Friday, December 3, 2010

Nik Aziz: PAS sedia hadapi pilihan raya umum bila-bila masa

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata partinya bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada bila-bila masa berikutan penangguhan pemilihan Umno selama 18 bulan yang sepatutnya bermula tahun depan.
Malahan beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata partinya tiada masalah untuk menghadapi pilihan raya umum lebih awal kerana parti itu sentiasa dalam keadaan bersedia.
“Kita bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 bila-bila masa daripada sekarang jika ia diadakan lebih awal seperti digembar-gemburkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini
Nik Aziz (gambar) berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan pada penghujung tahun depan berikutan pengumuman Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pemilihan Umno sehingga 18 bulan.
Beliau berkata PAS juga sudah mempunyai calon-calon yang berkebolehan untuk diketengahkan pada pilihan raya umum biarpun parti itu pernah tewas buat pertama kali dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas 4 November lepas.
Dalam pilihan raya kecil DUN itu, calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff, mengalahkan calon PAS, Dr Zulkifli Mohamad, dengan majoriti besar 1,190 berbanding pilihan raya umum 2008 lepas. Calon PAS, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, yang meninggal dunia pada 27 September lepas, memperoleh majoriti hanya 646 undi.
BN memperoleh kemenangan besar pertama dalam pilihan raya kecil itu setelah tewas kepada PAS dengan majoriti tipis dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 2009.
Kemenangan BN di Galas dan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dikatakan menjadi sandaran untuk BN mengadakan pilihan raya umum tahun depan kerana keyakinan rakyat semakin beralih kepada BN berbanding pilihan raya umum 2008, yang menyaksikan pakatan pembangkang memperoleh lima negeri dan BN hanya mendapat majoriti mudah berbanding dua pertiga majoriti dalam Parlimen pada 2004.
Nik Abdul Aziz turut menafikan dakwaan kononnya kekalahan PAS pada pilihan raya kecil DUN Galas bukan disebabkan faktor calon yang ditolak pengundi kerana pernah kalah dalam pilihan raya sebelum itu.
Namun beliau mengakui kemungkinan kesilapan strategi berkempen punca calon BN memperoleh majoriti lebih besar berbanding majoriti yang diperolehi calon PAS pada pilihan raya umum 2008.

No comments:

Post a Comment