Cadbury tertera gambar babi?Coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang didakwa tertera gambar babi.
 1 / 2 
SHAH ALAM - Cadbury Malaysia hari ini menafikan bahawa coklat jenis Cadbury Milk Kids 20g yang tertera gambar babi adalah keluarannya.
 
Ketua Perhubungan Hal Ehwal Korporat Cadbury, Raja Zalina Raja Safran berkata, produk tersebut adalah produk import dan bukan dihasilkan di Malaysia.
 
“Produk ini diimport pihak ketiga yang bebas mengimport mana-mana produk keluaran luar negara. 
 
“Pengimportan atau pembelian mana-mana coklat keluaran Cadbury oleh pihak ketiga adalah di luar kawalan pihak Cadbury Malaysia dan kami tidak mempunyai hak untuk menyekat mahupun mengawal mana-mana pihak yang ingin membeli dan menjual produk-produk tersebut.
 
“Sekiranya pengguna ingin maklumat lanjut tentang produk tersebut sila hubungi pihak penjual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Jelas Zalina coklat Cadbury keluaran Malaysia adalah dijamin halal oleh itu beliau menasihati pengguna agar hanya memilih coklat Cadbury keluaran Malaysia bagi mengelak berlakunya sebarang pembelian yang mengelirukan.
 
“Kami ingin meyakinkan para pengguna bahawa kesemua Coklat Cadbury yang diperbuat di Malaysia mematuhi Sijil Halal Malaysia dan ia merangkumi lokasi dan bahan-bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran produk berkenaan. 
 
“Jadi nasihat kami, pengguna harus memilih Coklat Cadbury keluaran Malaysia,” jelasnya.
 
Terdahulu, seorang pengguna telah meluahkan perasaan tidak puas hatinya di media sosial apabila, terbeli coklat Cadbury bergambar babi baru-baru ini.

Tweet KPN bukan ada motif politik

  • Ahmad Zahid HamidiAhmad Zahid Hamidi
 1 / 2 
KUALA LUMPUR - Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan melalui akaun Twitternya bukan bertujuan menakutkan pihak tertentu atau bermotifkan politik, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersikap profesional, tidak memihak dan sentiasa mengekalkan undang-undang serta ketenteraman awam, mencegah dan mengesan penjenayah dengan pendekatan tanpa gentar atau pilih kasih.

"Sehubungan itu PDRM memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan yang diambil melalui Twitter dengan mengambil kira perkara-perkara yang boleh menimbulkan kebimbangan orang awam dan kejayaan dicapai oleh PDRM," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) mengenai kesesuaian tindakan Ketua Polis Negara menggunakan Twitter untuk mengeluarkan arahan bagi mengambil tindakan menahan individu.

Ahmad Zahid berkata, hebahan sebegitu tidak menyalahi sebarang undang-undang serta peraturan yang sedia ada dan mudah serta cepat disebarkan kepada masyarakat umum.

Beliau berkata, PDRM memandang serius kerana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai kepentingan telah menggunakan media sosial untuk mempengaruhi atau menghasut pihak ketiga sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Justeru itu, semua pihak perlu menitikberatkan langkah pengawalan dan waspada bagi mengelak tercetusnya sentimen perkauman dan keagamaan," katanya. - Bernama

Presiden Pas tidak pernah dicabar

  • Datuk Tuan Ibrahim Tuan ManDatuk Tuan Ibrahim Tuan Man
 1 / 1 
SHAH ALAM - “Kalau Datuk Husam (Musa) berkata 10 kali beliau pun tidak padan lagi dibandingkan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, saya yang berketinggian lima kaki dua inci pun mungkin ketinggalan lebih 5.2 kali di belakang Abdul Hadi dari segi kepimpinan,” demikian ujar Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Menerusi kenyataannya semalam, beliau bertegas menolak pencalonan dari Pas Kota Bharu yang mencalonkannya untuk mencabar Presiden parti, Abdul Hadi bagi Pemilihan Pas 2015.
 
Tambah Tuan Ibrahim, beliau merasakan pencalonan tersebut tidak membina keutuhan parti itu.
 
"Dalam Pas jawatan bukanlah menjadi rebutan sebagaimana parti lain. Pertandingan berlaku hanyalah di atas sifat 'fastabiqul khairat' (berlumba melakukan kebaikan).
 
“Pencalonan saya untuk mencabar Abdul Hadi sebagai presiden merupakan satu kejutan. Dalam sejarah kepimpinan Pas, jawatan presiden tidak pernah dipertandingkan khususnya di era kepimpinan ulama. Saya melihat manisnya jika kita yang mendokong kepimpinan ulama, terus mengekalkan budaya tersebut.,” katanya.
 
Tuan Ibrahim sebelum ini  dicalonkan Pas Kawasan Kota Bharu untuk mencabar penyandang bagi jawatan presiden parti tersebut, Abdul Hadi pada muktamar parti itu awal Jun ini.
 
Pengumuman pencalonan tersebut dibuat yang dipertuanya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada satu mesyuarat khas Isnin.
 
Jelas beliau lagi, Abdul Hadi merupakan seorang pemimpin yang mempunyai kejayaan luar biasa dan  prestasi yang sangat hebat.
 
"Kalau Kesatuan Ulama Sedunia mengangkat beliau (Hadi) sebagai orang nombor dua di dunia, apakah wajar kita mencadangkan untuk menggantikan beliau? Saya bimbang kita memberi isyarat yang tidak baik kepada masyarakat luar.
 
"Saya menolak pencalonan tersebut dan menyeru semua kawasan lain agar terus mendokong kepimpinan Hadi sebagai presiden parti. Biarlah orang lain kata tak setuju dengan ayah kita, tapi jangan pula anak-anak kata begitu," ujarnya lagi.

Tidak rasional kalau lawan Presiden Pas

  • Datuk Takiyuddin HassanDatuk Takiyuddin Hassan
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan hanya individu yang tidak rasional akan menerima pencalonan untuk mencabar kedudukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas.

Beliau berkata, secara tradisinya, seseorang presiden Pas tidak pernah dicabar oleh mana-mana individu lain kecuali transisi kepimpinan dilakukan atas sebab mengisi kekosongan seperti kematian.

 "Secara rasionalnya, tiada sesiapa yang akan menerima pencalonan bagi mencabar Abdul Hadi pada pemilihan kali ini melainkan mereka yang tidak munasabah sahaja akan berbuat demikian," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Pas Kota Bharu mengulas tindakan Pas Kota Bharu yang mencalonkan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi jawatan Presiden Pas namun beliau menolaknya semalam.

Beliau berkata, Abdul Hadi masih berkelayakan untuk menerajui tugas sebagai presiden parti itu dan tiada keperluan untuk mencabar jawatan nombor satu itu pada Muktamar Tahunan Ke-61, Pas Pusat pada Jun depan.

"Presiden parti (Abdul Hadi) dilihat masih berwibawa bagi meneruskan agenda parti berikutan ketokohannya sebagai seorang ulama," kata Takiyuddin.

Menurutnya alasan faktor kesihatan Abdul Hadi juga tidak boleh diterima pakai bagi melepaskan jawatan itu.

"Jika berlaku pertandingan jawatan presiden, ini menjadi sesuatu yang pelik dalam parti," katanya.

Semalam, Tuan Ibrahim dilapor berkata pencalonannya untuk mencabar presiden disifatkan sebagai kejutan yang tidak akan membina keutuhan parti.

Sementara itu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pas-Kuala Terengganu) berkata, masih terlalu awal untuk semua pihak membuat spekulasi berhubung pencalonan mencabar presiden parti.

"Semua pihak layak menawarkan pencalonan untuk mencabar jawatan presiden.

Tuan Ibrahim juga antara calon terbaik dan pencalonan calon baru juga suatu tanda sihat," katanya.

Abdul Hadi menyandang jawatan presiden Pas sejak 2002 berikutan kematian

Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor. - Bernama

MP Umno: Menteri Kabinet pun kena isytihar harta

  • Bung Mokhtar Radin
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kinabatangan (BN), Datuk Bung Moktar Radin berpandangan Menteri Kabinet juga perlu mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat sepertimana yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
 
Jelasnya, dengan cara tersebut rakyat akan lebih yakin dengan menteri sekali gus dapat memperlihatkan sisi jujur dan amanah perilaku menteri yang dipertanggungjawabkan mentadbir negara. 
 
“Seharusnya begitulah (isytihar harta),” katanya ringkas kepada Sinar Online.
 
Sementara ditanya bagaimana pula dengan dirinya, Bung berkata beliau bukanlah seorang menteri dan berpandangan beliau tidak perlu berbuat demikian.
 
“Saya bukan menteri, hanya ahli parlimen biasa,” katanya.
 
Rafizi semalam dalam satu sidang media mendedahkan bahawa beliau memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM11,171, di samping mendapat faedah sebanyak RM4,000 sebulan daripada simpanan Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera.
 
Di samping mendapat RM3,000 sebulan sebagai perunding korporat, beliau juga mengisytiharkan mempunyai aset sebanyak RM1.56 juta dan hutang RM395,937.

PERDANA MENTERI PERLU PERJELAS DESAS-DESUS SUNTIKAN DANA BARU KE DALAM 1MDB




Sejak isu masalah kewangan 1MDB dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, desas-desus mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB terus menjadi spekulasi. Ini diperkuatkan lagi selepas pertemuan Najib  Razak dengan ketua-ketua bahagian Umno pada 8 Mac 2015 baru-baru bila mana presiden Umno itu dilaporkan memberi penerangan lanjut mengenai 1MDB.

Saya diberikan maklumat oleh seorang Ketua Bahagian Umno yang hadir di dalam pertemuan pada 8 Mac 2015 itu bahawa penerangan mengenai 1MDB itu dilaporkan berkisar sekitar masalah aliran tunai 1MDB. Maklumat itu turut mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menyuntik RM900 juta dana baru ke dalam 1MDB untuk membantu masalah aliran tunai 1MDB. Daripada jumlah RM900 juta dana baru itu, pemberi maklumat itu mendakwa RM300 juta telah pun disalurkan kepada 1MDB.

Dakwaan ini adalah satu dakwaan yang berat dan melibatkan kepentingan awam kerana kedudukan kewangan 1MDB adalah berisiko besar. Adalah dibimbangi sebarang suntikan dana baru oleh Kerajaan Persekutuan berkemungkinan tidak boleh dibayar kembali oleh 1MDB.

Ada juga spekulasi bahawa satu jumlah yang besar telah pun dipindahkan kepada 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri tetapi jumlah suntikan itu (ada yang merujuk sebanyak RM3 bilion) tidak diluluskan oleh Jemaah Menteri.

Maklumat dari taklimat Najib Razak kepada Ketua-ketua Bahagian Umno dan spekulasi yang timbul mengenai kemungkinan suntikan dana baru kepada 1MDB yang tidak diumumkan kepada rakyat ini perlu diberi perhatian segera.

Selama ini pun, segala urusan 1MDB dijalankan tanpa ada pertanggungjawaban kepada rakyat atau Parlimen hinggalah jumlah hutangnya mencecah RM42 bilion setakat tahun kewangan 2014. Untuk mengelakkan keadaan ini berlanjutan, sebarang dakwaan dan spekulasi mengenai suntikan dana baru ke dalam 1MDB perlulah diberi perhatian segera.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya  Najib Razak mendedahkan minit mesyuarat Jemaah Menteri mengenai 1MDB dan suntikan dana ke dalam 1MDB. Beliau juga perlu memberi penjelasan mengenai maklumat dari taklimat Ketua-ketua Bahagian Umno bahawa suntikan baru RM900 juta telah pun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada 1MDB. 

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN