Friday, November 5, 2010

Kesilapan reka bentuk enjin


SEBUAH pesawat Airbus A380 milik Qantas Airlines dibawa masuk ke sebuah hangar untuk diperiksa di sebuah lapangan terbang di Sydney kelmarin.


SYDNEY – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan Qantas Airways dari Australia, Alan Joyce semalam menyatakan, bahagian yang rosak atau kesilapan reka bentuk dipercayai menyebabkan letupan pada sebuah daripada empat buah enjin pesawat Airbus A380 miliknya sehingga memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas di Singapura kelmarin.
Letupan pada enjin itu menyebabkan sejumlah serpihan logam bertaburan di Pulau Batam, Indonesia dekat Singapura.
Enjin pesawat itu meletup selepas ia baru berlepas dari lapangan terbang tersebut untuk menuju ke Sydney.
Pesawat itu kemudian berlegar-legar di udara dan membuang minyak sebelum mendarat cemas di lapangan terbang sama.
Ia merupakan insiden paling serius melibatkan pesawat penumpang terbesar di dunia itu sejak ia beroperasi pada 2007.
Kejadian tersebut turut memaksa Qantas membekukan sementara perkhidmatan semua pesawat Airbus A380 miliknya manakala penerbangan-penerbangan lain memeriksa semula enjin pesawat itu.
“Kami percaya insiden berpunca daripada kegagalan bahan atau kesilapan reka bentuk,” katanya dalam satu sidang media di sini.
Syarikat Qantas membekukan perkhidmatan semua enam pesawat A380 untuk pemeriksaan keselamatan yang melibatkan masa sehingga 48 jam.
“Jika pemeriksaan itu berjalan lancar, pesawat berkenaan akan kembali beroperasi seperti biasa,” kata Joyce.
Sementara itu, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia semalam menyatakan, tiada tanda-tanda insiden pesawat A380 tersebut disebabkan oleh perbuatan khianat.
Pesawat Qantas A380 itu yang membawa 459 orang termasuk 26 krew mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada pukul 11.46 pagi waktu tempatan selepas satu enjinnya meletup di udara.

Lubang (dalam bulatan) pada sayap pesawat Airbus A380 milik Qantas Airways yang mendarat cemas di Singapura kelmarin.


Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Ekoran kejadian itu, syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa menyatakan, ia tidak menggunakan perkhidmatan sebuah pesawat A380 bagi laluan dari Frankfurt ke Johannesburg kerana tidak mempunyai masa mencukupi untuk melakukan pemeriksaan enjin.
Pembuat enjin pesawat Airbus itu, Roll-Royce telah mengeluarkan kenyataan meminta pemilik A380 melakukan pemeriksaan enjin.
Namun, syarikat penerbangan Singapore Airlines mengesahkan semua 11 pesawat A380 miliknya adalah selamat untuk digunakan. – Agensi

No comments:

Post a Comment