Friday, November 5, 2010

Sengatan maut tebuan tanah



DI teratak inilah Halimah dikatakan telah keluar untuk ke rumah iparnya sebelum dilaporkan hilang Ahad lalu.


KEMAMAN – Misteri kehilangan seorang warga emas selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Bandi dekat sini Ahad lalu terungkai apabila dia ditemui mati disyaki akibat disengat tebuan tanah.
Halimah Sidik, 74, ditemui dalam keadaan mayatnya telah berbau dan mereput selain lengkap berpakaian di kawasan belukar kira-kira dua kilometer dari rumahnya pada pukul 11 pagi oleh pasukan penyelamat yang mencarinya.
Pasukan penyelamat menemui sarang tebuan kira-kira satu meter dari mayat mangsa dan siasatan awal tidak menolak kemungkinan wanita yang menghidap penyakit nyanyuk itu meninggal dunia kerana disengat serangga berbahaya berkenaan.
Sarang tebuan itu kemudiannya dibakar.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat memberitahu, siasatan awal mendapati, kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
“Kami sebelum ini sudah beberapa kali melalui kawasan itu tetapi gagal mengesan mangsa.
“Bagaimanapun pagi tadi, (semalam) kami berjaya mengesan mangsa selepas terhidu bau busuk dari arah semak,” katanya ketika ditemui semalam.
Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment