JAKARTA - Letusan Gunung Merapi tengah malam semalam adalah yang paling dahsyat setakat ini dengan semburan awan panas setinggi 8,000 meter ke udara selain menghasilkan hujan abu volkanik, hujan pasir serta kerikil sehingga ke Yogyakarta yang terletak kira-kira 30 kilometer dari gunung berapi itu.
Sekurang-kurangnya 54 orang, kebanyakannya dari kawasan Cangkringan di daerah Sleman, mati akibat melecur di seluruh badan terkena abu volkanik, manakala 66 lagi cedera dengan lebih 40 peratus kesan lecuran.
Berpuluh ribu penduduk dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan radius zon keselamatan kepada 20 kilometer di luar puncak Gunung Merapi, termasuk penduduk Sleman yang dipindahkan ke Stadium Maguharjo, Yogyakarta ekoran sering terdedah kepada ancaman awan panas Merapi.
Lapangan Terbang Adisucipto di Yogyakarta pula ditutup kerana ditimpa abu volkanik, sementara penerbangan ke destinasi itu serta ke Solo dibatalkan.
Sementara itu, di Yogyakarta, seramai 320 pelajar Malaysia telah dipindahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia ke penempatan sementara di Solo petang semalam berikutan letusan tersebut.
Mereka yang merupakan sebahagian daripada 500 pelajar dari Universitas Gadjah Mada, Institusi Seni Indonesia dan Politeknik Seni Yogyakarta telah dipindahkan pada pukul 3 petang (waktu Malaysia) menggunakan 10 buah bas.
No comments:
Post a Comment