Monday, March 3, 2014

Orang ramai diingatkan pakai topeng muka ketika jerebu

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah awal termasuk memakai topeng muka ketika kawasan mereka dilanda jerebu.
  
Beliau berkata setakat ini tahap bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah tidak berbahaya berikutan kejadian kebakaran hutan di beberapa kawasan seluruh negara yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.
  
"Orang ramai diminta menjaga kesihatan mereka, jangan terlalu lama terdedah pada cuaca panas ketika melakukan aktiviti luar dan kerap minum air masak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Persatuan India Kinta semalam.
  
Mengulas jumlah kes denggi yang dilihat kian meningkat, Subramaniam berkata kesedaran rakyat berhubung kebersihan perlu dipertingkat bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes di kediaman mereka.
  
Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan sewajarnya dengan mempertingkat kualiti dalam melakukan kerja-kerja pembersihan.
  
"Di peringkat negeri, pengarah kesihatan selalu mengadakan mesyuarat melibatkan wakil semua pihak," katanya.
  
Sebanyak 38 kematian akibat denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama pada 2013.

Kursus kemahiran sambil jana pendapatan RM1,500

Golongan belia Selangor yang terpilih menyertai program latihan sambil bekerja anjuran kerajaan negeri akan menerima pendapatan minima RM1,500 sebulan.

Program yang dimulakan dengan sesi pembelajaran secara teori dan amali di beberapa kolej turut membabitkan latihan sambil kerja di pangsapuri yang diuruskan syarikat milik kerajaan negeri itu antaranya program latihan sebagai juruteknik paip, juruteknik elektrik dan ‘Chargeman’ untuk kerja menyelenggara serta membaiki lif.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata latihan itu adalah sebahagian daripada program pembangunan desa dan bandar yang dilancarkan kerajaan negeri pada hujung tahun lalu dengan peruntukan RM50 juta.

“Kerajaan negeri bercadang tiga atau empat juruteknik yang akan menolong menyelenggara pangsapuri terdiri daripada mereka yang dilatih sebagai jurupaip, juruelektrik dan ‘chargeman’ untuk selenggara lift.

“Kita berikan latihan selama enam bulan di kolej dan kemudian dihantar ke pangsapuri untuk menjalani latihan sambil kerja. Ada banyak kolej yang sedia menawarkan tempat untuk peserta ini seperti Kolej Antarabangsa Inpens (Industri Pendidikan Negeri Selangor),” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media yang diadakan selepas merasmikan Perhimpunan Perdana Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dan Anugerah Komuniti Bestari ‘K-Star’ Pangsapuri Selangor 2013, di sini, semalam.

Sebelum itu, Abdul Khalid mengingatkan tanggungjawab pihak pengurusan yang bukan sahaja mengutip yuran penyelengaraan tetapi harus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk pangsapuri masing-masing ketika merasmikan majlis yang dihadiri kira-kira 200 hadirin terdiri daripada jawatankuasa pengurusan JMB dan MC pangsapuri di Selangor.

Dalam majlis penyampaian anugerah itu, Pangsapuri Tun Teja, Rawang dipilih sebagai pemenang pertama bagi kategori ‘K-Star’ dan diikuti pemenang bersama tempat kedua, Pangsapuri Anggerik dan Pangsapuri Nusa Kurnia.

Sementara itu, Pangsapuri Pendamar, Klang dipilih pemenang bagi kategori ceria dan diikuti Pangsapuri Kenanga, Kajang di tempat kedua, manakala Pangsapuri Sri Melewar pula dipilih sebagai pemenang anugerah khas juri ‘K-Star’.

Abd Khalid: Tidak maklum MoU kerana terikat undang-undang


Abd Khalid menunjukkan MoU yang ditandatangani sambil diperhatikan Ahmad Yakob (dua dari kiri).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakannya tidak memaklumkan Perjanjian Persefahaman (MoU) kerajaan negeri itu dengan kerajaan pusat berkaitan penstrukturan semula industri air di Selangor kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah disebabkan terikat dengan undang-undang.
  
Beliau berkata peruntukan undang-undang melarangnya membuat kenyataan berhubung perkara itu, dan jika perlu, hendaklah dilakukan secara tertib bagi mengelak syarikat yang mengendali air di Selangor, terjejas di pasaran saham.
  
"Syarikat yang mengendalikan air di Selangor tersenarai di pasaran saham dan tidak boleh dibincang secara terbuka kepada umum," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU dengan kerajaan negeri Kelantan semalam.
  
Abdul Khalid diminta mengulas dakwaan pemimpin PKR bahawa beliau tidak memaklumkan perkara itu terlebih dahulu sebelum memeterai MoU dengan kerajaan pusat berhubung penstrukturan semula industri air di Selangor.
  
Pada 26 Feb lepas, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menandatangani MoU untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang berlanjutan sejak 2008.
  
MoU antara Kelantan dan Selangor ialah bagi kerjasama kepakaran membabitkan tujuh perkara iaitu Pendidikan, sistem gadaian Islam Ar Rahn, Pusat Makanan Halal, Perundangan, Pembangunan Siber, Pemasaran Produk dan Air.
  
Kelantan diwakili Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob manakala Selangor oleh Abdul Khalid.

200 hektar kawasan ladang rakyat Lembah Bidong terbakar

Kebakaran hutan tanah gambut di kawasan Ladang Rakyat, Lembah Bidong di sini yang masuk hari ke-6 semalam membabitkan kawasan seluas 200 hektar.
  
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Abdullah Zawawi Mohamed berkata bomba setakat ini berjaya memadamkan api di kawasan seluas 65 hektar manakala 135 hektar lagi masih terbakar.
  
"Kita mengesan kebakaran hutan ini sejak enam hari lalu dan ini merupakan kebakaran kedua terbesar selepas di Kampung Tok Kah, Dungun yang dilaporkan terbakar sejak 26 Jan," katanya kepada Bernama di sini semalam.
  
Katanya bagi mengelakkan kebakaran terus merebak, pihaknya telah melakukan beberapa kaedah seperti melakukan pancutan air secara berterusan, membuat halangan api serta  membanjirkan kawasan tanah gambut yang telah terbakar.
  
Selain itu, katanya bomba juga telah berjaya memadamkan api di kawasan seluas 15 hektar daripada 22 hektar yang terbakar berhampiran Ladang Tabung Haji di Lembah Bidong.
  
Mengenai kebakaran hutan di Kampung Tok Kah, katanya hanya tinggal 15 hektar lagi kawasan masih terbakar dari keseluruhan 411 hektar yang dikenal pasti terbakar.

Denggi: 764 kes dengan dua kematian di Kelantan

Sebanyak 764 kes denggi, dua daripadanya membabitkan kematian, dilaporkan di Kelantan sejak awal Januari lepas sehingga semalam, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher.
  
"Orang ramai di negeri ini diminta segera membersihkan kawasan kediaman masing-masing daripada sarang pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan demam denggi," katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Inisiatif Wisma Persekutuan Bebas Asap Rokok (WISBAR) di Wisma Persekutuan di sini, semalam.
  
Majlis pelancaran itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.
  
Sementara itu, Dr Ahmad Razin berkata satu pelan tindakan khas telah diambil oleh pihaknya dalam usaha mengurangkan peratusan perokok di kalangan masyarakat di negeri itu. -

Mustapha janji Lebuhraya KB-Kuala Krai diteruskan April ini

Kerja-Kerja pembinaan Fasa 1B Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai sejauh 7 kilometer di Kelantan membabitkan kos RM168.5 juta dijangka bermula April depan.
  
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan pusat telahpun mengeluarkan surat melaksanakan projek fasa 1B dari Pasir Hor ke Kadok di sini, kepada sebuah syarikat tempatan.
  
"Masih terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan dan saya dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan akan memasuki tapak pada 7 April ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Wisma Persekutuan Bebas Asap Rokok (Wisbar) di sini semalam.
    
Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, berkata projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
  
Beliau berkata pihaknya akan berusaha mempercepat proses fasa 2A iaitu pembinaan lebuh raya dari Kadok ke Ketereh, sejauh 6.4 kilometer.

"Kita tengah berusaha supaya tender dapat dikeluarkan lebih awal kerana kita tahu yang walaupun tender dikeluarkan awal, tetapi keputusan mungkin tahun depan," katanya.
  
Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata pihaknya akan mencari jalan bagi membina lebuh raya itu, keseluruhannya sepanjang 74 kilometer, yang menghubungkan negeri Terengganu.
  
"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh kerana kita tahu yang lebuh raya ini merupakan projek yang penting dan setakat ini ada dua fasa, projek ini tidak berakhir di sini sahaja," katanya.
  
Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Datuk Makhtar Mustapha, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Jaga nama baik Harimau Malaya - Nasrudin

“Jaga nama baik Harimau Malaya,” tulis Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan menerusi facebook.

Beliau mengulas perlawanan persahabatan antara pasukan bola sepak negara itu dengan pasukan Filipina di Stadium Selayang, Sabtu lalu

Katanya, Harimau Malaya adalah pasukan bolasepak yang perlu kepada disiplin yang tinggi, justeru pertandingan itu bukan hanya soal kemenangan tetapi juga maruah dan nilai.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat berkesempatan menyaksikan perlawanan persahabatan berkenaan yang telah dicemari insiden menyala dan membaling suar ke padang.

Sebagai peminat Harimau Malaya, beliau agak terkilan dengan insiden yang menjatuhkan reputasi pasukan negara di mata dunia.

Katanya, walaupun para pemain Harimau Malaya tidak terlibat tetapi penonton juga adalah sebahagian dari pasukan.

“Saya berharap situasi ini tidak berlaku lagi di masa akan datang. Kawal emosi dengan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya lagi.
Perlawanan persahabatan itu kesudahan dengan keputusan 0-0.

Menzahirkan budaya dialog dan kedamaian di sidang Tehran


Dr Mujahid (dua dari kiri) ketika mewakili Parlimen Malaysia  dalam sidang antarabangsa di Tehran.

16 Februari 2014

BILIK Mesyuarat Zamrud masih kosong dari kehadiran perwakilan walaupun jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi waktu tempatan. Hanya pihak penganjur sibuk memastikan bilik kecil para penterjemah dan alat pendengar siap digunakan.
Tanda nama Malaysia sebagai anggota tetap siap di tempatnya. Saya mengambil tempat duduk di sebelah diapit oleh negara Oman dan Maghribi manakala di depan saya adalah perwakilan Mesir dan Indonesia.
Kertas sikap Malaysia dan cadangan untuk tambahan berselerak di depan saya, apatah lagi tajuk dialog tamadun dan antara agama sememangnya menjadi minat utama saya selama ini.

MESYUARAT BERMULA
Wakil Senegal dilantik menjadi pengerusi manakala pihak sekretariat sebagai setiausaha. Agenda mesyuarat adalah membaca draf resolusi dalam tiga bahagian iaitu  Budaya,Dialog dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah di mana ada 10 draf resolusi yang perlu dibaca dan diberikan persetujuan untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk lalu diadaptasi nanti dalam resolusi konferensi besar pada 18 dan 19 Februari nanti.
Kami akan bahas dan jika ada butiran baru untuk ditambah akan diberi peruntukan untuk dibaiki dalam deraf yang muktamad nanti.

PANDANGAN IRAQ DAN SYRIA
Syria bukanlah anggota tetap jawatankuasa ini, mereka adalah anggota pemerhati begitu juga Iraq namun atas kepentingan isu mereka diberi ruang untuk bercakap dahulu.
Kedua-dua negara ini bercakap tentang peranan beberapa negara Arab yang mendorong berlakunya suasana huru-hara di negara masing-masing.
Kemasukan pejuang luar Syria dan luar Iraq dikaitkan mendapat sokongan kewangan dari Arab Saudi dan beberapa negara Teluk termasuk fatwa takfir dari Saudi yang menghalalkan darah sesama muslim menjadi tajuk perbahasan.
Syria bercakap menggunakan teks manakala Iraq menuntut supaya draf resolusi memasukkan isu takfir dan campurtangan sebahagian Negara Teluk yang menyebabkan pembunuhan sesama muslim di kedua negara ini.
Saya bercakap kemudian dengan menjelaskan sikap Malaysia dalam hal hubungan antara agama dan realiti yang Malaysia hadapi berbeza dari negara Islam lain dari sudut komposisi.
Saya menyatakan pengalaman Malaysia masih di tahap lebih baik dalam menguruskan hubungan ini dengan mengambil sikap terbuka walaupun tidak dinafikan ada pihak yang telah salah guna isu ini.
Malaysia mencadangkan supaya sebab kepada keganasan antara agama dan kaum mesti diselesaikan juga melalui perundangan yang melibatkan hak kebebasan memberi pandangan dan kebebasan beragama.
Negara OIC (Organization of Islamic Conference) perlu ada perundangan ini di sebalik pendekatan dialog yang melibatkan semua pihak.
Saya berkongsi konsep Artikel 3 dan 11 yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk UNDHR dan resolusi PBB mengecam sebarang bentuk indiskrimanasi atas sebab agama.

PERBAHASAN WEHDAH UMMAH
Pandangan saya dipersetujui oleh Oman, Iran dan Iraq  namun isu perbalahan antara mazhab dan sesama muslim tidak ditegaskan. Fatwa yang memudaratkan hubungan termasuk takfir perlu diberi perhatian dalam resolusi.
Saya menambah bahawa dialog antara mazhab juga penting dan semua ulama yang berpengaruh diminta untuk mengadakan pertemuan, lalu semua pihak mengeluarkan sikap kedamaian yang dianjurkan Islam bagi melahirkan kesatuan tanpa mengira mazhab termasuk sunni ataupun syiah. 
Kesatuan Parlimen OIC mesti mendesak seruan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama bagi memberhentikan kegilaan membunuh sesama saudara muslim di Iraq dan Syria termasuk di Yaman.
Jadi tambahan baru Malaysia ini bersesuaian dengan semangat wasatiyyah dan politik dialog telahpun dipanjangkan pada persada dunia Islam.
Tiada bangkangan dan oleh kerana Iraq dan Syria bukan anggota tetap maka Malaysia meminta cadangan mereka secara bertulis untuk dimasukkan dalam draf akhir nanti bagi mewakili pandangan mereka.
Alhamdulillah Malaysia juga memainkan peranan mendamaikan pandangan untuk dimurnikan selari dengan semangat Kesatuan Parlimen ini dan mencadangkan supaya diterima pandangan Iraq dan Syria dari Malaysia dengan tambahan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama untuk semangat wehdah ummah.

BERSIAR
Pada waktu tengahari mesyuarat ditangguhkan dan kebanyakkan isu dan khususnya memperbaiki draf resoulsi dengan tambahan hanya perlu dibuat oleh jawatankuasa teknikal sekretariat.
Kami bebas pada hari itu dan bersetuju untuk makan tengahari di luar dan mengambil kesempatan melihat bandaraya Tehran dan kawasan luarnya yang berbukit diselaputi puncaknya dengan salji.
Encik Muhammad Ridzuan Abu Yazid pegawai dari kedutaan Malaysia di Tehran dan Syed  seorang lagi pegawai membawa kami di tempat yang indah untuk menikmati makan tengahari kami dengan makanan tempatan.
Kabab Bakhtiari dengan nasi digaul margerin dan terung lenyek dan zaitun jeruk bersama roti taftun semuanya membawa kenangan lama semasa saya membesar selama empat tahun di Iran.
Kami juga bersiar di kawasan Firdausi yang kedainya penuh dangan jualan buatan kulit tempatan Mashadi yang terkenal.
Matawang Riyal Iran (IRR)  menjunam kesan dasar boikot masyarakat dunia sehingga 1USD bersamaan 25.000.00 IRR. Kami menjadi jutawan segera dengan menukar duit ke IRR dan terpaksa tunjuk duit kami untuk beli barang kerana wang kertasnya yang bernilai besar.

BANGGA
Kami balik ke hotel keletihan kerana tidak cukup tidur dan “jet-lag”, saya sendiri menepuk bantal awal dan tidak ingat apa mimpi saya tetapi yang pasti, impian ke Iran kini sudah menjadi kenyataan dan saya bangun awal hari ini, 16 Februari 2014.
Semasa umur saya 10tahun saya berpeluang berada di Iran bersama ayahanda saya. Saya juga sering membuat persembahan budaya ketika majlis hari kebesaran negara Asean dan Malaysia mewakili anak-anak kedutaan dunia.
Dulunya saya amat bangga walau dengan memperkenalkan karipap di festival makanan antarabangasa anjuran sekolah saya British International School.
Kini perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia di persada konferensi rasmi antarabangsa kekal bertambah. Bezanya saya tidak memperkenalkan karipap atau tarian zapin tetapi saya memperkenalkan ide Malaysia ke pasaran dunia untuk melahirkan budaya dialog dan kedamaian sebagai jambatan dalam dunia yang serba kecoh dengan permusuhan dan peperangan yang kita hadapi hari ini.

Bicara kes Anwar saman Khairy ditetapkan 9-11 Jun

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tiga hari bermula 9 Jun untuk perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
  
Pesuruhjaya Kehakiman S.M. Komathy Suppiah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Datuk Sulaiman Abdullah dan J. Leela mewakili Anwar, dan peguam Jeffery John mewakili Khairy.
  
Mahkamah menetapkan 9 hingga 11 Jun untuk perbicaraan manakala 27 Mac ini ditetapkan untuk pengurusan kes.
  
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy, dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, telah mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.
  
Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, turut mendakwa klip video dalam Malaysiakini.com mengandungi sebahagian daripada ucapan Khairy di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Feb 2008.
  
Pada 25 Nov tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Khairy bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu ke mahkamah itu (Mahkamah Persekutuan) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Okt tahun lepas, yang menolak permohonan Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau untuk meminda pembelaannya dalam kes saman tersebut. -

MoU air: 4 spekulasi perlu penjelasan segera Khalid

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim perlu menjelaskan empat perkara berkaitan maklum balas yang boleh menimbulkan spekulasi berhubung Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan air.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berhubung MoU berkenaan.

“Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana saya akan terus mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan rakyat baik di pihak PR atau BN,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pandang dalam satu kenytaan, sebagaimana di bawah.

Penstrukturan industri air di Selangor dan Lembah Klang bakal menjadi salah satu dari projek yang ditanggung dana awam yang terbesar dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sebagai seorang yang sebelum ini paling lantang mengkritik apabila perjanjian konsesi dan perjanjian kerajaan dirahsiakan, saya berhadapan dilema besar apabila Kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai penstrukturan air yang isi kandungannya dirahsiakan dari rakyat.

Pada masa yang sama, saya telah mendapat satu salinan softcopy MoU itu pada hari Khamis 27 Februari 2014. Salinan itu diperolehi melalui Puan Arfaezah Aziz, Setiausaha Akhbar Menteri Besar. Melalui beberapa sumber, saya telah mengesahkan bahawa MoU yang ditandatangani adalah MoU yang sama dengan salinan softcopy yang saya perolehi.

Oleh itu, atas dasar prinsip ketelusan dan kesedaran (a matter of conscience) saya telah membuat keputusan untuk mendedahkan MoU ini. Ada beberapa persoalan besar yang perlu diperjelaskan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang bersabit dengan kepentingan awam.

Adalah menjadi harapan saya MoU dan komitmen yang dimeterai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim ini bolehlah dibahaskan dengan seobjektif mungkin demi menjamin kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia amnya.

Urusniaga dibiayai rakyat

Keseluruhan urusniaga jual beli aset air dan pajakan aset air yang terlibat di dalam penstrukturan ini akan dibiayai sepenuhnya oleh dana rakyat.

Kerajaan Persekutuan melalui Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) akan membeli aset air ini dari Kerajaan Negeri dan pemegang konsesi sedia ada. Pembelian oleh agensi Kerajaan Persekutuan ini akan dibiayai melalui penerbitan bon yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Dalam erti kata lain, ia samalah dengan Kerajaan Persekutuan berhutang untuk membayar pemegang konsesi sedia ada.

Oleh sebab itulah, harga pampasan dan pembelian yang dibayar kepada pemegang konsesi adalah cukup sensitif kerana ia bersamaan dengan tanggungan hutang baru yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan. Lebih tinggi harga pampasan dan pembelian itu, maka lebih untunglah pemegang konsesi dan lebih tinggi hutang negara yang ditanggung rakyat.

PAAB kemudiannya akan memajak pula aset air ini (empangan, loji rawatan, sistem paip dan lain-lain) kepada syarikat baru yang dilantik sebagai operator selepas penstrukturan. PAAB akan mengenakan bayaran pajakan tahunan (annual lease charges) ke atas operator ini. Lebih tinggi pinjaman yang ditanggung PAAB (dijamin Kerajaan Persekutuan), maka lebih tinggilah bayaran pajakan tahunan yang dikenakan ke atas operator kerana PAAB perlu mengumpul dana untuk membayar balik hutang.

Lebih tinggi bayaran pajakan tahunan, maka lebih tinggi kos yang ditanggung operator. Ini bermakna operator tiada pilihan lain kecuali menaikkan tarif air di Selangor untuk menanggung kosnya termasuk bayaran pajakan tahunan kepada PAAB.

Kerajaan Persekutuan juga akan menanggung kos pembinaan Projek Langat 2 melalui kaedah yang sama dan melibatkan dana awam, maka lebih tinggi kos Projek Langat 2 makin tinggilah hutang negara dan tarif air yang ditanggung rakyat.

Oleh itu, harga pampasan kepada pemegang konsesi sedia ada akan membawa kesan yang besar kepada rakyat melalui:

1.      Hutang negara yang diambil oleh PAAB dan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan (ditanggung oleh rakyat)
2.      Kenaikan tarif air akibat bayaran pajakan tahunan yang lebih tinggi (ditanggung oleh rakyat)

Kesan isi kandungan MoU

Saya khuatir isi kandungan MoU adalah berat sebelah yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan dalam beberapa aspek.

Projek Langat 2: Mengikat hanya di pihak kerajaan negeri

Pertama, keseluruhan dokumen itu adalah satu memorandum persefahaman sahaja yang tidak mengikat, kecualilah yang bersabit dengan kelulusan serta merta Projek Langat 2.

Rujuk Artikel 5(b) di dalam MoU yang secara jelas menyebut bahawa tanggungjawab Kerajaan Selangor ialah “memastikan bahawa semua kelulusan serta kebenaran yang berkaitan atau perlu (sama ada sedia ada dikenal pasti atau yang berbangkit atau susulan) berhubung pelaksanaan LRAL2 daripada Kerajaan Negeri Selangor atau pihak-pihak berkuasa yang berkenaan hendaklah bersifat mengikat dan tidak boleh batal(binding and irrevocable) dan berkuat kuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan atau permintaan Kerajaan Persekutuan.”

Pada masa yang sama, semua tanggungjawab Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan air hanyalah satu persefahaman yang tidak mengikat di sisi undang-undang. Tidak ada satu artikel lain pun di dalam MoU itu yang dirujuk sebagai mengikat (binding and irrevocable) kecualilah Artikel 5(b) bersabit kelulusan Projek Langat 2. Malah Artikel 5(b) ditulis khusus dalam konteks kelulusan Projek Langat 2.

Dari MoU itu, jelas bahawa Kerajaan Negeri telah pun memberi Kebenaran Merancang secara serta merta (rujuk Artikel 5(a)) dan semua kebenaran lain termasuklah pengambilan dan pendaftaran tanah dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU.

Ini bermakna, Kerajaan Selangor seolah-olah melepaskan satu-satunya senjata yang ada untuk berdepan dengan Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Langat 2 tanpa mendapat apa-apa komitmen yang mengikat dari Kerajaan Persekutuan.

Dengan lulusnya Projek Langat 2, kedudukan Kerajaan Selangor untuk berunding dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu penstrukturan air adalah tempang.

Tidak menyentuh mengenai pemegang konsesi sedia ada

Kedua, MoU itu langsung tidak merungkai masalah terbesar yang selama ini membantutkan rundingan penstrukturan air iaitu keengganan pemegang konsesi sedia ada terutamanya Puncak Niaga dan Syabas menerima harga tawaran yang dibuat oleh Kerajaan Selangor.

Di dalam MoU, tidak ada satu artikel pun yang merujuk kepada persoalan ini. Ia hanya disebut secara tidak langsung di dalam Artikel 3 iaitu tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memudahcara (facilitate) penstrukturan melalui peruntukan undang-undang, itu pun tidak mengikat kerana ia hanya satu persefahaman.

Ini bermakna, walaupun Projek Langat 2 telah diluluskan, status rundingan dengan pemegang konsesi adalah di takuk lama iaitu belum selesai. Tawaran yang dibuat Kerajaan Selangor perlu dijawab oleh pemegang konsesi menjelang 10 Mac 2013.

Jika pemegang konsesi bersetuju, rakyat perlu tahu secara terperinci harga tawaran akhir da nisi kandungan perjanjian untuk menilai kenapakah pemegang-pemegang konsesi ini tiba-tiba bersetuju kalau harga tawaran tetap sama, sedangkan mereka menentang selama ini.

Jika pemegang konsesi tidak bersetuju, maknanya Kerajaan Selangor terpaksa berunding dan mencari jalan baru kerana tidak ada komitmen yang mengikat di pihak Kerajaan Persekutuan untuk menyempurnakan penstrukturan ini.

RM2 bilion tambahan untuk ambil alih ekuiti pemegang konsesi sedia ada

Ketiga, Artikel 4(iii) menyebut bahawa “ selain daripada tawaran KDEB, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB akan menyediakan peruntukan sejumlah RM2 billion untuk membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam urusan pengambilalihan ekuiti Syarikat-Syarikat Konsesi Air.”

Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada pemegang konsesi selain dari tawaran sedia ada Kerajaan Selangor (melalui KDEB) yang berjumlah RM9.65 bilion itu. Artikel 4(iii) juga perlu dibaca bersama dengan Artikel 4(i) yang menyentuh mengenai tawaran asal dari KDEB berjumlah RM9.65 bilion.

Ringkasnya, Kerajaan Persekutuan memberi persefahaman bahawa untuk mendapatkan persetujuan dari pemegang konsesi sedia ada, peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion akan digunakan untuk mengambilalih ekuiti pemegang konsesi. Saya menafsirkan ini sebagai bayaran tambahan yang akan dibuat kepada pemegang konsesi, menjadikan jumlah bayaran pampasan kepada pemegang konsesi bukanlah RM9.65 bilion tetapi RM11.65 bilion (termasuk RM2 bilion tambahan).

Proses kelulusan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Keempat, kuasa yang ada mengikut Perlembagaan Negeri adalah dimandatkan melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco). Oleh kerana MoU ini tidak dibentangkan di Exco kerana hanya diketahui dan dimuktamadkan kandungannya hanya satu jam sebelum tandatangan (seperti kenyataan Puan Faekah Hussin yang merundingkan MoU ini), maka ia sudah tentu tidak melalui Mesyuarat Exco.

Tanpa kelulusan Mesyuarat Exco, kesahihan MoU ini boleh dipersoalkan.

Empat perkara di atas adalah maklum balas yang boleh menimbulkan spekulasi dan perlu diperjelaskan secepat mungkin oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan rakyat tahu, seperti mana saya akan terus mendedahkan perjanjian-perjanjian lain yang melibatkan rakyat baik di pihak PR atau BN.

Ada pihak cuba sabotaj program R serah memo

Pertubuhan R Kelantan (R) mendakwa ada pihak cuba menggagalkan program penyerahan memorandum anjuran NGO tersebut kepada kerajaan negeri pada 6 Mac ini.

Presiden R, Nazri Deraman berkata, memorandum yang dirancang mahu diserah kepada kerajaan negeri berhubung tuntutan royalti ke atas pengeluaran petroleum di pelantar Damar yang berada di perairan Kelantan.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya mendapat maklumat ada pihak-pihak tertentu cuba untuk membuat provokasi dengan menyertai program R tersebut.

“Kami melihat ada unsur-unsur sabotaj bagi merosakkan imej kerajaan negeri dan merosakkan nama dan hubungan baik R dengan kerajaan Kelantan.

“Sehubungan itu bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini, maka R akan menunda program penyerahan memorandum tersebut pada tarikh lain,” katanya di sini.

R yang dianggotai anak-anak muda bergabung di bawah nama Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan.

Kini NGO itu berdaftar secara sah dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atas nama Pertubuhan R Kelantan.

Nazri berkata, pihaknya pada mesyuarat 26 Februari menetapkan 5 Mac bagi menyerah memorandum tersebut sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Namun katanya, pada hari yang sama pihaknya mendapat maklumat perhimpunan aman anjuran NGO SETIA akan diadakan di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Oleh itu R menunda program berkenaan kepada 6 Mac bagi mengelakkan pertembungan dengan perhimpunan yang dijangka dianjur NGO propembangkang.

“Kami mendapati pihak terbabit merancang untuk mencetak dan membeli baju R untuk dipakai semasa perhimpunan tersebut,” kata beliau.

Menurutnya juga beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob mengenai perancangan R menyerah memorandum tersebut dan telah mendapat persetujuannya,” tambahnya.

Sehubungan itu Nazri berkata, mana-mana pihak atau individu yang menyertai perhimpunan pada 5 Mac atau 6 Mac ini tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan R.

“Saya tegaskan bahawa tidak timbul pihak R terlibat atau akan terlibat dengan usaha-usaha yang cuba menjatuhkan imej kerajaan negeri yang ada sekarang.

“Perjuangan R dan pimpinan kerajaan negeri sekarang isu tuntutan Royalti,” katanya.

FAM perlu bersikap terbuka, penyokong guna saluran betul


Penyokong bola sepak Malaysia perlu menyatakan ketidakpuasan hati mereka melalui saluran yang lebih baik sama ada menghantar memorandum dengan melibatkan beberapa pihak tertentu yang berautoriti.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS Pusat (Dacs) Fadhil Osman (gambar) berkata, para penyokong boleh panjangkan masalah ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya ada tindakan yang boleh memulihkan maruah bola sepak Malaysia.

"Bila kita sendiri sebagai penyokong baling bom asap untuk nyatakan tidak puas hati kita, kita sendiri tunjukkan imej yang tidak baik kepada dunia.

"Imej bola sepak kita sudah merundum ditambah pula insiden semalam menyebabkan imej kita sendiri pun merundum,"katanya kepada Harakahdaily.

Ekoran insiden ini, katanya FAM pula wajar melihat masalah ini dari sudut positif dan membuka ruang kepada penyokong bola sepak negara untuk melontarkan kritikan mereka.

"FAM jangan sekadar dengar sahaja dan tidak ada tindakan pula, mereka harus peka dengan apa yang dikehendaki oleh penyokong.

"Bola sepak ni adalah sukan rakyat, permainan yang disukai dan disayangi oleh rakyat. FAM jangan ketepikan suara mereka," katanya.

Perlawanan pertama Harimau Malaya di bawah bimbingan pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee tercemar pada minit ke-30 apabila kumpulan Ultras Malaya yang merancang mengadakan protes terhadap 30 tahun kepimpinan Presiden FAM bertindak di luar jangkaan dengan membakar suar dan membaling bom asap.

Sementara itu,  Ultras Malaya mengakui sengaja mencetuskan kejadian bakar suar dan balingan bom asap ketika aksi persahabatan antarabangsa antara Malaysia dan Filipina di Stadium Selayang, malam kelmarin.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Seri Subahan Kamal menyelar tindakan kumpulan Ultras Malaya dan menyifatkan perbuatan yang dilakukan kumpulan penyokong berkenaan sebagai samseng dan tidak bertamadun.

Syiah: Iran bertindak balas, Umno mengaku silap

Iran dikatakan mula membuat tindakan balas ekoran serangan agresif Kerajaan BN terhadap Syiah yang dianuti majoriti rakyat negara itu, sehingga menjejaskan ekonomi negara Malaysia.

Malah tindakan itu juga telah menyebabkan seorang menteri BN menghubungi pemimpin PAS, meminta bantuan agar parti islam itu memulihkan hubungan dagangan kedua-dua negara.

Malah menurut satu sumber, menteri berkenaan turut mengakui serangan melampau Umno BN terhadap Syiah sebelum ini adalah langkah yang silap.

Ianya memuncak apabila Kerajaan Malaysia mengumumkan Pertubuhan Syiah Malaysia sebagai pertubuhan haram berdasarkan peruntukan Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Ekoran tindakan itu, Malaysia dilihat sebagai negara pertama di dunia mengharamkan Syiah.

Dakwaan menteri Umno menghubungi PAS itu turut disahkan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kepada The Malaysian Insider hari ini.

"Memang benar ada menteri hubungi saya untuk meminta bantuan itu," kata beliau yang enggan menamakan menteri terbabit.

Iran kini didakwa tidak mahu lagi membeli minyak sawit dari Malayisa malah sudah mula mencari alternatif bekalan itu dari negara pengeluar yang lain.

Pada Januari hingga November 2013 sahaja, Iran mengimport 671,384 tan minyak sawit dari Malaysia. Ia menjadikan negara itu antara pengimport utama minyak sawit Malaysia.

Selain itu, Iran juga didakwa enggan membenarkan Malaysia melalui syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) daripada menjalankan aktiviti cari gali di negara itu.

"Petronas mengalami kerugian paling banyak apabila usaha cari galinya di Iran menerima halangan daripada kerajaan Iran sedangkan pada waktu sama syarikat Amerika Syarikat (AS) termasuk Esso dan Conoco sudah mula masuk ke negara itu," kata Syed Azman.

PAS mempunyai hubungan akrab dengan gerakan Islam antarabangsa termasuk di Iran.

Dalam beberapa isu khususnya krisis di Asia Tengah dan Timur Tengah, PAS turut berperanan dan terlibat dalam rundingan penyelesaian di peringkat gerakan Islam global.

Masjid di Teregganu disaran adakan solat minta hujan

Masjid dan surau di negeri ini disaran supaya mengadakan solat 'istisqa' untuk memohon hujan turun ketika cuaca kering dan panas sekarang.
  
Saranan dibuat Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Mohd Rozali Saleh yang berkata umat Islam boleh melakukan usaha sedemikian termasuk untuk membantu memadam kebakaran yang berlaku di hutan paya gambut dekat Kampung Tok Kah, Dungun dan kebakaran hutan di Lembah Bidong, Setiu.
  
Pada perkembangan lain, beliau berkata Terengganu telah memberi peruntukan sekali ganda untuk pertandingan hafazan sejak lima tahun lalu.
  
"Ini bertujuan memberi imej positif dan galakan motivasi terutama kepada remaja untuk membudayakan al-quran dalam kehidupan seharian mereka.
  
"Sejak lima tahun lalu, juara untuk hafazan 1 hingga 30 juzuk ialah sebanyak RM7,000; 1 hingga 20 juzuk (RM5,000) dan 1 hingga 10 juzuk (RM3,000)," katanya kepada pemberita di majlis meraikan peserta menghafaz al-Quran di sini hari ini.
  
Mohd Rozali berkata Terengganu merupakan negeri pertama yang memberi elaun khas kepada penghafaz al-quran sejak 1982 dan langkah positif itu mula diikuti banyak negeri lain.

Isu Red Bean Army umpama "sipencuri jerit pencuri"

Tindakan akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menghidupkan kembali cerita dongeng Askar Kacang Merah (Red Bean Army) membabitkan 3,000 tentera siber yang kononnya dibiayai DAP adalah percubaan terdesak Umno bagi menutup tindakannya  membiayai perang siber yang dipercayai berjumlah ratusan juta ringgit.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang (gambar) dalam satu kenyataan media berkata, apabila membaca kolum Awang Selamat bertajuk "Pihak berkuasa kita!"  di akhbar Mingguan Malaysia, 2 Mac lalu, berhubung isu itu, beliau menyifatkannya sebagai cerita klasik "sipencuri jerit pencuri".

Kolum Awang Selamat, ujar Lim bukan sahaja berbau hipokrasi tetapi mempunyai objektif jelas menaburkan kebencian kaum dan agama menerusi pembohongan dan pemalsuan yang diberi "kekebalan undang-undang (imunity) dan bebas dari hukuman (impunity)".

"Awang Selamat  menghidupkan kembali dakwaan kononnya DAP membiayai apa yang dipanggil "Red Bean Army" (RBA) dengan 3,000 tentera siber dan bajet antara RM100 juta hingga RM1 bilion bagi tempoh enam tahun lepas.

"Kolum itu juga menyerang pihak berkuasa yang didakwa mengamalkan dwi-standard apabila membiarkan DAP dan RBA 'lesen untuk membuat provokasi melampau' menghina Melayu, Islam, pasukan keselamatan, kakaitangan kerajaan dan negara," ujar Kit Siang.

Beliau menimbulkan persoalan mengapa pihak pengarang Utusan Malaysia menghidupkan kembali isu RBA selepas mula menimbulkannya enam bulan lalu?

Menurut Kit Siang, pada Mei dan Jun tahun lalu, Utusan Malaysia mendakwa kononnya RBA mempunyai dua pusat operasi iaitu di Hotel Concorde, Kuala Lumpur dan bangunan Komtar, Pulau Pinang.

"Seperti yang pernah saya sebutkan, semua ini adalah cerita dongeng moden yang tidak punyai satu pun kebenaran," tegasnya.

Menurut cerita dongeng Utusan Malaysia, modus operandi RBA adalah menyerang ahli politik, ahli perniagaan atau penghibur yang dilihat sebagai pro-BN melalui facebook, tweeter, YouTube bertujuan menimbulkan kebencian di kalangan pengundi Cina erhadap mereka.

Kit Siang menambah,  berdasarkan laporan Utusan itu, beliau telah mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen DAP termasuk Chong Chieng Jen (Bandar Kuching),  Tony Pua (Petaling Jaya Utara) dan Fong Kui Loon (Bukit Bintang) dengan disertai petugas media melakukan lawatan mengejut ke Hotel Concorde pada jam 10 malam, 4 Julai tahun lalu.

"Kami dapati Hotel Concorde – yang sepatutnya menjadi salah satu pusat operasi berbilion ringgit RBA  -  dikerumuni pemimpin Umno dan aktivis parti itu tetapi bukan RBA. Kami juga membuat penemuan yang lebih memeranjatkan apabila mendapati ais kacang yang dijual di Hotel Concorde tidak langsung mengandungi kacang merah!" selar Kit Siang sinis.

Beliau menambah, 'kegilaan' terhadap dongeng RBA DAP itu berkait dengan agenda sulit yang membabitkan para pemimpin tertinggi Umno untuk menghalalkan peruntukan sebanyak RM350 juta bagi lima tahun untuk memerangi RBA yang tidak wujud dan hanyalah rekaan semata-mata.

"Utusan menghidupkan semula dongeng ini kerana laba dan wang. Ia jelas merupakan usaha terdesak askar upahan Umno supaya mereka tidak diketepikan dari mendapat dana perang siber Umno yang jumlahnya mencecah ratusan juta ringgit.

Kit Siang mendakwa Umno/BN kini mempunyai rancangan perang baru yang akan dikendalikan oleh sekumpulan 'panglima' muda yang bijak IT dan akan membekalkan maklumat serta menyediakan taktik menyerang dan bertahan dalam perang siber Umno/BN yang baru.

"Untuk rancangan baru ini, tidak banyak ruang dibuka kepada askar upahan Umno yang dulu, khususnya kalangan yang telah mengumpul kekayaan dengan menyebarkan dongeng RBA DAP. Atas sebab inilah pengarang-pengarang Utusan yang sentiasa menganggap diri mereka sebagai penaung askar siber upahan Umno melancarkan semula dongeng RBA DAP sebagai usaha terakhir mereka untuk kekal relevan dalam rancangan perang siber Umno/BN yang baru," jelas Kit Siang.

Kehidupan lebih teratur dengan catuan air

"Syukur".  Itulah ungkapan beberapa penduduk di Kajang dan Balakong dekat sini yang kembali menikmati bekalan air bersih setelah hampir sebulan mengalami krisis ketiadaan air.
  
Walaupun krisis belum berakhir, pelaksanaan program catuan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) memberi seribu kelegaan kepada penduduk, terutama mereka yang mempunyai anak kecil, warga emas dan peniaga.
  
"Lebih baik sekejap ada (air), sekejap tiada daripada berterusan tiada. Sekurang-kurangnya kami boleh simpan air dan mandi di rumah sendiri, bukannya bersusah sehingga terpaksa ke masjid atau stesen minyak terdekat," kata Norma Mohamad, 29, seorang pekerja swasta kepada Bernama.
  
Ibu dua anak itu berkata rumahnya di Taman Impian Ehsan memperoleh bekalan air dua hari lalu yang membolehkannya menyimpan air untuk kegunaan dua anak kecilnya.
  
"Anak-anak masih kecil memang perlukan banyak air... dan air yang ada bolehlah disimpan untuk keperluan penting seperti mandi dan membasuh," katanya yang memilih makan di luar bagi menjimatkan air.

Seorang guru dari Taman Tun Hussein Onn, Cheras, Rashidah Abdul Rahim, 55, pula berkata beliau terpaksa menumpang sementara di rumah adiknya sepanjang ketiadaan berkalan air.
  
"Memang susah nak jalankan aktiviti harian, nak solat... hendak tak hendak memang kena menumpang di rumah saudara.
  
"Tapi mujurlah Jumaat lepas bekalan air dah ada semula... walaupun secara bergilir-gilir, tak mengapalah... terima kasih kepada Syabas," katanya.
  
Pemilik Kedai Dobi Koong Tou, Lee Chai Lian, 35, berkata kedainya di Taming Jaya, Balakong baru sahaja ketiadaan bekalan air hari ini.
  
"Selama ini kawasan kedai saya ada air, tapi hari ini tidak ada, mungkin  sebab Syabas sudah buat catuan air. Tapi tak ada masalah kerana Syabas beri notis dalam media dan kita boleh simpan air awal-awal," katanya yang meneruskan  perniagaan seperti biasa.

Syabas sebelum ini berkata pelaksanaan pelan catuan bekalan air bermula 2 hingga 31 Mac di Kuala Lumpur, Gombak, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor dibuat berdasarkan konsep bergilir-gilir iaitu dua hari mendapat air dan dua hari tiada bekalan.
  
Sementara itu, Balasegar Suppiah, 41, penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, berkata beliau sedar kekurangan air berpunca daripada faktor cuaca dan Syabas perlu memenuhi keperluan semua penggunanya.
  
"Jadi langkah catuan ini memberi peluang sama rata kepada semua untuk mendapat bekalan air," katanya.
  
Penolong Pegawai Perubatan Kanan di Klinik 1Malaysia PPR Desa Rajang, Mohd Johan Musa berkata pihaknya mendapatkan air daripada pili bomba berhampiran untuk kegunaan di tandas manakala air yang dibekalkan Kementerian Kesihatan diguana untuk merawat pesakit.
  
Bagi pesara kerajaan Rosli Mansur, 63, selain menyimpan air paip, beliau turut mengambil langkah awal dengan membeli air yang dibotolkan. -

Sunday, March 2, 2014

Pelan rekonsiliasi untuk yang terdesak sahaja, bukannya untuk rakyat


Pendapat Pandangan sepintas lalu rakyat tentang ‘National Reconciliation Programme’ (NRP) itu hanya khayalan, walaupun ia sedang serius dipertimbangkan oleh semua pihak yang sedang berperang politik. Anwar memulakan isu ini pada bulan Januari yang lepas dan Najib memberikan respons yang positif dari sudut bunyi kata-katanya. Tetapi jika ditanya rakan-rakan yang berada dalam UMNO termasuk dalam Majlis Tertinggi UMNO sendiri, tidak ada siapa yang tahu. Maka adalah jelas yang ada atau pun tidak program itu, ia hanya diketahui oleh Najib sahaja, dan mungkin seorang dua yang hampir kepada beliau.
DAP yang begitu terkeliur dengan program ini mahukan Najib membuka secara terbuka apakah yang telah beliau rancang dan di tulis tentang program ini. Apa yang menyebabkan DAP begitu terkeliur dengan program ini tidak dapat diketahui oleh sesiapa.


Tetapi pemerhati politik yang bercakap dengan telus dan terang beranggapan yang DAP sememangnya berkehendakan berada dalam kerajaan kerana parti itu sudah merasakan keseronokan sebagai kerajaan di Pulau Pinang. “DAP has tasted blood, and they want to taste more” kata seorang pensyarah dari Universiti tempatan semasa minum petang dengan saya sehari dua yang lepas. “Now DAP is saying that MCA has no integrity by joining the government, as DAP wants to replace MCA if the NRP succeeds” katanya lagi.
Untuk melaksanakan NRP ini ia memerlukan seorang yang ‘magnanimous’ dan bukannya pemimpin yang mengetuai kumpulan yang sedang berperang politik. Tidak mungkin Najib dan Muhyidin boleh melakukannya. Begitu juga bukan Lim Kit Siang atau Anwar Ibrahim melakukannya. Sememangnya yang Anwar berperang politik selama ini ialah untuk berada dalam kerajaan atau kalau boleh beliau hendak mengetuai kerajaan. Anwar begitu ‘frustrated’ dengan Dr Mahathir kerana memecat beliau dari UMNO sedangkan beliau mahu menjadi pemimpin utama diperingkat Presiden dalam parti itu.
Anwar telah mengarak rakyat ke hulu ke hilir serta ke darat dan ke baruh untuk mendapatkan kuasa itu. Malahan memaksa diadakan PRK Kajang ini merupakan salah satu dari strategi beliau untuk menuju ke Putrajaya. Dalam proses itu Anwar telah mewujudkan perpecahan dalam PKR khususnya di Selangor kerana dalam masa yang sesingkat itu, Khalid sudah dianggap sebagai pemimpin yang tidak baik dalam PKR khususnya kepada pemimpin-pemimpin muda yang 'menggeli pundi-pundi' Anwar sekarang.
Kumpulan ini sanggup berubah haluan dari menghina UMNO kepada berpelukan dengan pimpinan UMNO asalkan sahaja Anwar mendapat tempat dalam kerajaan. Jika ada kompromi diantara Anwar dengan Najib, maka akan wujud banyak pihak yang terpaksa 'menjilat ludah' masing-masing dan tunduk kepada penyatuan Najib dengan Anwar itu.
Mereka terpaksa melatih diri mereka untuk bersetuju dengan Najib pula. Itu sebabnya saya selalu berkata supaya jika marah jangan lebih-lebih supaya senang untuk bersatu, dan jika sayang pun jangan lebih-lebih supaya senang hendak mengambil keputusan jika terpaksa melakukannya. Tetapi yang muda-muda terlalu seronok berpolitik dan sanggup menjadi kaldai kepada seseorang pemimpin mereka, bersikap garang dan bisa mulut mereka. Kata orang anak muda 'julung berkeris, batang pisang pun disanggah'nya.
Kita hendak juga tahu apa yang difikirkan oleh Najib tentang NRP ini. tetapi setakat ini ramai dikalangan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi pun berkata yang mereka tidak tahu apa yang ada dalam pemikiran Najib itu. Ada seorang yang hampir dengan saya berkata, “biarkanlah Najib bersatu seorang diri kerana kami tidak tahu apa yang beliau hendak lakukan. Dan kalau beliau beritahu pun saya jangka cadangan itu akan mendapat bantahan keras kerana kalau nak bersatu bukannya dengan pengacau seperti Anwar. Ini perkara serius” katanya.
Jika ada pun usaha Najib dan Anwar untuk berkompromi itu adalah hajat dua orang yang 'desperate' kerana apa pun yang mereka akan lakukan diatas nama NRP itu ia tidak akan berjaya. Niat itu akan terbengkalai begitu sahaja. Mungkin ada seorang dua yang akan mendapat faedahnya. Tetapi pihak yang dibawah yang telah berperang politik dengan melemparkan kata-kata kotor terhadap sasaran masing-masing akan kantoi dan akan merasa malu diatas perbuatan pemimpin mereka yang menyebabkan mereka berperang itu. 'Muka berpandangan, budi kedapatan', kata orang-orang tua dahulu.
Bagi pandangan yang realistik dalam isu NRP ini jika ia hendak dilaksanakan, yang utama sekali mereka-mereka seperti Anwar, Najib, Muhyiddin serta pimpinan kanan UMNO, LKS dan LGE sepatutnya berundur. Mereka tidak akan memberi sumbangan untuk kompromi itu dan mereka semua wajar menarik diri dan berehat dan bersara sahaja selepas itu. Dr Mahathir dan Daim pula elok berhenti dari masuk campur dalam urusan politik negara ini dan jangan lagi menggunakan UMNO dan kerajaan sebagai modal peniagaan masing-masing.
Baru ada NRP yang abadi.

Makan Tauge, Sperma Lebih Subur


Walaupun banyak yang menganggap mitos, tapi doktor dan pakar kesihatan, dr. Sonia Wibisono percaya bahawa tauge memiliki manfaat kesihatan seperti meningkatkan tenaga pasangan saat bercinta.


Menurutnya, sayur dari kacang hijau ini sangat baik dimakan jika anda dan pasangan ingin segera memiliki anak. 

"Tauge itu mengandung banyak zink dan vitamin E yang baik dimakan untuk membantu pergerakan sperma. Wanita akan lebih subur setiap bulan kalau rajin makan tauge. Begitu juga dengan lelaki. 

Tauge juga megandung banyak protein, vitamin C dan banyak vitamin B," jelas Sonia. Bagi anda yang ingin mendapatkan manfaat sayuran yang berasal dari kacang hijau ini, anda hanya perlu merebus atau menumisnya. "Kalau mau direbus jangan terlalu masak. Yang penting dibersihkan dengan air mengalir dan air bersih. Selain itu boleh ditumis dengan minyak sedikit," katanya

Ahli Ibadah Terpesona Dengan Kecantikan Pelacur


Agama
Al-Hasan meriwayatkan, bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat cantik jelita. Dia tidak mahu melayani orang yang datang kecuali jika dibayar sebanyak seratus dinar.
Secara kebetulan pada suatu hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik itu sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta kepadanya.


Kerana lelaki ahli ibadah itu mengetahui, bahawa untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik itu orang harus memberinya wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli ibadah itu akhirnya pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.
Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya:
https://fbcdn-sphotos-g-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/t1/s403x403/1902802_10153831774925328_123920850_n.jpg
“Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”
Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke rumahku.”
Dengan tidak berfikir panjang, ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah pelacur yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya dan berkata: “Marilah segera mendekatiku.”
Ketika lelaki ahli ibadah itu bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga tiba-tiba ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. Kepada wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata: 
“Biarlah aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus dinar itu ambillah olehmu!”
Wanita pelacur itu kembali bertanya: “Apakah sebenarnya yang terjadi atas dirimu, bukankah kamu telah tergila-gila kepadaku sehingga kamu membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada saat ini kamu telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi mengapa kamu akan meninggalkan aku?”
Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Sesungguhnya aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi meninggalkan kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu, sesungguhnya aku juga sangat membenci kamu kerana Allah.
Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan kamu.”
Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!”
Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila kamu mahu menjadi suamiku.”
“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!” kata lelaki itu.
Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu menikahi aku?”
Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”
Selepas berkata demikian, lelaki ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah pelacur tersebut. Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta keluar dari daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya. 
Wanita pelacur itu terus berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli ibadah tersebut.
Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”
Ketika ahli ibadah melihat kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu juga lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir. 
Melihat keadaan demikian, kepada orang yang hadir wanita pelacur yang telah bertaubat itu bertanya? “Apakah lelaki idamanku yang telah meninggalkanku buat selama-lamanya ini ada mempunyai saudara?”
Orang yang hadir pada waktu itu menjawab: “Ia ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan tetapi saudara lelakinya itu hidup dalam keadaan kemiskinan.”
“Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita itu.
Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang anak yang kemudian ketujuh orang anak tersebut menjadi nabi semuanya.

Allah Tahu Apa Yang Terbaik Untuk Anda Dan Masa Yang Terbaik Untuk Anda Mendapat



Luahan

Pernahkah anda mengalami situasi seperti ini, ternanti-nanti bilakah akan tibanya jodoh anda?

Sudah lama anda tunggu dan mencuba untuk mencari jodoh. Tetapi sampai sekarang masih tak dapat-dapat.


Sedangkan rakan-rakan anda yang lain sudah pun mempunyai pasangan dan ada yang telah berkahwin.
Anda?
Masih keseorangan menanti jodoh yang tidak berkunjung tiba. Bersendirian mengenang nasib menimpa diri.
Anda pun ingin berkahwin. Anda pun ingin mendapatkan kelebihan dalam perkahwinan.
Tetapi kenapa masih tak jumpa jodoh anda?
Anda sebenarnya belum bersedia… Jika anda fikir baik-baik, ambil masa duduk fikir sejenak, anda akan tahu kenapa ianya terjadi.
Allah tahu apa yang terbaik untuk diri kita. Allah tahu bilakah masa yang sesuai untuk kita memperolehnya.
Sebagai contoh, mungkin anda ingin mempunyai pasangan dan ingin berkahwin pada waktu ini. Tetapi sampai sekarang anda masih tidak jumpa pun pasangan anda dan sampai sekarang anda masih tidak kahwin-kahwin.
Apabila anda fikir baik-baik, sebenarnya anda masih belum bersedia untuk berkahwin. Mungkin anda ada masalah dari segi kewangan. Kalau anda kahwin, mungkin anda terpaksa buat pinjaman dan terbeban menanggung hutang selepas berkahwin.
Hutang kahwin nak kena bayar. Makan minum si dia pun anda perlu tanggung. Anda sebenarnya belum mampu lagi untuk berkahwin dengan si dia. Anda sebenarnya belum bersedia untuk berkahwin.
Tetapi jika tiba masanya, Allah akan permudahkan jalan dan anda akan rasa senangnya untuk berkahwin ni. Tak perlu pun nak pening kepala fikir macam-macam masalah sebab Allah sudah bantu anda.


Allah Maha Mengetahui Contoh lain pula bagi mereka yang ingin mendapatkan anak. Kahwin dah lama, tetapi sampai sekarang masih tak dapat anak lagi.
Semua itu adalah ketentuanNya. Mungkin kalau diberikan anak kepada anda, anak itu mungkin tidak mendapat kasih sayang yang sepatutnya.
Atau anda mungkin tidak dapat fokus dengan projek besar yang anda sedang kendalikan di pejabat dan akhirnya anda dibuang kerja kerana gagal menyiapkan projek mengikut jadual kerana sibuk menguruskan anak.
Ingatlah, Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.
Jika tiba masanya, jika itulah saatnya, percayalah Allah akan berikan ia kepada anda.
Apa yang penting, jangan berputus asa dan yakinlah bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuk diri anda dan tahu bilakah masa yang terbaik untuk anda mendapatkannya.