Rayuan itu dikemukakan pihak pendakwaraya terhadap keputusan hakim Mahkamah Sesyen pada 24 September lalu yang membebaskan lima mahasiswa terbabit daripada pertuduhan jenayah dibawah Seksyen 427, 436, dan 447 Kanun Keseksaan tanpa dipanggil membela diri.
Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani,Mohd Izzuddin Hilmi Mohd Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli sebelum ini didakwa atas kesalahan cubaan melakukan perbuatan khianat,pencerobohan jenayah dan vandalisme.
Namun hakim Rozana Ali Yusoff membebaskan mereka daripada pertuduhan tersebut setelah mendapati tiada bukti keraguan (prima facie) yang menunjukkan lima pelajar itu terbabit dalam kejadian tersebut.
Rozana dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaraya gagal membuktikan premis penting dalam pertuduhan yang boleh mengaitkan semua tertuduh melakukan khianat dan mempunyai niat yang sama.
Beliau juga berkata siasatan forensik yang dilakukan terhadap bahan api serta rekod panggilan telefon juga tidak dapat mengaitkannya dengan tertuduh.
Hakim semak nota keterangan
"Dalam proses kes sebegini hakim biasanya akan menyemak nota keterangan, petisyen yang difailkan, serta beberapa dokumen penghakiman yang lain.
"Jika semua dokumen yang diperlukan lengkap, kemungkinan hakim akan tetapkan tarikh untuk dengar rayuan…namun semuanya terpulang pada hasil perjalanan kes Rabu depan," kata peguam mewakili Shazni Mohd Razlan Jalaluddin ketika dihubungi FMT.
Kelima-lima pelajar terbabit sebelum ini didakwa dibawah Seksyen 427 atas tuduhan menyimbah petrol di atas permaidani – yang bakal dilalui isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor – dan menconteng didinding Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam (API) dengan tulisan ‘Rosmah Puaka’ 24 Jun tahun lalu kira-kira jam 4 pagi.
Mereka didakwa turut menconteng perkataan "C4", "Bini Puaka", dan "pembunuh Altantuya" didinding API dengan tulisan merah sebelum kedatangan Rosmah Mansor ke universiti itu bagi menghadiri satu majlis rasmi.
Manakala bagi Seksyen 436/511, kelima-lima mahasiswa itu dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.
Mereka juga menghadapi pertuduhan menceroboh bangunan fakulti itu mengikut Seksyen 447 kanun yang sama.
No comments:
Post a Comment