|
|
SYDNEY - Juruterbang pesawat Airbus A380 yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura akibat kerosakan satu enjin pesawat itu menerima pujian ekoran kemampuannya mengendalikan pendaratan tanpa berlaku sebarang kemalangan jiwa.
Juruterbang kelahiran Australia, Richard Champion de Crespigny (gambar) berjaya mendaratkan pesawat yang membawa 459 orang dengan hanya mengalami kerosakan pada salah satu sayapnya.
Para penumpang memuji cara de Crespigny, 53, yang memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam penerbangan, menenangkan mereka menerusi pemberitahuan melalui alat Intercom dalam pesawat Airbus ketika saat cemas itu berlaku.
"Saya memohon maaf. Saya pasti anda sedar bahawa enjin kedua pesawat mengalami masalah teknikal. Anda juga pasti tahu bahawa kita tidak akan meneruskan perjalanan ke Sydney.
"Buat masa sekarang, pesawat terbang dalam keadaan selamat. Terima kasih di atas kesabaran anda," kata de Crespigny menerusi rakaman mengenai insiden yang disiarkan di Internet.
"Kapten dan krewnya sangat hebat," kata seorang penumpang, Simon Johnson yang memberitahu para penumpang tidak berasa panik tetapi mengaku kecut perut apabila terdengar bunyi yang kuat dari dalam pesawat.
Isteri juruterbang itu, Coral Champion de Crespigny menyatakan, dia tidak terkejut dengan sikap tenang Richard ketika berdepan dengan situasi sebegitu.
"Saya boleh katakan bahawa para penumpang sangat bertuah kerana Richard yang menjadi juruterbang mereka," katanya kepada akhbar The Australian.
No comments:
Post a Comment