Tuesday, November 23, 2010

Sudah Sampai Masanya PKR Dibubar - Tun Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad menyampaikan syarahan bertajuk - Cabaran Umat Islam Masa Kini. Foto: Arjasneh Ahmad
KEMAMAN 23 Nov Sudah sampai masanya penyokong dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai Umno kerana terbukti PKR hanya diwujudkan untuk kepentingan individu tertentu dan bukannya memperjuangkan kepentingan rakyat.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti itu perlu dibubarkan dengan segera kerana kewujudannya hanya memecah belahkan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

"Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab memecah belahkan umat Islam perlu ditolak sama sekali daripada membiarkannya menjadi pemimpin sehingga membawa kepada pergolakan sesama umat Islam itu sendiri.

"Umat Islam harus bersatu dalam parti yang besar (Umno) yang selama ini banyak memainkan peranan dengan membangunkan negara dan membela kebajikan rakyat.

"Takkan kita hendak pemimpin yang tidak tahu berbakti tetapi hanya tahu hendak menjadi Perdana Menteri. Sehubungan itu saya menyeru kepada penyokongnya (PKR) agar bertaubatlah dan kembali ke pangkal jalan seperta kata pepatah Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk `Cabaran Umat Islam Masa Kini' pada program Syarahan Perdana di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini Selasa yang dihadiri kira-kira 5,000 orang pejawat awam dan masyarakat setempat.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dengan pembubaran PKR, Dr Mahathir berkata orang Melayu serta umat Islam diyakini akan kembali bersatu teguh dalam sebuah parti yang selama ini banyak memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka.

Katanya, selagi orang Islam tidak bersatu dan belum ada kesedaran untuk bangkit memperbaiki kelemahan selagi itulah penganut agama lain akan terus memandang rendah dan memandang hina kepada mereka.

Ia terbukti dengan nasib yang menimpa umat Islam di Afghanistan dan Iraq yang kini tertindas oleh negara barat gara-gara percakaran dan perpecahan sesama umat Islam di negara tersebut.

Mengenai cadangan pembubaran PKR pada sidang akhbar selepas itu, bekas Perdana Menteri itu berkata, mana-mana parti kecil perlu kembali menyertai parti besar bagi mengukuhkan perjuangan orang Melayu yang kini telah terpecah kepada tiga kumpulan.

"Tidak pernah ada parti besar nak masuk parti kecil, parti kecillah yang masuk parti besar yang ada sokongan ahli dewan," tambahnya.

No comments:

Post a Comment