Saturday, January 8, 2011

Calon Tenang: Pemuda mahu PAS letak orang muda

Dewan Pemuda PAS pusat mahu calon yang bakal dipilih parti itu, mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Tenang hujung bulan ini, seorang yang muda dan berpotensi untuk menang.
Ketuanya, Nasrudin Hasan at-Tantawi berkata, walaupun keputusan calon akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi, namun beliau mahu orang muda dipilih bagi mewakili parti Islam itu.
PAS dijangka akan memutuskan bakal calonnya pada mesyuarat pusat di sini, esok.
“Dari segi itu kita sebenarnya meletakkan sasaran calon paling berpotensi untuk menang iaitu calon orang muda dan anak tempatan.
“Kita nak calon orang muda yang mampu memikul amanah dengan baik, kita mahu calon itu berupaya untuk menjiwai masyarakat tempatan di sana (Tenang),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS pusat.
Sebelum ini terdapat desas-desus mengatakan bahawa Ahli Jawatankuasa PAS pusat Mazlan Aliman akan terpilih menjadi calon PAS mewakili Pakatan Rakyat yang akan menentang calon Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu.
Pakatan Rakyat akan mengumumkan calon yang akan memikul tanggungjawab itu pada 16 Januari ini.
Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha daripada Umno-BN 17 Disember lepas.
Penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang ialah pada 22 Januari manakala manakala hari pengundian diadakan pada 30 Januari.
Tambah Nasrudin, walaupun DUN Tenang adalah kubu kuat BN, namun Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP mampu untuk merampas kerusi tersebut.
“Kita yakin boleh beri saingan sengit kepada Umno-BN walaupun Tenang adalah kubu kuat mereka.
“Namun kita mempunyai peluang sekiranya maklumat dapat disampaikan dengan tepat kepada pengundi-pengundi.
“Selama ini pengundi berikan sokongan kepada Umno-BN kerana dapat maklumat sehala sahaja, mereka tidak tahu perubahan yang dilakukan Pakatan Rakyat dan ini yang akan kita sampaikan,” katanya sambil menambah akan meletakkan seramai 500 jentera Pemuda PAS di DUN Tenang bermula 20 Januari depan.
Selain itu, menurut Nasrudin, pihaknya akan meningkatkan usaha untuk membawa pulang pengundi muda di DUN Tenang yang bekerja di luar.
“Kita tahu ramai orang muda berada di luar, jadi kita akan berusaha untuk memastikan mereka pulang mengundi.
“Kita akan usahakan perkara ini, kita akan dekati pengundi muda ini. Straregi bagaimana kita akan lakukan biarlah ia menjadi rahsia.
“Atas perkembangan mutakhir ini, kita lihat banyak isu yang boleh kita mainkan supaya mereka (pengundi muda) tidak lagi terlalu bergantung kepada Umno-BN,” katanya.
DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07 peratus).

No comments:

Post a Comment